Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Anak Cerdik Mula Pada Usia 7 Tahun

Hadis R. Muslim mengingatkan kita pesanan Rasulullah SAW: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat bila mereka telah berusia 7 tahun, dan pukullah jika meninggalkannya bila mereka telah berumur 10 tahun, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur.”

1. Mengapa 7 tahun?
2. Mengapa tidak 5, 12, 15 atau 21 tahun?
3. Mengapa tentang “solat”? Mengapa tidak lain yang lebih “ringan”?

Pasti ada sebab-sebab yang afdhal sebagai dalil mutlak yang memerlukan kita memulakan anak-anak solat dari usia 7 tahun. Pasti ada sebab-sebab agung bahawa, bila berusia 7 tahun, anak sudah mampu melakukan solat sebagai penghayatan hariannya. Pasti sebab-sebab itu telah didasarkan kepada sifat-sifat semula-jadi bagi manusia yang mampu diperolehi pada usia 7 tahun. Jika tidak, anjuran Hadis ini boleh membuat ramai ibubapa merasa gelisah dengan kerungsingan: “Macam mana ni, nak bagi anak solat pada usia 7 tahun! Ia masih budak-budak lagi … apa!”

Insya-Allah, melalui artikel ini saya akan menerangkan dalil-dalilnya supaya kita yakin dan bersyukur bahawa anak-anak yang telah mula melakukan solat harian dari usia 7 tahun akan mudah dibesarkan dengan penuh barakah dari segi ilmu, akhlak, ibadah dan kebajikannya.

MENGAPA “SOLAT”?:

Solat adalah tiang agama. Solat perisai hidup. Solat mengajar anak menjaga masa (waktu-waktu solat). Solat memberi peluang untuk sujud dan berdoa. Solat mengindahkan kehidupan kerana wajah indah adalah “taqwa”.

Solat juga memerlukan kita mempunyai beberapa hakikat dan sifat tertentu, khususnya:

1. KITA FAHAM: Faham bahawa kita beragama Islam, dan sebab kita dijadikan adalah untuk sujud ke hadrat Ilahi. [Surah Adz-Zaariyat 51 Ayat 56: “Ku ciptakan jin dan manusia itu hanyalah supaya mereka sujud (memuja) kepada-Ku”]

2. KITA YAKIN: Yakin kerana kita telah “faham”, dan “keyakinan” adalah asas keimanan.

3. KITA RELA: Bila sudah faham dan yakin, kita sedar “merelakan diri”, sedia dan terima.

4. KITA AZAM: Dengan rela, faham dan yakin, kita mudah ceria, berminat dan “berazam”.

5. KITA SYUKUR & JAGA: Kerana begitu azam kita pasti dapat mengecap keindahan solat sehingga kita rasa amat syukur dan berusaha menjaga ibadah dan kehidupan kita dengan membanyakkan yang “maaruf” dan menghindarkan diri kita dari yang “mungkar”.

Sekiranya sifat-sifat ini diperlukan agar anak faham dan senang dimulakan bersolat dari usia 7 tahun, mampukah ia membina sifat-sifat serta hakikat-hakikat itu pada usia 7 tahun?

Ya, boleh kerana dari ilmu kajian sains, tahap pembinaan jentera asas akal (otak-saraf manusia) telah matang mencapai lebih dari 95% pada usia 7 tahun. Pencapaian tahap pembentukan inilah yang memberi anak kita landasan untuk mampu berfikir, memilih, merasa yakin, berazam, dan mudah mirip untuk merasa syukur serta menjaga kebaikan dirinya, insya-Allah.

Pakar-pakar Sains Neurologi (ilmu tentang otak-saraf) telah lama menemui tahap-tahap pembangunan dari detik hamil hingga usia 6 tahun

MAMPU SEMPURNA PADA USIA 7 TAHUN

Oleh itu, saya begitu yakin bahawa anak-anak kita, pada usia 7 tahun, seharusnya sudah mampu memperolehi sifat-sifat tingga (secara mutlak) sehingga mereka mudah:

a. FAHAM: Bahawa kita beragama Islam, dan faham perlunya “sujud” [S.Adz-Zaariyat 51:56]

b. YAKIN: Kerana kita telah “faham”, keyakinan menjadi asas keimanan.

c. RELA: Kerana faham dan yakin, kita “rela” serta betul-betul sedia dan terima.

d. AZAM: Kerana faham, yakin dan rela, kita lebih mudah ceria, berminat dan “berazam”.

e. SYUKUR & JAGA: Kerana azam kita mudah mengecap keindahan solat sehingga kita rasa syukur dan berusaha menjaga ibadah dan kehidupan berasaskan “maaruf nahi anil mungkar”.

