01 January 2006

Komunikasi ibu bapa terhadap remaja

ALAM remaja penuh pancaroba. Remaja yang berusia di antara 12 hingga 25 tahun selalunya akan melakukan apa sahaja yang terfikir kerana sikap ingin mencuba. Manakala ibu bapa sering pula 'bertentangan'dengan sikap dan perlakuan remaja kerana faktor usia dan persekitaran. Namun segalanya bertitik tolak bagaimana ibu bapa berkomunikasi dengan anak-anak remaja mereka.
Komunikasi dalam keluarga sememangnya satu aspek penting dalam mem-pengaruhi kesejahteraan keluarga. la memberi kesan yang mendalam dan berkekalan ke atas penilaian diri dan rasa kepunyaan individu. Melalui proses interaksi dan komunikasi berkesan, individu mampu menyampaikan dan meluahkan segala masalah, perasaan, pandangan dan ideanya. Melalui komunikasi juga, individu memperolehi pengiktirafan, tidak kesunyian, penerimaan kasih sayang dan lebih bersifat optimis.
Individu membentuk imej diri melalui proses pembelajaran tidak sedar berdasarkan model-model daripada masyarakat dan individu-individu yang signifikan dalam hidupnya. Antaranya, kasih sayang keluarga terutama sekali daripada ibu bapa memainkan peranan yang amat penting.
Skinner mengatakan, kasih sayang dan persekitaran pemerhatian kepada anak-anak adalah sama pentingnya dengan peneguh-peneguh positif yang diran-cang. la merupakan satu peneguhan kepada tingkah laku ideal seperti yang dipersepsikan oleh anak-anak. Ini bermakna ibu bapa yang mempunyai komunikasi yang berkesan dan positif dengan anak mereka akan dipersepsikan sebagai ibu bapa yang prihatin, menyayangi dan mengiktiraf kepentingan anak mereka. Individu ini secara tidak langsung akan menyedar betapa istimewa dan penting dirinya itu.
Pola komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja tidak mementingkan pengaruh dan kedudukan orang yang berkomunikasi tetapi melihat sesuatu situasi dari segi minda dua orang yang berkomunikasi dan kesan dan tindak balas sosial yang berlaku kepada masing-masing.
Apabila dua orang berkomunikasi sama ada di antara tuan dengan pembantu rumah, ianya mementingkan keperluan keseimbangan psikologikal bagi kedua-dua pihak. Pengkaji-pengkaji komunikasi telah membuktikan yang kesinambungan ketidakmantapan psikologikal dalam komunikasi adalah menyakitkan, tidak menyenangkan, meninggalkan kesan dan sering kali dielak oleh kedua-dua pihak.
Konsep paling penting ketika berinteraksi adalah ko-orientasi. Ko-orientasi bermakna orientasi atau fokus bersama kedua-dua ibu bapa dan remaja dalam sesuatu hal dengan perasaan, penghormatan dan penilaian yang sama.
Masing-masing akan cuba menghormati tidak mendominasi dan mengiktiraf pendapat dan pandangan orang yang berkomunikasi.
Ini akan membawa kepada komunikasi sihat dan positif. Sebaliknya, ketidakhadiran ko-orientasi akan menyebabkan perasaan tertekan sama ada berkomunikasi, tidak selesa, ingin menambahkan segera proses komunikasi dan tidak cenderung meluahkan pendapat dan perasaan. Sebagai contohnya, seorang ibu dan anak remajanya mungkin bersetuju atas persoalan fesyen pakaian (role relationship) tetapi tidak atas soal melepak.
Seorang remaja atas desakan faktor psikologikal dan persekitaran sosial
tidak semestinya mempunyai ko-orientasi yang kongruen antara ibu dengan bapa.
Kajian lain yang menunjukkan perbezaan pola komunikasi antara ibu, bapa dan anak-anak remaja mendapati yang komponen emosi dalam interaksi
antara perempuan adalah lebih kuat berbanding komponen emosi dalam interaksi dan persahabatan antara lelaki. Kajian juga mendapati perbezaan jantina dalam proses perluahan kendiri di mana perempuan lebih kerap meluahkan perasaan kepada ibu daripada bapa. Manakala ibu adalah lebih kerap dipilih sebagai rakan perbualan daripada bapa oleh remaja kedua-dua jantina.
Anak-anak pada tahap remaja mempunyai tiga keinginan iaitu untuk kebebasan, rakan sebaya dan kasih sayang. Mereka pada masa ini amat terdedah kepada pengaruh-pengaruh dari luar dan dalam yang kedua-duanya meninggalkan kesan yang mendalam dalam tahap perkembangan yang paling kritikal. Individu yang tidak memperolehi komunikasi berkesan biasanya seorang yang murung dan rendah tahap motivasi malah seorang yang bersifat pesimis.
Kemurungan yang dialami ini akan menjejaskan penghargaan kendiri dan motivasi mereka dan ini turut mempengaruhi keupayaan mereka untuk menghadapi satu-satu tugas atau situasi.
Remaja tanpa komunikasi intrakeluarga yang positif akan lebih menarik diri daripada rakan-rakan, merasa tidak yakin pada diri yang boleh membawa kepada kurang berlakunya interaksi yang penting untuk perkembangan hubungan sosial. Ini seterusnya berkait rapat dengan penghargaan kendiri remaja yang cenderung ke arah negatif.
Apabila seseorang individu mengalami komunikasi yang tidak berkesan atau negatif, ia akan memperlihatkan keadaan-keadaan yang boleh mengganggu perasaan seperti sedih, sunyi, rasa tiada pergantungan dan seumpamanya yang boleh menjejaskan pandangan dan tingkah laku terhadap dirinya dan juga persekitaran.
Remaja yang mempunyai komunikasi yang negatif lebih cenderung melihat atau menilai dirinya secara negatif. Keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan mereka kerana ini boleh mempengaruhi pemben-tukan penghargaan kendiri. Penghargaan kendiri yang tinggi amat penting bagi remaja untuk menjamin keupayaan diri dalam menghadapi masalah yang boleh membawa tekanan kepada mereka seperti masalah hubungan dengan keluarga, rakan-rakan dan juga masalah pembelajaran.
Sekiranya mereka sering mengalami kemurungan, sudah tentunya akan menjejaskan penghargaan kendiri mereka ke tahap yang lebih rendah.
Justeru itu adalah amat penting untuk memahami dan cuba mengurangkan masalah ini di kalangan remaja supaya mereka dapat membentuk penghargaan kendiri yang tinggi dan seterusnya dapat menghadapi pelajaran yang sempurna.'
Dengan itu, boleh disimpulkan juga bahawa remaja yang menghadapi proses komunikasi yang tidak berkesan dengan ibu bapa akan cenderung mempunyai penghargaan kendiri yang lebih rendah berbanding dengan remaja yang menikmati komunikasi berkesan bersama ibu dan bapa.

November Wanita 2000

09:45 | Permalink