Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Cita-cita ibarat minyak kereta

"TIADA SESIAPA YANG BOLEH MENJAYAKAN CITA-CITA KECUALI DIRI SENDIRI."

Oleh: Salina Ibrahim
SAYA masih ingat ketika bersekolah rendah dahulu, setiap murid mempunyai fail yang memuatkan hampir kesemua maklumat mengenai diri mereka. Setiap tahun, fail itu akan disemak dan dikemaskini oleh murid. Salah satu ruangan yang terdapat dalam fail tersebut ialah mengenai cita-cita dan murid akan mengisi ruangan itu.

Saya juga masih ingat, cita-cita yang saya tuliskan di sana tidak pernah tetap. Setiap tahun cita-cita itu pasti berubah mengikut selera saya. Antaranya, saya pernah menulis perkataan 'doktor', 'ahli sains', 'peguam', 'guru', dan 'wartawan', malah saya juga pernah menulis cita-cita 'tukang jahit' kerana ketika itu saya teringat ibu saya seorang tukang jahit!
Selepas menanjak usia remaja dan bersekolah menengan, kami tiada lagi fail seumpama itu. Namun, seperkara yang pasti, saya tidak lagi berminat untuk menjadi doktor atau saintis kerana menyedari saya kurang cenderung pada aliran sains. Bagaimanapun, terdapat dua cita-cita yang menjadi angan-angan saya iaitu untuk menjadi peguam dan wartawan kerana saya suka membaca dan menulis.

Kini selepas dewasa, hanya satu cita-cita yang tersangkut iaitu wartawan. Saya melupakan kerjaya peguam, sebaliknya memilih bidang kewartawanan kerana saya terlalu ingin menjadi penulis. Saya lupakan ijazah undang-undang syariah yang saya miliki walaupun dengan kelayakan itu saya mampu untuk menjadi seorang peguam syarie. Saya tidak kesal tidak menjadi seorang peguam, sebaliknya menjadi seorang penulis kerana saya gembira dengan tugas yang saya lakukan hari ini.
Sebenarnya para remaja, kita tidak perlu susah hati jika cita-cita tidak kesampaian kerana itu bukan bermakna kita akan berada di penghujung kehidupan. Jalan yang perlu dilalui terlalu panjang sebenarnya dan masih banyak yang perlu direntasi untuk sampai ke destinasi. Seperkara yang pasti, dalam perjalanan itulah anda akan lalui pelbagai peristiwa yang mungkin boleh mengubah persepsi anda terhadap sesuatu kerjaya.
Bagi yang kurang menonjol dalam akademik pula, tidak perlu berasa tersinggung jika diejek bodoh atau dungu, kerana anda masih punya 1001 cara untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan cemerlang. Namun, ini tidak bermakna remaja perlu berlepas tangan dan mengambil sikap 'tidak apa' terhadap kegagalan.

Saya ingin menegaskan bahawa anda perlu mempunyai cita-cita. Hal ini demikian kerana cita-cita itu akan menjadi penggerak kepada setiap usaha anda hari ini. Ibaratkan sahaja cita-cita itu sebagai nyawa yang menjadikan nadi terus berdenyut. Jadikan cita-cita itu sebagai motivasi yang akan memandu anda ke arah destinasi yang anda idam-idamkan.
Saya kerap mengibaratkan cita-cita seperti minyak kereta atau motosikal. Tangki dengan minyak penuh sudah tentu melancarkan pergerakan. Apabila minyak berkurangan, kita penuhkan semula.
Begitulah orang yang bercita-cita, apabila motivasi kian malap, kita segarkannya semula supaya pergerakan jadi lancar semula.
Tidak kira apa jua cita-cita, pastikan cita-cita itu terpasak dalam hati dan diterjemahkan melalui usaha. Saya faham, tidak semua akan berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera, arkitek, atau juruterbang. Yang tidak cemerlang akademik (sudah berusaha keras tetapi masih tidak bagus-bagus juga!), jangan berduka lara tetapi tidak ada salahnya jika anda mahu terus bercita-cita.

Hanya perlu pastikan minat sendiri - menjahit, membaiki motosikal, memandu laju, atau apa sahaja - kemudian jadikan itu sebagai cita-cita yang akan membawa anda ke dunia sebenar. Tidak mustahil anda akan berjaya sebagai tukang jahit atau pereka fesyen tersohor. Anda mungkin boleh menjadi mekanik terbaik atau muncul sebagai pelumba terhebat (bukan Mat Rempit!) di Litar Sepang pada masa akan datang.

Saya tertarik dengan sebuah hadis Rasulullah yang meng-ungkapkan mengenai cita-cita. Remaja bukan Islam juga boleh mengambil intipati hadis ini untuk dijadikan sandaran kerana mesej yang dihantar oleh hadis ini sangat umum sifatnya tetapi begitu memberikan motivasi.

Hadis yang diriwayatkan oleh AI-Khattab daripada Anas ini menyebut mengenai pesanan Rasullullah yang berbunyi, "Cita-cita adalah rahmat daripada Allah pada umatku. Tanpa cita-cita, sudah tentu seorang ibu tidak sanggup menyusukan anaknya dan petani tidak menanam pokok."
Demikianlah pengaruh cita-cita kepada seseorang individu. Cita-cita akan menggerakkan seseorang untuk melakukan usaha yang sebenarnya mungkin tidak perlu dilakukannya. Seorang ibu mungkin boleh membiarkan anaknya mati kehausan tetapi kerana cita-citanya untuk melihat anak membesar, maka dia berusaha menyediakan makan pakai si anak. Seorang peladang tidak perlu menanam sebatang pokok yang mengambil masa lima tahun untuk matang berbuah kerana dia mungkin tidak sempat menjamah buahnya. Namun dia bercucuk tanam juga, bukan untuk diri sendiri, sebaliknya untuk anak cucunya mengutip hasil pada masa depan.

Cita-cita sebenarnya akan menjadikan seorang manusia lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang lain. Tiada sesiapa yang boleh menjayakan cita-cita kecuali diri sendiri. Oleh itu, mahu tidak mahu, anda harus berusaha mulai dari sekarang untuk jadi apa yang anda mahu. Anda harus bertanggungjawab terhadap diri sendiri!

******
Salina Ibrahim merupakan mantan Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Berkarya dalam genre cerpen dan novel, beliau juga berpengalaman sebagai wartawan akhbar dan majalah. Aktiviti penulisannya boleh diikuti di laman web www. salinaibrahim.blogdrive.com

Sumber: Dewan Siswa Mac 2006

09:30 | Permalink