04 February 2006
Membuat nota atau mencatat nota?
"NOTA YANG BAIK IALAH NOTA YANG SELESA DAN SERONOK UNTUK DIBACA. IA MENGGAMBARKAN SESUATU IDEA DAN FAKTA DENGAN JELAS, MUDAH, DAN RINGKAS"
Oleh: Ahmad Fadzli Yusof
SETIAP hari para pelajar biasanya membuat nota. Ada kalanya semasa di dalam kelas, semasa mengulang kaji, atau semasa perbincangan dalam kumpulan. Namun, ada kalanya kita dapati tugas membuat nota menjadi cukup membosankan. Tidak ada faedah langsung. Kenapa? Kerana akhir sekali nota itu terbuang tidak dibaca. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah tersebut? Apa kata kalau anda teliti TUJUH petua di bawah dan renung-renungkan pembaikan yang boleh dilakukan:
Rancang sebelum bikin.
"Lao Tsu pernah berkata, "Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama". Anda perlu tanya beberapa soalan yang penting. Apa yang anda inginkan daripada nota anda? Bila anda memerlukannya? Jika benar anda memerlukannya, apakah bentuk yang anda harapkan? Bagaimana untuk menghasilkannya? Adakah anda membuat nota untuk kegunaan sendiri atau kerana guru memberikan tugasan itu?
Jangan hanya menyalin.
Jangah hanya menulis sahaja apa-apa yang anda dengar atau baca. Fikirlah dahulu dan fahamkan. Selepas itu, barulah ditulis dalam bentuk yang difahami oleh otak anda. Memang senang untuk "mencatat nota" tanpa memahaminya; kerana anda bertindak hanya seperti sebuah mesin penyalin. Tetapi itu tidak memberikan faedah kepada anda. Akan tidak faham apa-apa yang sedang dipelajari, dan yang paling teruk; ia sungguh membosankan!
Jadikan ia "mesra pembaca".
Nota yang baik ialah nota yang selesa dan seronok untuk dibaca. la menggambarkan sesuatu idea dan fakta dengan jelas, mudah, dan ringkas. Anda bukannya hendak membuat buku teks yang panjang berjela, tetapi nota yang membantu ulang kaji anda. Jangan terlalu panjang, jangan pula terlalu ringkas sehingga tidak faham apa-apa yang dibaca. Orang yang paling layak untuk menentukan bentuk yang terbaik ialah anda, kerana andalah yang akan menjadi "pelanggan" utamanya.
Kemas kini dari semasa ke semasa.
Mungkin ada maklumat yang perlu ditambah dan diperbaiki. Rujuklah kepada guru, buku teks, atau buku-buku rujukan yang berlambak di pasaran. Anda boleh juga menambah carta-carta seperti carta minda untuk memudahkan ulang kaji selepas ini. Sediakan sedikit ruang kosong di muka surat nota anda untuk tujuan itu.
Yang penting dipentingkan.
Jika ada idea-idea dan isi yang penting, jangan biarkan ia menjadi "tersorok" dan "tersembunyi". Serlahkan "kepentingannya" dengan melakukan sesuatu. Contohnya, anda boleh menggariskannya, atau menulisnya dengan pen dakwat yang berlainan (itu pun kalau anda rajin), atau menandakan dengan pen penanda terang, atau apa-apa sahaja cara yang anda suka. Dengan ini, anda tidak perlu membaca kesemuanya Jika kesuntukan masa. Cukuplah dengan mengimbas idea-idea utama yang telah anda "pentingkan".
Bandingkan nota anda dengan orang lain.
Pinjam daripada kawan-kawan yang cemerlang dalam subjek itu dan lihatlah bagaimana mereka menulis nota mereka. Tengok juga isi-isi yang anda ketinggalan dan tambahkannya ke dalam nota milik anda. Jika ada kesilapan, perbetulkan agar anda tidak "diselewengkan" nanti. Anda juga boleh membandingkan nota anda dengan nota pelajar yang lemah. Dengan ini, anda boleh meneliti aspek-aspek kekurangan yang perlu dielakkan. Dalam masa yang sama anda boleh membantu dia mempertingkatkan diri.
Baca.
Tiada guna anda membuat nota tanpa membacanya. la mungkin sesuatu yang sukar pada mulanya, tetapi Jika anda tabiatkan dari awal, tidak jadi masalah lagi. Ulang kaji menjadi mudah dan menyeronokkan Jika anda mempunyai nota yang mudah dan menyeronokkan. Tidak perlu baca buku teks yang berjela, tidak perlu melihat buku rujukan yang bersimpang siur. Anda sudah ada nota sendiri, yang ditulis atas kefahaman anda sendiri, cara anda sendiri. la memang benar-benar "milik" anda.
Macam mana? Adakah anda rasa bahawa anda perlu memperbaiki tabiat membuat nota anda? Jika ada, jangan berlengah lagi. Lakukanlah sekarang kerana masa tidak akan menunggu kita semua. Berazamlah untuk berubah, dan lakukanlah perubahan!
Ahmad Fadzli Yusof adalah konsultan kanan di RK Training & Management (dahulu dikenali sebagai Suretac). Beliau juga pengasas dan penaung kepada laman web kejayaan. http://resipikejayaan.com/
Sumber : Dewan Siswa Jun 2006
14:10 | Permalink