Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

16 January 2006

Tomahawk PDF+ miliki pelbagai fungsi

Format dokumen mudah alih atau lebih dikenali sebagai PDF (Portable Document Format) telah digunakan pelbagai industri sejak lebih sedekad lalu. Penggunaannya semakin popular kerana sesiapa sahaja berupaya menghasilkannya - samada menggunakan perisian komersial atau percuma. Kini, anda boleh menghasilkan sendiri fail PDF menggunakan perisian percuma seperti Tomahawk PDF+. Fail PDF yang telah dihasilkan itu kemudiannya boleh dicetak, dilindungi, dikongsi, dan diterbitkan menerusi tapak-tapak web atau blog.
Perisian percuma ini membolehkan anda mencipta dokumen RTF, TXT, dan TMD selain mengeksportnya menjadi fail HTML atau PDF. Seperti aplikasi pemproses kata popular, perisian ini juga boleh menyisipkan jadual, imej, kesan khas, dan pelbagai fon ke dalam dokumen. Selain menangani dokumen pelbagai format, perisian ini juga dilengkapi fungsi untuk menyunting, memformat, dan mencetak dokumen yang dihasilkan. Kelebihannya yang paling menonjol ialah keupayaan mencipta fail PDF dengan beberapa ciri perlindungan.
Jika berminat mencuba perisian penerbitan dan pemprosesan kata ini, anda boleh mendapatkan (download) versi percumanya di http://www.aplusfreeware.com/categories/util/ pdf.html. Setakat ini, hanya pihak ketiga sahaja yang menawarkan versi percuma manakala pembangunnya menawarkan versi komersial dan terbaru di http://nativewinds.montana.com. Versi percumanya masih menyokong Windows 95/98/Me/NT/2000/XP dan mesra pengguna - khususnya versi 2.5.0.2 yang mudah alih dan boleh dimuatkan ke dalam storan USB.
Di bawah ini adalah penjelasan secara ringkas mengenai fungsi-fungsi dan teknik penggunaan perisian ini.

Cara penggunaan
Langkah 1:
Disebabkan versi percuma perisian ini tiada di tapak web pembangunnya, maka anda boleh mengambilnya di tapak web lain - seperti di http://www.aplusfreeware.com/categories/ util/pdf.html. Di sini anda boleh mengambil versi sebelumnya (2.7.2 atau 2.5.0.2) yang masing-masing bersaiz 2606 KB dan 1831 KB. Versi 2.7.2 perlu dipasang (install) sementara versi 2.5.0.2 tidak perlukan pemasangan. Jadi, versi 2.5.0.2 lebih bebas, mudah-alih dan boleh dimuatkan ke dalam storan USB flash.

Langkah 2:
Seperti dalam contoh ini, katakan anda mengambil dan menggunakan versi 2.5.0.2. Failnya adalah dalam bentuk Zip dan perlu diekstrak sebelum perisian ini boleh diaktifkan. Selepas fail Zip itu dibuka, klik pada fail berlabel Tomahawk.exe untuk memaparkan tetingkap utamanya. Pada tetingkap utamanya, anda boleh melihat barisan menu dan pelbagai butang fungsi untuk memproses dokumen. Sebahagian besar menu dan fungsinya mirip aplikasi pemproses kata popular dan komersial.

Langkah 3:
Di bawah menu File terdapat fungsi lazim dalam aplikasi pemproses kata, contohnya New, Open, Save, Save As, Page Setup, Print Preview, dan Print. Melalui fungsi Convert to Pdf, anda boleh menukar fail yang sedang dipaparkan menjadi fail PDF. Manakala di bawah menu Edit, anda boleh menggunakan fungsi suntingan seperti Cut, Copy, Paste, Find, dan Replace. Semakan ejaan juga boleh dibuat terhadap dokumen yang sedang dikendalikan menerusi fungsi Spell Check yang tersedia.

