Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

12 September 2007

Berjuang sehingga ke saat akhir

Oleh HILTER YEW


JANGAN terlalu "santai" nanti anda "terperangkap" ketika menjawab soalan.

SAAT pembelajaran peringkat darurat adalah suatu yang mencemaskan. Kepada pelajar yang masih berjuang habis-habisan dan tidak mengalah, saya ucapkan syabas. Anda telah tonjolkan jiwa seorang pendekar yang tidak tunduk pada cabaran dan masih memperjuangkan kejayaan pada saat yang begitu kritikal sekali. Sememangnya, jiwa seorang pejuang jelas terbukti pada saat yang penuh mendebarkan ini.

Begitu ramai insan yang sudah mengalah dan mereka anggap masa sudah tidak mengizinkan mereka mengulang kaji pelajaran yang masih tertunggak.

Hutang mereka tidak dibayar sehingga saat peperiksaan, dan berakhir dengan hampa dan kekesalan yang tidak terhingga.

Tetapi ada juga pelajar yang menukar ketakutan dan kerisauan sebagai suatu kekuatan untuk terus berusaha.

Mereka belajar bertungkus-lumus siang dan malam dengan harapan untuk mengembalikan ingatan terhadap pelajaran yang mereka telah lupa.

Biar pun pada akhirnya mereka juga kalah dalam medan peperangan SPM, setidak-tidaknya mereka tidak rasa bersalah dan tidak menyesal; ini kerana mereka telah berusaha habis-habisan.

Wahai insan SPM, saat pecutan akhir ini menggambarkan komitmen anda terhadap pelayaran sejak daripada tadika.

Perahu anda akan mendarat tidak lama lagi. Janganlah berhenti dan teruslah berdayung. Peringkat akhir ini akan membuktikan segala usaha dan titik peluh yang telah anda curahan selama ini tidak sia-sia begitu sahaja. Jika dikira dari kos yang anda telah gunakan sejak dari tadika untuk meneruskan kehidupan anda di lautan pembelajaran selama ini, nilainya bukanlah sedikit. Jika kita belanja RM5 sehari untuk makanan setiap hari, makanan yang telah kita telan selama pelayaran ini adalah lebih dari puluhan ribu ringgit.

Sememangnya, ibu bapa tidak meminta kita membayar kos pembelajaran dan kos kehidupan yang telah mereka curahkan untuk kita.

Tetapi, kita perlulah faham, segala pelaburan mereka ini adalah titik peluh dan air mata mereka. Buktikanlah kita tidak menghampakan mereka. Buktikan pada saat-saat akhir ini, kita masih terus berjuang sehingga titisan darah yang terakhir. Kata pepatah, genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Janganlah mengira hari mu sebelum tibanya masa Maghrib.

Janganlah menentukan keupayaan anda untuk lulus cemerlang sebelum sampainya detik peperiksaan. Teruslah berusaha.

Hargai setiap saat dan setiap minit. Anda mungkin akan menjulang keajaiban dan mengecapi kegemilangan yang tidak pernah anda terfikir selama ini.

Ramai pelajar yang menjulang 8A, 10A menghargai saat-saat akhir sebelum peperiksaan. Mereka sememangnya telah bersedia sejak awal tahun, tetapi mereka beranggapan pembelajaran pada peringkat pecutan akhir akan menguatkan ingatan pada apa yang telah mereka kuasai sebelum ini.

Wahai pelajar sekalian, segakkan badan dan susun langkah perbarisan. Terus menyanyikan lagu perjuangan mengiringi perarakan ke medan peperiksaan. Apa yang telah anda lalai kini telah menjadi sejarah. Jangan marah diri dan jangan menyesal. Mulakan saat ini dengan tenaga baru dan terus mencari intan bersinar di lautan bergelora ini.

06:17 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)