Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2006

Setiap anak dilahirkan cemerlang

SEMUA anak dilahirkan cemerlang. Tugas ibu bapa adalah untuk menjana kecemerlangan itu untuk jadi lebih cemerlang. Yakinlah bahawa anak kita memang dilahirkan penuh keistimewaan.
Yang perlu kita lakukan adalah memberi galakan, kasih sayang, perhatian, teguran dan ingatan tanpa henti. Anak yang cemerlang dalam kehidupan adalah mereka yang sentiasa gembira dan rasa disayangi. Paling penting, sebagai ibu bapa jangan lupa doakan anak. Berikut adalah beberapa tip untuk merangsang kecemerlangan anak.
Ikuti petua mendidik anak cemerlang bersama pakar motivasi Datuk Mohd. Fadzilah Kamsah

GALAKAN DAN AMARAN ATAU HUKUMAN
Ada kala kita kena puji anak. Kemudian pada masa yang lain kita kena marah, hukum dan tegur mereka. Tapi kita kena ingat dalam mendidik anak perlu banyak memberi penghargaan dan pujian kepada mereka kerana kesannya lebih hebat daripada kritikan.

SURUHAN DAN GESAAN
Jangan menyuruh anak berkali-kali untuk melakukan sesuatu perkara kerana anak akan cepat bosan. Ibu bapa kena biasakan menyuruh anak sekali sahaja kemudian tunggu hingga mereka bergerak untuk melakukan apa yang disuruh kemudian tinggalkan mereka sendirian.

MENJANA KEYAKINAN DIRI ANAK-ANAK
Ajar anak untuk menyimpan rahsia dan mengamalkan puasa. Apabila anak boleh menyimpan rahsia bermakna mereka sudah wujudkan satu benteng kekentalan dalam jiwa dan boleh membentuk keyakinan.
Dengan berpuasa juga boleh bentuk keyakinan dan kekuatan jiwa. Didik anak kemahiran sosial, berkomunikasi, berkawan, kepentingan ilmu pengetahuan dan rajin membaca.
Galakan mereka belajar berniaga atau belajar bekerja untuk mencari wang apabila cuti sekolah. Belai anak, minta nasihat dan dengar pandangan mereka. Akhir sekali beri anak keyakinan untuk buat keputusan sendiri berpandukan nasihat kita.

LATIH ANAK-ANAK BERTANGGUNGJAWAB
Beri tugas anak-anak sesuai dengan jantina, sesuai dengan usia dan waktu. Perlu bertahap-tahap dalam melatih anak. Jangan kutuk apabila mereka buat silap. Pantau anak-anak apabila memberi tugasan jangan sampai terbentuk sifat yang tidak elok. Puji anak secara berpada-pada setiap kali mempamerkan kebolehan melakukan kerja.

RUJUK PENGALAMAN LALU UNTUK MENDIDIK ANAK
Jadikan pengalaman positif dan negatif yang berlaku pada anak atau anda sebagai pengajaran.Juga ambil kisah dalam al-Quran, cerita nabi dan juga kejadian yang dipaparkan di akh-bar untuk mendidik anak. Pengalaman lalu mudah memberikan iktibar kepada anak.

KENAL PASTI KECENDERUNGAN ANAK-ANAK
Bantu mereka untuk mendekati atau mempunyai hobi. Cuba pupuk minat mereka pada sesuatu yang berfaedah atau mempunyai hobi. Sesungguhnya, anak cemerlang adalah mereka yang sentiasa rasa gembira, puas hati, lega dan disayangi.
Menasihat anak mengikut tahap dan kesesuaian umur, intelektual, kerumitan dan kompleksiti masalah. Memberi nasihat mesti singkat, padat, bermanfaat dan tidak membosankan. Gunakan nama Allah dan rasul setiap kali menasi-hati mereka.

DIDIK ANAK PATUH PERINTAH ALLAH DAN TAAT SUNAH RASUL
Isi waktu lapang anak dengan perkara yang bermanfaat. Anak tidak ada masa untuk buat perkara yang buruk.
Beri anak peluang berdialog dengan ibu bapa. Ambil masa duduk bersama mereka dan dengar luahan perasaan serta tidak puas hati tentang tindakan kita. Biarkan mereka mengkritik kita kerana tidak semestinya ibu bapa sentiasa betul kadang-kadang tersilap juga. Rangsang kecerdasan minda melalui makanan yang seimbang. Kadang-kadang kita kurang menitikberatkan makanan seimbang. Daripada pemakananlah membantu perkembangan otak dan kecerdasan.
Doakan anak secara berterusan, Apa yang ibu bapa cakap dan fikir adalah doa yang amat mustajab untuk anak. Berhati-hati ketika bercakap dengan anak. Jangan sampai terlepas cakap, apalagi menyumpah mereka.

04:55 | Permalink