Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Baik-baik jangan sampai dimalukan

AGAMA MENJADI SENDI HIDUP, PENGARUH MENJADI PENJAGANYA. kALAU TIDAK BERSENDI, RUNTUHLAH HIDUP DAN KALAU TIDAK ADA PENJAGA, BINASALAH HAYAT. ORANG YANG TERHORMAT ITU KEHORMATANNYA SENDIRI MELARANG BERBUAT JAHAT - pepatah Arab

ADA satu cerita berbunyi begini, semalam kawan saya dan isterinya mengundang beberapa orang untuk makan malam di rumah. Isterinya pun sejak pagi sudah rnempersiapkan segala masakannya. Ketika semua tetamu datang, isterinya menyuruh anaknya yang berusia enam tahun untuk membaca doa sebelum makan.
"Afiq, kamu pimpin baca doa ye."
"Tapi mak, doanya macam mana?" soal Afiq.
"Katakan saja apa-apa yang biasa ibu katakan," kata isteri saya.
Afiq segera menadah tangan dan berkata, "Ya Tuhanku, kenapa saya harus mengundang orang-orang ini makan malam."
Kita tidak perlu berbuat apabila tidak ingin untuk berbuat. Tidak perlu berpura-pura untuk mengambil hati sebab risikonya penat, marah, dan hilang keikhlasan. Lebih baik kelihatan macam orang kedekut tetapi hatinya baik daripada nampak pemurah tetapi hatinya merana.
Kehidupan kini selalu menyaksikan majlis makan-makan diadakan sempena pelbagai upacara. Makan-makan sudah jadi trend sihat di pejabat, malah di mana-mana sahaja. Yang membuatnya melakukan kerana takut dikatakan tidak prihatin manakala yang kena jemput berusaha hadir sebab takut dikatakan tidak peduli.
Tanpa menafikan kejujuran dan keikhlasan, apa yang dipaparkan di atas bukanlah sesuatu yang mustahil. Memang ada orang buat kenduri supaya orang datang dan masuk ke dalam rumah dan memuji-muji cantiknya rumah berkenaan, mahalnya barang-barang perhiasan dan kayanya si tuan rumah, sedangkan acara makan-makan sekadar umpan untuk menarik orang datang.
Serupa seseorang yang asyik menuding ke atas

tatkala bercerita, sebenarnya ingin menunjukkan jam tangan mahal yang baru dibelinya. Seorang yang beria-ia hendak tolong hantar seseorang sebenarnya hendak menunjukkan bahawa dia sudah ada kereta baru.
Pelbagai taktik dilakukan oleh manusia untuk mengabui mata manusia. Dengan pelbagai alasan untuk menyembunyikan maksud sebenar mereka, semuanya lebih diketahui oleh Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Mereka cuba menyembunyikan (keburukan) daripada manusia, tetapi mereka tidak mampu (berselindung) daripada (pengetahuan) Allah S.W.T." (Surah An-Nisa: 108).
Kadang-kadang apa yang dilakukan boleh dibaca maksudnya tanpa perlu firasat ataupun kasyaf. Betulkah buat kenduri untuk kesyukuran atau hendak beritahu anak sudah masuk universiti dengan megah dan bangganya. Betulkah ajak kawan-kawan makan kerana ikhlas atau sebenarnya hendak tunjuk banyak duit walaupun pada hujung bulan. Betulkah tukar kereta selalu sebab benar-benar mampu atau hendak membulaukan mata jiran yang melihat.
Kita seharusnya berasa malu dengan muslihat yang kita sendiri ada-adakan. Sesuatu perbuatan baik yang dilakukan atas maksud riak dan menunjuk-nunjuk tiada nilainya di sisi Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Malu dan amanah ialah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, oleh sebab itu mintalah kepada Allah S.W.T. demi kedua-duanya."
Lebih baik muhasabah diri supaya tidak dimalukan sebagaimana kisah Afiq bersama ibunya di hadapan para tetamu. Lebih baik malu tidak pernah panggil kawan-kawan makan daripada dimalukan kerana terbongkar rahsia dalaman.

Petikan: Dewan Agama & Falsafah Julai 2006

09:45 | Permalink