SEDIKIT2 & BERTAHAP2

Tahap pencapaian pada usia 7 tahun sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika kita mulakan pendidikan anak dari tahap-tahap seawal mungkin. Inilah sebabnya kita perlu adakan usaha pendidikan awal bagi kaum Muslimin dengan memanfaatkan peluang membina asas-asas pendidikan yang kukuh dari masa anak berada di dalam rahim ibunya, dan, selepas anak itu dilahirkan, mendidiknya secara sedikit-dikit, bertahap-tahap, dan secara berkesinambungan:


TUJUH TAHUN & DUNIA SEKOLAH

Usia 7 tahun juga merupakan detik penting dari sudut kemasyarakatan kerana pada usia itu, anak kita sudah mula menjejak dunia persekolahan. Dalam suasana sekolah, ia seharusnya sudah mampu berturtur dengan baik, membaca, sudah hafal berbagai surah-zikir-doa, menulis, melukis, pandai menjaga diri, mempunyai berbagai ilmu berguna yang luas, bersifat baik, senang menjayakan dirinya dalam persekolahan, serta menyenangkan kehidupan ibubapanya.

Alhamdulillah, saya telah berpeluang menemui ramai ibubapa yang telah mendidik anak-anak dari kecil, dan anak-anak itu telah memperolehi kecerdikan, ilmu dan akhlak yang amat tinggi:

1. Pada usia 3-4 tahun mereka telah faham banyak fakta-fakta sains, bahasa, Matematik, kesihatan, protin, karbohidrat, ilmu alam, lebih dari apa yang biasa difahami oleh anak-anak yang tidak dididik dari awal.

2. Mereka bertutur dalam dua bahasa dengan fasih dan penuh adab serta makna. Tulisan dan lukisan mereka amat baik. Mereka mampu membaca Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dan mampu membaca Iqra’ (III-VI) pada usia 5-6 tahun.

3. Perbendaharaan ilmu mereka amat luas. Mereka tahu amphibia, mamalia, nama-nama pokok, mengapa daun berwarna hijau, apa erti photosynthesis, chlorophyll, nama-nama awan, mengapa awan penting, jenis-jenis kereta, negeri, ibukota, bendera, dan banyak lagi. Hal ini tidak menjadi masalah kerana mereka berminat mempelajari berbagai bahan-bahan ilmu.

4. Membuat kerja-kerja rumah, termasuk membantu bibi memasak, mengemas rumah, menolong ibubapa, membasuh kereta, menyusun buku-buku di rumah, menjahit, pergi pasar, dan menolong menjaga adik-adik ~ semua ini sudah mula menjadi amalan harian.

5. Mereka kenal masuknya waktu solat, apa itu azan, melakukan solat, berwudhu, tahu sejadah, arah kiblat, erti saf, solat berjemaah, menghafal doa Iftitah, zikir-zikir solat, surah-surah lazim, doa-doa harian dan salawat sudah juga menjadi kegemaran mereka.

6. Kerana mereka berminat dan berkemampuan tinggi, mereka mampu didedahkan kepada berbagai ilmu lanjutan. Lebih banyak, lebih tinggi kemampuan mereka memahami lebih banyak ilmu-ilmu baru pada tahap yang lebih tinggi serta bidang yang amat luas dan berbagai. Proses ini dilakukan tanpa disekat oleh usia mereka. Yang penting mereka ceria, faham dan minat belajar.

Dengan pencapaian yang begitu tinggi dan luas (pada usia 5, 6 atau 7 tahun) anak-anak ini pasti akan mudah memahami apa sahaja yang bakal diajar di sekolah. Insya-Allah, mereka akan pasti mampu menjayakan diri mereka pada tahap-tahap sekolah bermula usia 7 tahun. Semua ini pula dilandaskan dengan akhlak, iman dan budi-pekerti yang baik semata-mata kerana telah dibiasakan melakukan solatnya dari usia 7 tahu. Wallahu`alam bissawab.

Moga-moga usaha kita mendidik anak-anak kita akan sentiasa diredhai dan dipermudakan Allah SWT. Amiin.

Wassalam

Mansor Hj Sukaimi
Neptune Court

09:00 | Permalink