Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 October 2011

Dekatkan pelajar dengan pemimpin

Mohamad Hasan menemui penuntut pada Program Bicara Cendekia Bersama Menteri Besar di dewan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, baru-baru ini.

 

KUALA PILAH 14 Dis. – “Saya juga anak kampung yang mempunyai kesukaran pada waktu dahulu. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak berusaha mengecapi kejayaan kerana saya yakin dan percaya kejayaan milik semua.”

Demikian kata-kata azimat dan semangat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada kira-kira 700 penuntut Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) ketika memberi syarahan perdana bersempena Program Bicara Cendekia Bersama Menteri Besar di dewan kolej terbabit, di sini baru-baru ini.

Program itu merupakan usaha pihak kolej mendekatkan penuntut dengan tokoh pemimpin di peringkat negeri selain objektif perlaksanaannya merangkumi matlamat menjayakan pembinaan negara bangsa yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Selain itu, program tersebut juga untuk memupuk semangat patriotisme dan pengukuhan jati diri dalam kalangan pelajar terbabit.

Menurut Pengarah KMNS, Ahmad Foa’ad Hashim, program majlis ilmu itu melibatkan perjumpaan khas dalam usaha merapatkan hubungan mahasiswa dan pemimpin sekali gus memberikan inspirasi dalam membentuk sebuah kejayaan.

“Pendekatan yang dibuat hari ini merupakan inisiatif pihak kolej untuk Menteri Besar memberi sentuhan dan semangat kepada semua mahasiswa selaras mencapai maksud bagi melahirkan pembangunan modal insan,” katanya.

Dalam pada itu, intipati ucapan Menteri Besar tersebut merangkumi pengukuhan jati diri penuntut terutama dalam berhadapan dengan cabaran hidup yang semakin getir sejak kebelakangan ini.

Mohamad banyak berkongsi tentang pengalaman hidup beliau sebagai budak kampung daripada keluarga yang susah sehingga mampu menjawat jawatan penting dalam syarikat konglomerat antarabangsa dan seterusnya diberi kepercayaan menerajui pentadbiran kerajaan di negeri ini.

Menurut Mohamad, sikap jati diri dan berdisiplin perlu ditanam dalam diri masing-masing dalam apa jua bentuk kerja demi mencapai sebuah kejayaan dengan cemerlang.

“Ambil peluang semasa dalam kolej dan universiti supaya kita terapkan jati diri yang baik. Jadi seorang pelajar yang cemerlang dan masuk aktiviti yang boleh mendatangkan kecergasan kepada kita. Jati diri ini penting,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Mohamad turut meraikan 10 graduan cemerlang yang mendapat ijazah tahap pertama sekali gus membawa nama negeri setanding dengan negeri-negeri yang lain di bawah pembiayaan Yayasan Negeri Sembilan.

Kesemua graduan terbabit yang menuntut di pusat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara menerima sumbangan RM5,000 seorang daripada Yayasan Negeri Sembilan sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan mereka.

Sumber: Utusan Malaysia 15.12.2010

02:20 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.