Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Indahnya jika dapat mengenali diri sendiri

"BELAJAR MENGENALI DIRI SENDIRI DARI SEGI KEKUATAN, KELEMAHAN YANG MASIH ADA, DAN BAKAT YANG MASIH TERPENDAM".

Oleh: Esa b. Abd Samad
SENARIO di sebuah pusat temu duga bagi pemilihan pelajar untuk mendapat biasiswa pengajian peringkat ijazah sarjana muda di seberang laut oleh sebuah agensi penajaan:

"Boleh saudara memperkenalkan diri?" soal si penemuduga.
Boleh. Nama saya ialah Muhamad Adi Putra bin Musa. Saya dilahirkan di Puchong, Selangor pada 15 Jun 1989. Nama bapa saya ialah Musa bin Kamal. Saya mempunyai lima orang adik beradik. Saya anak kelima. Saya belajar di Sekolah Kebangsaan Puchong sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mansuriah."

KENALKAH anda pada diri anda sendiri? Dalam senario di atas, jelas menunjukkan Muhamad Adi Putra memang memperkenalkan dirinya. Namun, dia hanya memperkenalkan latar diri dan keluarganya secara ringkas, Maklumat yang diberikannya kepada penemu duga sebenarnya telahpun diketahui menerusi resume yang dihantar. Jelasnya, Adi Putra perlu memperkenalkan dirinya secara lebih mendalam. Misalnya, kelebihannya, minatnya, hobinya, dan personalitinya agar dia dipilih untuk menerima penajaan itu.
Dalam bidang psikologi, sama ada psikologi klinikal mahupun psikologi kaunseling, kita boleh mengenali diri secara lebih mendalam. Di sekolah, anda boleh mengenali diri dengan berjumpa kaunselor yang memang dilatih khusus untuk mengendalikan ujian-ujian psikometrik agar anda dapat mencari "keindahan" dan kelebihan diri sendiri. Seterusnya anda mampu menerokai kehidupan pada masa hadapan dengan lebih yakin.
Ada dua kaedah dalam psikologi, untuk mengenali diri. Pertama, menerusi kaedah ujian dan keduanya secara bukan ujian. Kaedah ujian memerlukan anda menjawab beberapa persoalan yang lazimnya dikenali sebagai inventori. Kaedah bukan ujian pula memerlukan anda melukis, bercerita, dan sebagainya untuk mengenali diri.

UJIAN-UJIAN PSIKOMETRIK UNTUK MENGENALI DIRI
Ujian Minat Kerjaya SDS
Ujian ini amat terkenal dan lazim terdapat di sekolah-sekolah. Anda boleh mengikuti ujian ini untuk mengenali minat kerjaya anda seterusnya menentukan hala tuju kerjaya yang bersesuaian.
Ujian Minat Kerjaya SDS ini berpandukan Teori Kerjaya Holland yang menggolongkan personaliti manusia kepada enam kategori iaitu:

1.Realistik
2.Investigatif,
3. Artistik,
4. Sosial,
5.Enterprising, dan
6. Konvensional

Setelah mengikuti ujian ini, anda akan diberikan kod kerjaya yang mengandungi tiga huruf (iaitu meliputi R, I, A, S, E, dan C). Berpandukan 3 huruf itu, anda akan dibimbing oleh kaunselor bagi menentukan kerjaya yang bersesuaian.

Inventori Personaliti Sidek (INPS)
INPS juga telah dikenali sedari dulu dan acap digunakan oleh kaunselor untuk membantu pelajar mengenali diri. Menerusi INPS yang mengandungi 160 soalan berkaitan personaliti, pelajar dibimbing untuk meneliti peratusan 16 tret personaliti mereka. Antara tret personaliti itu termasuklah tahap keagresifan, ketahanan, pencapaian, ekstroversi, menolong, struktur.dan sebagainya. Dengan mengikuti ujian ini, anda akan lebih mengenali diri dan bersedia memperbaiki kelemahan kendiri, di samping menghargai kelebihan diri. Misalnya, anda mungkin tidak menyedari bahawa anda selama ini seorang yang berstruktur tinggi dan berdaya kepimpinan, justeru sesuai untuk menjadi seorang pengawas.

Inventori Personaliti Warna (1PW)
IPW juga merupakan antara inventori atau ujian psikologi yang menarik. Selepas mengikuti ujian ini, anda akan lebih mengenali diri sama adatergolong dalam kalangan orang yang mempunyai personaliti Emas, Hijau, Biru, ataupun Jingga. Jika anda tergolong dalam kumpulan Emas misalnya, anda merupakan orang yang amat patuh kepada peraturan dan bertanggungjawab.

Keirsey Personality Test
Ujian ini juga dapat membantu anda mengenali tret-tret personaliti yang perlu diperbaiki dan bakat terpendam yang mungkin selama ini tidak anda sedari. Mungkin anda selama ini tidak menyedari bahawa anda cepat marah, kurang bermotivasi, dan sebagainya.
Banyak lagi ujian lain sebenarnya yang boleh anda ikuti untuk mengenali diri sendiri. Malah pada masa sekarang, ada ujian yang hanya menggunakan kad (permainan kad) atau sekadar memerlukan anda mengarang satu perenggan dua karangan dan anda boleh membuat pentafsiran tulisan dengan dibimbing oleh kaunselor bagi mengenali diri.
Selain ujian-ujian psikologi, anda juga boleh mengenali diri dengan bantuan kaunselor tanpa mengikuti apa-apa ujian psikometrik. Misalnya, anda cuma perlu melukis gambar-gambar seperti pokok, ular, rumah, gunung-ganang, jalan, dan sebagainya. Seterusnya kaunselor yang mempunyai kemahiran dalam psikologi klinikal mampu membimbing anda mengenali diri menerusi lukisan itu.
Anda juga boleh mengenali diri melalui penceritaan dan hipnosis. Namun, kaedah ini memerlukan bantuan kaunselor yang benar-benar pakar dalam bidang berkenaan.
Walau apa-apapun, kesimpulannya belajarlah mengenali diri sendiri dari segi kekuatan, kelemahan yang masih ada, dan bakat yang masih terpendam. Selain berbantukan ujian, anda mungkin dapat mengenali diri melalui komen-komen orang lain tentang diri anda. Namun, kaedah itu tidak begitu saintifik kerana komen orang lain masih bersandarkan pendapat. Adalah lebih baik anda menyelidiki diri sendiri secara saintifik dengan bantuan kaunselor agar anda lebih yakin untuk membimbing diri ke mercu kejayaan dan kecemerlangan.

Sumber: Dewan Siswa Jun 2006

15:30 | Permalink