Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

16 October 2007

Ilmu Tanpa Buku.

JIKA dibandingkan publisiti bagi acara pesta hiburan dan konsert penyanyi tempatan mahupun antarabangsa, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-24, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini berlangsung dibelenggu suasana lengang.

Sedihnya jika ada pun iklan dan penghebahan di akhbar dan media elektronik ia tidaklah sehebat konsert dan perasmian sesuatu pesta. Pesta buku 10 hari itu menyediakan 518 tapak gerai buku yang disertai hampir 200 syarikat, termasuk syarikat asing dari 18 negara.

Sebagai acara tahunan, alangkah baiknya jika acara ini pada masa depan diperluaskan ke bandar lain dan kawasan luar bandar dengan mempergiatkan usaha promosi melalui saluran media yang ada, termasuk ke sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi menyuburkan minat membaca di kalangan rakyat.

Berdasarkan sambutan pengunjung nampaknya ramai tidak menyedari kewujudan acara besar yang berlangsung di ibu kota ini akibat kurangnya publisiti bagi menarik pengunjung terutama dari luar ibu kota.

Itupun, adalah tidak wajar pro-gram sebesar itu tidak mendapat liputan dan promosi hebat daripada penganjur dalam usaha menggalakkan rakyat menjadi ‘ulat buku’ dengan mengamalkan budaya sihat melalui tabiat membaca.

Sedang minat membaca rakyat belum boleh dibanggakan, rugi rasanya pesta buku seperti ini tidak dipromosikan secara bersungguh-sungguh. Ini kerana usaha memupuk budaya membaca adalah agenda negara sebagai wahana penting bagi memperkayakan ilmu, selain mencerdaskan minda.

Kajian mendapati rakyat negara ini hanya membaca dua buku setahun berbanding negara maju seperti Jepun. Walaupun kajian terhadap minat membaca itu ada peningkatan, berbanding kajian sedekad lalu, iaitu hanya satu muka setahun, tetapi aspek kecenderungan bahan yang dibaca perlu dinilai dari perspektif berbeza.

Minat membaca masyarakat hari ini, terutama generasi muda hanya tertumpu kepada sumber bahan bacaan ringan bersifat mudah yang bercorak hiburan, sukan dan komik. Penerbitan yang berbentuk santai seperti majalah picisan amat digemari, berbanding buku ilmiah yang kebanyakannya sering tersadai di gedung buku kerana kurangnya mendapat sambutan.

Molek juga diperhatikan kemunculan begitu banyak bahan bacaan bercorak tahyul dan misteri di pasaran yang berjaya menambat ratusan ribu pembaca, terutama kanak-kanak dan remaja.

Majalah yang tidak henti-henti menyiarkan kisah misteri, tahyul dan hantu ini dibimbangi akan menyeleweng akidah pembaca dengan kepercayaan karut dan bidaah yang merantai diri masyarakat hari ini. Alangkah malangnya.

Justeru, apakah kita harus berbangga dengan fenomena ini? Bagaimanakah tahap pembacaan yang berkualiti dalam mengasah minda pembaca akan berjaya dicapai jika beginilah gaya pembacaan rakyat negara ini? Walau apapun, tabiat membaca cukup baik dijadikan amalan pada bila-bila masa, dan walau di mana berada sekalipun.

Napoleon Bonarparte, raja Perancis yang menaiki taktha pada 1799 pernah berkata: “Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibacanya, akan dapat memerintah dunia.” Sejarah juga membuktikan betapa ketamadunan bangsa Jepun, Parsi, China dan Yahudi serta Barat diwarnai pro-gram yang lebih terarah kepada pembudayaan ilmu.

Begitulah pentingnya ilmu melalui tabiat membaca yang perlu ditanam sejak kecil jika kita menginginkan masyarakat yang bertamadun. Oleh itu, kempen kesedaran perlu dipupuk di kalangan rakyat agar sikap suka membaca dapat dibudayakan sebagai tugas utama. Kini, tabiat membaca lazimnya hanyalah semata-mata untuk keperluan peperiksaan atau menyiapkan sesuatu tugasan saja.

Jika dikaji, generasi muda hari ini tiada langsung minat membaca sebagai rutin hidup, melainkan mereka gemar menghabiskan masa di kafe siber dan melepak di gedung membeli-belah. Adalah terlalu asing jika kita hendak melihat seorang anak muda membaca buku atau surat khabar di pusat beli-belah pada zaman ini.

Memanglah kadar celik huruf di negara ini sudah mencecah ke tahap 93 peratus, namun ia tidak boleh dijadikan indikator jika bahan bacaan yang dibaca itu bersifat ‘mudah’ serta langsung tidak menyumbang kepada pemantapan budaya membaca yang dapat membangunkan minda dan jiwa. Ia sekali gus boleh menyekat rakyat menjadi sebuah masyarakat yang berilmu.

