09 October 2007
Apabila semua benda menjadi susah
'BUAT SEMUA BENDA DENGAN SUKA, SEMUA BENDA MENJADI MUDAH, BUAT SEMUA BENDA DENGAN MENYAMPAH, SEMUA BENDA MENJADI SUSAH"
Oleh: Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj
SEMUA perkara akan menjadi mudah apabila dilakukan dengan ikhlas, namun untuk membuktikan keikhlasan bukanlah semudah menuturkannya. Hidup perlu dilalui dengan ceria sebab tanpa keceriaan segalanya akan menjadi masam, kedam, dan hitam. Sesuatu yang masam perlukan garam untuk diterima lidah, apabila kedam perlukan cahaya untuk melihat persekitaran, tetapi kalau sudah hitam memang susah untuk dikembalikan putih.
Hidup itu ada pelbagai ragamnya. Masalah yang datang dalam hidup juga tidak pernah berhenti. Menyambut kesemuanya dengan marah dan sakit hati selalunya berakhir dengan setiap sesuatu yang dilakukan itu menjadi tidak sempurna.
Di bawah pancaran terik matahari seorang mekanik teruja untuk menyiapkan kerjanya dengan sempurna. Dihambat waktu dan tekanan pelanggan, dia boleh digelut marah sewaktu melaksanakan tugasnya. Rasa tanggungjawab mungkin cair, apabila yang lebih dia nampak ialah peluang mencari jalan mudah. Jika peluang itu terbuka, perkara "cincai" akan mengambil tempat.
"Eh, kenapa adik ambil dari situ. Bukankan ini barang-barangan buangan?" pertikai seorang pemilik motosikal apabila melihat mekanik mengambil alat ganti daripada longgokan besi buruk di sebuah bengkel.
"Tak apa, boleh pakai lagi ni," katanya sambil meneruskan kerja-kerjanya.
"Jangan buat begini. Motosikal saya ni baru dan masih dalam jaminan. Saya berhak dapatkan alat ganti yang baru," pertikai pemilik berkenaan.
"Tak apa bang, masih boleh guna ni."
"Dik, kalaulah masih berguna takkan dilonggokkan begini saja. Ini semua barangan lama daripada motosikal lain yang terdahulu rosak."
Mekanik itu pun bangkit, menghempaskan barangan ganti lama yang hampir sangat hendak dipasangnya tadi, lalu mengisi borang pengeluaran alat ganti baru dari stor.
Kisah benar ini membuktikan apabila sesuatu dibuat dengan menyampah pelaksanaannya akan menjadi cacat. Hasilnya sudah tentu lebih cacat. Me-ngapa tidak lebih banyak senyum daripada muncung? Bukankah gembira memudahkan segalanya daripada marah-marah?
Aina mengadu penat, lalu dia duduk saja tidak berbuat apa-apa. Apabila ditanya, Aina memberitahu dia sangat penat, banyak sangat kerja yang
Sejak bila Aina penat? Setelah hari petang atau sebaik sahaja dia sampai di tempat kerjanya? Aina menjadi penat sebaik sahaja dia melihat kerjanya yang berlonggok di atas lantai. Dia terus berasa sangat penat lalu muncungnya terbentuk. Wajahnya menjadi halia, kusam, dan masam. Dalam keadaan begitu tiada yang dapat Aina lakukan, kalau pun dia melakukan kerjanya, hasilnya tidak merangsangkan.
Banyak perkara dalam hidup dapat diselesaikan hanya dengan senyuman. Suatu petang, sebuah kereta telah melanggar sebuah kereta yang lain sewaktu menghampiri sebuah bulatan. Apakah dia rabun? Jika rabun dia tidak layak memandu, marah pemilik kereta yang dilanggar itu. Sebaik sahaja dia keluar, dia melihat senyuman dan mendengar perkataan maaf dari pemandu yang melanggar keretanya tadi. Kemarahannya hilang, bertukar perbincangan untuk sama-sama bertolak ansur. Perkara itu selesai begitu sahaja. Fikir, renung dan tengok.
Sumber: Dewan Agama Mei 2006
06:44 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)