Langkah 4:
Bagi menceriakan rupa dokumen, anda boleh menggunakan fungsi yang terdapat di bawah menu Font seperti Style, Size, dan Text Color. Di bawah pilihan Style contohnya, terdapat pilihan lain antaranya untuk menebalkan fon dan menjadikannya italik. Apabila beralih pada menu Paragraph pula, anda akan menemui lebih banyak pilihan. Ini termasuklah Align Left, Justify, Bullets and Numbering, Word Wrap dan Single Line Spacing . Anda boleh mencuba setiap fungsi dan lihat kesannya.

Langkah 5:
Seterusnya di bawah menu Format, anda boleh menentukan format latar paparan dokumen dan memilih warna yang sesuai digunakan. Meskipun fungsi ini agak jarang digunakan, namun jangan keberatan untuk mencubanya. Sementara itu, menu Insert menyediakan beberapa fungsi penyisipan. Di sini anda boleh menyisipkan fail, imej, simbol, garisan mendatar, pautan, dan pemisah halaman.
Fungsi tambahan yang dinyatakan tadi membolehkan anda mencipta dokumen yang lebih menarik.

Langkah 6:
Pilihan yang terdapat di bawah menu View berkaitan dengan cara penampilan perisian ini. Di bawah pilihan Tools, anda boleh menetapkan kategori butang kendalian yang mahu dipaparkan. Ini termasuklah kategori File, Table, Cell Borders, Font, dan Format. Di bawah menu Tools pula terdapat beberapa pilihan yang agak unik seperti Extract PDF, Image Manager, dan Thumbnail Wizard. Pilihan Extract PDF contohnya membolehkan anda mengekstrak teks dan grafik daripada fail PDF.

Langkah 7:
Tidak kurang pentingnya ialah menu Table. Di bawahnya tersenarai pelbagai pilihan untuk menangani jadual dalam dokumen. Seperti aplikasi pemproses kata popular, anda mampu memasukkan jadual dan menentukan format yang hendak digunakan. Akhir sekali ialah menu Help. Untuk pengetahuan anda, versi 2.5.0.2 ini tidak dilengkapi dengan fail bantuan. Itu sebabnya saiz fail versi ini lebih kecil. Fail Help dianggap kurang penting kerana perisian ini mudah dikendalikan tanpa bantuan.

Langkah 8: Berdasarkan penjelasan serba ringkas tadi, anda disyorkan supaya mencuba atau menguji setiap fungsi yang disediakannya. Jika anda sudah mahir menggunakan mana-mana aplikasi pemproses kata, pastinya anda tidak menghadapi masalah apabila menggunakan perisian ini. Anda boleh mencipta dokumen baru yang terdiri daripada teks, imej, pautan (link) dan menentukan formatnya mengikut cita rasa anda. Selain menghasilkan dokumen baru anda boleh mengubahsuai dokumen sedia ada.

Langkah 9:
Katakan anda berjaya menghasilkan dokumen menggunakan fungsi yang telah disediakan. Dokumen tersebut boleh disimpan dalam pelbagai format - seperti TMD, RTF, dan TXT. Selain format ini, anda juga boleh mengeksportnya menjadi fail PDF menerusi fungsi Convert to Pdf tadi. Menerusi tetingkap yang dipaparkan, anda boleh menetapkan ciri-ciri fail PDF yang ingin dihasilkan. Antaranya, anda boleh memasukkan kata laluan (password), mematikan fungsi cetakan dan sebagainya.

Langkah 10:
Sebaik sahaja fail PDF itu dihasilkan, anda boleh membuka atau memaparkannya melalui pembaca/penayang fail PDF seperti Adobe Reader. Jika fail tersebut dilindungi kata laluan, maka anda perlu memasukkan kata laluan dahulu sebelum ia boleh dibuka/ditayangkan. Menerusi perisian Adobe Reader ini juga anda boleh mengetahui samada fungsi tertentu (seperti mencetak atau menyalin) pada fail PDF yang dihasilkan melalui perisian Tomahawk PDF+ tadi telah dimatikan atau tidak.

Petikan: Majalah PC Julai 2006

13:15 | Permalink