Dalam mengejar arus kemajuan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) serta literasi teknologi maklumat yang semakin canggih, maka aspek penekanan kepada ilmu pengetahuan amat dituntut dengan keperluan yang cukup mendesak dalam usaha menggerak negara menjadi sebuah negara yang maju dan mantap.

Justeru, ia hanya dapat ditimba melalui amalan pembacaan bahan-bahan berbentuk ilmiah bagi mengasah minda. Masalahnya kini, terdapat 1001 macam kekangan yang terpaksa dihadapi terutama pengaruh budaya hedonisme (hiburan melampau) dan pergaulan bebas yang kebanyakannya dari Barat yang sedang membelit masyarakat hari ini.

Gaya hidup mereka, terutama golongan muda secara tidak langsung menjurus kepada budaya membaca, melainkan terbuai dengan pelbagai gejala negatif akibat terpengaruh daripada pelbagai cabang sumber seperti televisyen, internet, video cakera padat (VCD) dan sebagainya.

Meminjam kata-kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman, budaya ‘kebekuan intelektual’ ini seharusnya diubah demi melahirkan rakyat negara ini yang berilmu pengetahuan dan cemerlang bagi menjana pembangunan negara menuju Wawasan 2020 dalam masa 16 tahun lagi sebagai negara maju.

Berasaskan itu, maka usaha memupuk minat membaca, mestilah bermula di rumah. Ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik dengan mengamalkan tabiat membaca untuk diteladani anak-anak di rumah bagi melahirkan pengukuhan tradisi intelektual dalam institusi keluarga, sekali gus dalam institusi masyarakat.

Bagi mengasah semangat membaca di kalangan anak kecil pula, ibu bapa boleh mengambil inisiatif dengan membeli buku bacaan sebagai hadiah hari jadi atau hadiah meraikan sesuatu kejayaan. Amalan membeli barang permainan yang disifatkan membazir, seboleh-bolehnya dihindari. Lagi pun pepatah mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Hussein mahu Dasar Buku Negara (DBN) dikaji semula dengan mengambil kira pendekatan terbaru bagi memenuhi keperluan semasa untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan nanti, adalah amat dialu-alukan semua pihak.

DBN mengandungi empat matlamat utama, iaitu memastikan buku dalam bahasa Malaysia dapat memainkan peranan sebagai alat pembangunan fikiran, sosial dan budaya; memastikan minat membaca rakyat meningkat; buku dapat dinikmati semua masyarakat; dan semua buku yang diterbitkan berkualiti tinggi.

Justeru, jika DBN dapat diperkasakan, nescaya tidak mustahil minat membaca di kalangan rakyat turut meningkat. Oleh itu, Majlis Buku Kebangsaan, Institut Terjemahan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka serta pengeluar, penerbit, dan penulis buku perlu mencerna idea bagi mengkaji akan nasib dan hala tuju DBN serta kedudukannya dalam nukleus masyarakat. Kerjasama sesama mereka juga amat penting dipertingkatkan.

Industri penerbitan juga perlu melakukan sesuatu bagi memperkembangkan potensi penerbitan buku di negara ini bagi menyemarakkan budaya membaca sebagai aktiviti dominan masyarakat dalam pencarian ilmu. Jumlah buku di pasaran perlu diperbanyakkan bagi merangsang minat pembaca.

Mengikut statistik yang dikeluarkan Perpustakaan Negara Malaysia, bilangan judul buku baru yang didaftarkan dalam tempoh 10 tahun (1990-1999) telah memberikan petunjuk positif walaupun grafnya ada sedikit turun naik dalam nisbah yang kecil.

Penerbitan buku baru pada 1990 adalah sebanyak 4,578 judul, dan meningkat kepada 6,465 (1995), namun menurun pula kepada 5,341 (2000) dan meningkat semula pada 2001, sebanyak 6,090 judul.

Statistik ini jauh berbeza berbanding di negara maju, yang mana kriterianya harus menerbitkan sekurang-kurangnya 20,000 judul bu-ku. Republik Rakyat China (RRC) saja telah menerbitkan 18,000 judul, India 19,000 judul dan United Kingdom 116,000 judul buku baru setahun.

Siri buku terjemahan yang dipermudahkan dalam bentuk popular dengan gambar dan ilustrasi yang menarik serta kata-kata yang mudah difahami boleh juga diterbitkan bagi memperkayakan bahan bacaan di negara ini.

Ini kerana kajian mendapati buku berbentuk sedemikian mendapat sambutan yang cukup hebat daripada khalayak pembaca. Contoh terdekat, penerbit terkenal Indonesia, Mizan, mengambil inisiatif menterjemahkan kebanyakan buku ilmiah dari negara luar dengan begitu kreatif ke dalam bahasa Indonesia bagi menarik minat khalayak pembacanya.

07:00 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)