21 November 2007
Apabila Dahi Mencecah Ke Sejadah
Bersihkanlah dirimu sebelum kamu dimandikan
 Berwudhu'lah kamu sebelum kamu diwudhu'kan
 Dan solatlah kamu sebelum kamu disolatkan
 
 Tutuplah 'auratmu sebelum 'auratmu ditutupkan
 Dengan kain kafan yang serba putih
 Pada waktu itu tidak guna lagi bersedih
 Walaupun orang yang hadir itu merintih
 
 Selepas itu kamu akan diletak di atas lantai
 Lalu dilaksanakanlah solat Jenazah
 Dengan empat kali takbir dan satu salam Berserta Fatihah,
 Selawat dan doa Sebagai memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah
 Tapi apakah empat kali takbir itu dapat menebus
 Segala dosa meninggalkan solat sepanjang hidup?
 
 Apakah solat Jenazah yang tanpa rukuk dan sujud
 Dapat membayar hutang rukuk dan sujudmu yang telah luput?
 Sungguh tertipulah dirimu jika beranggapan demikian
 Justeru ku menyeru sekelian Muslimin dan Muslimat
 Usunglah dirimu ke tikar solat
 Sebelum kamu diusung ke liang lahad
 Menjadi makanan cacing dan makanan ulat
 Iringi dirimu ke masjid Sebelum kamu diiringi ke Pusara
 
 Tangisilah dosa-dosamu di dunia
 Kerana tangisan tidak berguna di alam baqa'
 
 Sucikanlah dirimu sebelum kamu disucikan
 Sedarlah kamu sebelum kamu disedarkan
 Dengan panggilan 'Izrail yang menakutkan
 
 Berimanlah kamu sebelum kamu ditalkinkan
 Kerana ianya berguna untuk yang tinggal
 Bukan yang pergi
 
 Beristighfarlah kamu sebelum kamu diistighfarkan
 Namun ketika itu istighfar tidak menyelamatkan
 Ingatlah di mana saja kamu berada
 Kamu tetap memijak bumi Tuhan
 Dan dibumbungi dengan langit Tuhan
 Serta menikmati rezeki Tuhan
 
 Justeru bila Dia menyeru,
 sambutlah seruan-Nya
 Sebelum Dia memanggilmu buat kali yang terakhirnya
 Ingatlah kamu dahulu hanya setitis air yang tidak bererti
 Lalu menjadi segumpal darah
 Lalu menjadi seketul daging
 Lalu daging itu membaluti tulang
 Lalu jadilah kamu insan yang mempunyai erti
 Ingatlah asal usulmu yang tidak bernilai itu
 Yang kalau jatuh ke tanah
 Ayam tak patok itik tak sudu
 Tapi Allah mengangkatmu ke suatu mercu
 Yang lebih agung dari malaikat
 Lahirmu bukan untuk dunia
 Tapi gunakanlah ia buat melayar bahtera akhirat
 
 Sambutlah seruan 'Hayya 'alas Solaah'
 Dengan penuh rela dan bersedia
 Sambutlah seruan 'Hayya 'alal Falaah'
 Jalan kemenangan akhirat dan dunia
 
 Ingatlah yang kekal ialah amal
 Menjadi bekal sepanjang jalan
 Menjadi teman di perjalanan
 Guna kembali ke pangkuan Tuhan
 Pada hari itu tiada berguna harta,
 Takhta dan putera Isteri,
 kad kredit dan kereta Kondominium,
 saham dan niaga
 Kalau dahi tak mencecah sejadah di dunia.
16:28 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)

