Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 October 2011

Negeri Sembilan sasar jadi 'Lembah Ilmu'

  Kami telah berpindah ke
https://sites.google.com/site/kesbamatrix/

mohamad-hasan-n9.jpg

Mohamad Hasan bersama 10 graduan cemerlang yang mengharumkan nama Negeri Sembilan selepas menerima insentif daripada Yayasan Negeri Sembilan pada majlis Program Bicara Cendekia Bersama Menteri Besar di Dewan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah baru-baru ini.

SEREMBAN 21 Dis. - Kecemerlangan pendidikan telah menjadi agenda utama kerajaan negeri sepanjang tahun ini dan ia akan terus dibangunkan pada tahun hadapan, sesuai dengan harapan menjadikan negeri ini sebagai 'Lembah Ilmu' dan nadi mengeluarkan modal insan keperluan negara.

Perkara ini dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam banyak ucapannya yang antara lain mahu melihat benih kecil yang disemai di peringkat prasekolah menjadi pohon kukuh apabila insan berkenaan menduduki dan menamatkan pengajian di peringkat universiti.

''Semua itu kita perlu tunjukkan kepada anak-anak kecil agar mereka boleh membuat imbasan dan mengingati bangunan universiti dan kolej, pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang melata di negeri ini.

''Apabila mereka balik ke rumah kelak, akan wujud satu azam dalam diri mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan memasuki pusat pengajian berkenaan, sekali gus mencapai sasaran kerajaan negeri untuk menjadi penyumbang besar modal insan negara pada masa hadapan," katanya di sini baru-baru ini.

Mohamad berkata, banyak usaha telah dilakukan untuk melebarkan jajahan 'Lembah Ilmu' termasuklah menyediakan jajaran jalan yang sempurna, selain melakukan pemasaran pendidikan bagi menjadikan kawasan Nilai, Sendayan, Enstek, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Kuala Pilah sebagai zon pendidikan.

Sebab itulah, pembinaan kampus di negeri ini memperlihatkan daya usaha tinggi sepanjang tahun ini untuk mewujudkan zon pendidikan bertaraf dunia.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri aktif membangunkan tenaga manusia, kepesatan pertumbuhan ekonomi, pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial, pemodenan dan reformasi sosial masyarakat, kecemerlangan budaya fikir dan intelektual.

Selain itu, tumpuan juga telah diberikan kepada pembangunan teknologi dan sains serta kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat di sini.

''Sambutan yang menggalakkan ini didorong oleh pelbagai faktor seperti wujudnya kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas yang baik, bekalan air dan elektrik yang terjamin serta kemudahan ICT dan telekomunikasi maju," kata Mohamad.

Tambahnya, pelabur pendidikan kini telah melihat keistimewaan membina kampus mereka di negeri ini, apatah lagi kawasan Nilai, Seremban dan sebahagian Port Dickson telah pun dimasukkan dalam bandar gabungan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Conurbation).

''Ini bermakna, rancangan pembangunan yang diwujudkan di Kuala Lumpur itu akan juga tempias di kawasan yang dinyatakan tadi, sekali gus ia dapat membangun dengan baik sebagai hab pendidikan serantau," tegasnya.

Ketika ini sudah banyak universiti dan kolej membuka kampus mereka di sini dan paling membanggakan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menjadikan kawasan Nilai, dekat sini sebagai kampus induk mereka.

Selain USIM, beberapa lagi universiti, pusat penyelidikan dan kolej turut dibuka iaitu Centre For Foundation Studies, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nilai; Inti International College, Nilai; Nilai University College, Nilai dan Murni Nursing College, Nilai.

Turut dibangunkan di satu kawasan strategik di Bandar Enstek, Nilai bagi memastikan Lembah Ilmu ini benar-benar berimpak besar, maka diwujudkan kawasan Kompleks Pendidikan Nilai untuk membangunkan pelbagai pusat pengajian tinggi yang masih dalam pembinaan.

Di kawasan kompleks inilah terdapatnya Politeknik Nilai; Institut Aminudin Baki; Kolej Tunku Kurshiah (TKC); Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Pusat Latihan Bahasa Inggeris.

Juga dibangunkan di Bandar Enstek ini ialah Cempaka Ladies School selain International University College Of Nursing, Bandar Seri Sendayan; PNC International College Of Nursing & Health Science, Kota Seriemas dan Kolej Lagenda dan Kolej Pertama, Mantin.

Mohamad juga berkata, sepanjang tahun ini juga pelabur pendidikan yang menawarkan kursus sains, teknologi dan bioteknologi seperti kejuruteraan, arkitek dan perubatan amat menggalakkan.

''Kawasan Nilai juga dikenali sebagai Lembah Bio dan tentulah fokusnya kepada bidang perubatan dan farmaseutikal," katanya.

Ujarnya, sudah terdapat beberapa syarikat berkaitan seperti Inno Biologics Sdn. Bhd. yang mengeluarkan 'glycoproteins & antibodies' berasaskan produk biofarmaseutikal dan Institut Kanser Nilai yang memberi fokus rawatan dan penyelidikan kanser.

Begitu juga Felda Argicultural Bioteknologi iaitu pusat penyelidikan bagi membangunkan tisu kultur daripada kelapa sawit serta Stevian Biotechnology (M) Sdn. Bhd. yang mengeluarkan produk pemanis natural yang diekstrak daripada daun stevia.

''Kerajaan negeri telah meluluskan permohonan Universiti Malaya untuk menubuhkan fakulti Sains Biologi dan Pertanian Moden di daerah kecil Gemas, di mana menempatkan lebih 2,000 pelajar.

''Di negeri ini juga sudah pun mempunyai banyak kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sedang membina Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Perpustakaan dan Maklumat Negara, selain sedia ada Akademi Audit Negara," ujarnya.

Di Rembau juga diwujudkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian, serta Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sembilan di Mantin, Institut Teknologi Yayasan Negeri Sembilan dan Kolej Komuniti di Rembau, Jempol, Jelebu selain banyak Pusat GiatMara dan Kolej Mara Seremban serta Politeknik Port Dickson.

Di sini juga terdapat Universiti Terbuka (Open University); Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan pusat pakar serta banyak lagi.

Beberapa kolej swasta juga dibangunkan seperti Kolej Tafe Seremban; Kolej Negeri; Institut Logica; Kolej Uniti Port Dickson; Institut Teknologi Seremban; Institut Teknologi Putra; Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL); Kolej Karisma; Kolej Linton; East West College dan Institut Medical Sciences (IMM).

Dalam sektor pendidikan agama pula, beberapa kampus dan sekolah swasta juga dibangunkan termasuklah Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Rembau selain adanya usaha membawa cawangan Universiti Al Azhar kampus Malaysia di negeri ini.

Jelaslah bahawa, sepanjang tahun ini agenda pendidikan dan mencari pelaburan dalam sektor ini semakin membuahkan hasil, ditambah pula dengan keputusan cemerlang pelajar sekolah dalam ujian kebangsaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Negeri Sembilan meninggalkan tahun 2010 ini dengan gagasan Lembah Ilmu yang menjadikannya sebagai penyumbang terbesar modal insan negara, serta menjulang kembali kegemilangan pendidikan lampau dengan lahirnya ramai ilmuan dan cendekiawan yang berasal dari negeri Adat Perpatih ini.


Sumber: Utusan Malaysia 22.12.2010

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

 

05:07 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.