10 July 2007
Kuasa Persistensi
(Prinsip-prinsip Kejayaan, Bhg. 2)
 
 
 Persistensi (persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah
 terhadap sebarang halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam
 merealisasikan sesuatu matlamat. Kejayaan sememangnya bukan sesuatu
 yang mudah untuk dicapai. Kalau ia sesuatu yang mudah maka pastilah
 tiada manusia gagal. Sedangkan kajian menunjukkan 95% daripada
 manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup bergantung kepada duit
 pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh sekali mereka ketika
 itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially independent".
 Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya
 13% - 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi
 pengajian tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian
 tinggi pula, 80% daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah
 kelas kedua atau ketiga.
 
 Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai yang
 terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada
 sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa
 kecewa hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat
 baris kata-kata yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going
 gets tough, the tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win
 and winners never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya
 sematkan dalam hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan
 setiap kali berhadapan dengan cabaran atau ketika berada diambang
 kegagalan. Dengan sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja
 boleh berjaya. Hanya faktor masa sahaja menjadi penentu kejayaan
 itu.
 
 Cuba kita lihat bagaimana persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam
 mengembangkan agama Allah dizaman jahiliyah dahulu hingga
 terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni lawan dan dihormati.
 Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad s.a.w
 mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik
 adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika
 berusia 40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu
 membawa masyarakatnya beriman kepada Allah, baginda telah diejek,
 dicemuh, dilontar dengan batu. Pengikut-pengikutnya diseksa.
 Keluarga mereka didera dan dihina. Semuanya ini sedikitpun tidak
 menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam tegak dibumi Allah
 ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di Madinah adalah satu masa yang
 bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu ada
 sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan
 para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup
 luar biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari
 matlamat perjuangan, rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja
 untuk berjaya. Kenapa mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh
 sahaja memberikan kemenangan mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk
 manusia selepas itu menjadikan kehidupan dan perjuangan itu suatu
 tauladan. Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa
 dari mengharap kemenangan dari Allah.
 
 Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori persistensi ini.
 Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan satu jualan
 yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi.
 Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa
 kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira
 kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan.
 Mereka terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin
 terletak pada cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka
 gagal membuat jualan dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak
 putus asa. Sebab kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12
 kejayaan mula menjelma.
 
 Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan
 terkenal adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan
 kali. Edison mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali.
 Kolonel Sanders cipta kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah
 mencuba 1009 kali. Nelson Mandela menjadi presiden Afrika Selatan
 setelah dipenjarakan hampir sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10
 tahun sebelum menemui kaedah untuk mengkomersilkan getah. Boon
 Siew, walau pun tidak tahu membaca dan menulis mampu menjadi jutawan
 dan memberikan peluang pekerjaan kepada ribuan pekerja hanya kerana
 persistensinya.
 
 Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi
 adalah senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu
 cepat putus asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman
 bagi mereka yang persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi
 mereka yang putus asa. Kalau anda seorang pelajar, kini soallah
 diri anda sendiri, adakah anda telah mencuba ribuan kali untuk
 menyelesaikan satu soalan matematik atau sains yang mencabar?
 Ratusan kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda
 cuma mencuba beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah
 cara anda bagaimana mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan
 mereka yang telah berjaya?
 
 Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang
 yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan
 diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak
 boleh gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap
 kegagalan itu satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah
 perancangan, untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu
 milik anda kerana kuasa persistensi yang ada dalam diri.
 
 Sekian.
05:44 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)
