14 September 2007
Pergeseran nilai-nilai kehidupan
DALAM suasana kehidupan berkeluarga, gejala pergeseran nilai-nilai terlihat dengan jelas melalui tingkah laku anak-anak yang tidak lagi menghormati ibu bapa. Demikian sebaliknya juga terdapat ibu bapa yang tidak dapat menempatkan diri mereka sebagai orang tua yang harus membimbing keluarga dan menjadi contoh teladan kepada anak-anak.
Di sisi lain pula, timbul gejala di mana golongan tua tidak lagi menyayangi yang muda dan sebaliknya pula yang muda tidak menghormati yang tua.
Seorang isteri pula dengan mudah menuntut pelbagai habuan daripada suami padahal suaminya tidak mampu untuk memenuhi permintaan tersebut.
Demikian juga akibat pengaruh modenisasi serta kehidupan materialistik yang tinggi, di mana-mana sahaja terdapat golongan kaya memerah si miskin.
Malah muncul sikap hedonisme, hipokrit dan sebagainya. Seiring itu pula, muncul penyakit hati yang semakin bermaharajalela seperti dengki, gosip, fitnah yang semuanya berusaha saling menjatuhkan sesama sendiri sama ada kawan atau saudara sendiri.
Demikian juga kerana salah menerapkan makna atau erti kemerdekaan, kebebasan maka hubungan antara wanita dan lelaki semakin bebas tanpa sempadan. Malah bercumbu-cumbuan di khalayak sudah menjadi kebiasaan.
Itulah gambaran sepintas lalu dari pergeseran nilai-nilai di tengah-tengah zaman kemajuan ini.
Gambaran ini menjadi semakin babrok pada abad ke-21. Inilah yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir zaman ini.
Daripada Abi Said, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sungguh kamu akan meniru perilaku orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, hingga seandainya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun nescaya kamu akan mengikutinya.
Lalu kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu umat Yahudi dan Nasrani.”
Rasulullah menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.”
Islam telah menempatkan akhlak menjadi salah satu sendi utama dalam ajarannya. Nabi Muhammad diutus Allah ke dunia ini antara lain untuk memperbaiki akhlak manusia agar sesuai dengan fitrah sekali gus jati dirinya sebagai khalifah di bumi ini.
Dalam Islam akhlak itu bersumber dari Allah.
Dialah yang memberikan pedoman dan aturan-aturan melalui Rasul-Nya Muhammad. Dia pula yang menetapkan Rasul-Nya sebagai contoh teladan yang paling baik daripada akhlak semua manusia.
Akhlak
Dalam Islam, akhlak meliputi tiga perkara pokok.
Pertama: Sikap dan tatacara hubungan sesama manusia.
Kedua: Sikap dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, udara dan seluruh benda di ruang angkasa, jin dan malaikat dan sebagainya.
Ketiga: Sikap dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta dan Pelindungnya.
Apabila ketiga-tiga perkara ini dilakukan dengan baik, Islam sesungguhnya menjanjikan kepada pelakunya kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Bila akhlak yang bersumber daripada Allah itu tidak dipatuhi maka akan berlakulah kecelakaan demi kecelakaan ke atas pelakunya.
Jika kaum mukminin sungguh-sungguh mengamalkan kitab suci dan sunah Rasul, Allah akan menjadikan cahaya mereka bersinar sebagai balasan yang setimpal. Sementara musuh-musuh Allah yang mengingkari akan diharamkan dari cahaya itu sehingga akan terus berada dalam kegelapan. Mereka tidak akan mendapatkan cahaya. Cahaya fitrah berdampingan dengan cahaya hidayah. Cahaya al-kitab berdampingan dengan cahaya Rasul. Cahaya mata hati berdampingan dengan cahaya dalil. Cahaya di atas cahaya, Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa saja yang Dia kehendaki. (an-Nur,:35).
Barang siapa yang tiada diberi cahaya oleh Allah, tiadalah dia mempunyai cahaya sedikit pun. (an-Nur,:40).
Nabi Muhammad s.a.w juga adalah cahaya kerana Allah mengutusnya dengan membekalinya cahaya dan petunjuk.
Allah berfirman yang bermaksud: Hai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk jadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi. (al-Ahzab: 45-46).
Tidak ada jalan lain untuk mengatasi persoalan pergeseran nilai-nilai ini melainkan kembali kepada Allah s.w.t. dengan menerapkan kembali peraturan-Nya dalam kehidupan perseorangan, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.
Untuk itu juga harus dibangunkan kesedaran bersama melalui pendidikan yang sistematik dan padu yang melibatkan banyak aspek berhubung kemasyarakatan dan pemerintahan. Saling mengingati sesama umat dalam menuju kebaikan dan kebenaran. Dengan itu pergeseran nilai-nilai yang sedang berlaku akan menuju ke arah kebaikan bukannya kerosakan.
01:46 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)