Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

26 February 2006

Panduan keselamatan PC (Windows XP)

Segelintir pengguna tidak mahu ambil tahu perihal keselamatan PC mereka, sehinggalah timbul masalah yang tidak diramal. Ini tentunya mengudang kos baik pulih dan membazir masa. Jadi, mencegah kerosakan perlu diambil kira agar potensi berlakunya masalah ini dapat dikurangkan, dan PC boleh beroperasi seperti biasa. Malah, amalan pencegahan kerosakan biasanya menjimatkan masa dan wang untuk jangka panjang.
Selalunya PC gagal berfungsi kerana pelbagai faktor. Kadangkala persekitarannya tidak sesuai, pemiliknya sering tersilap langkah, atau kedua-duanya sekali. Persekitaran yang tidak sesuai biasanya dikaitkan dengan pencemaran debu berlebihan, kepanasan terlampau, kesan magnet, jangkitan virus daripada Internet atau e-mel, storan terbatas dan perlu dikongsi, kesan elektrik statik, gangguan kuasa elektrik, dan lain-lain lagi.
Kecuaian yang melibatkan pengguna PC itu sendiri juga pernah terjadi meskipun tidak selalu. Contohnya, ada pengguna yang tertumpah minuman pada papan kekunci, menumbangkan kekisi (yang menempatkan cakera keras di dalamnya), gagal mengemaskini perisian atau mengkonfigurasi dengan betul, peranti tidak dipasang dengan cara yang sepatutnya, dan gagal mengendalikan proses naik taraf (upgrade) dengan betul.
Jadi, 10 tips berikut mungkin boleh membantu anda untuk mengelak timbulnya masalah yang lebih buruk.

1. Jauhkan PC daripada sumber haba panas dan sejuk. Contohnya berdekatan saluran pengudaraan atau penyaman udara, berdekatan tingkap (terdedah kepada panas terik matahari dan tempias air hujan). PC perlukan persekitaran yang baik pengudaraannya, kelembapannya terkawal, dan tiada pencemaran asap rokok. Jika komponen PC terkena suhu yang terlalu sejuk, ada kemungkinan elektrik statik meningkat.

2. Sebaik-baiknya, jangan sambungkan PC terus kepada sumber atau outlet bekalan kuasa pada dinding. Sebaliknya sambungkan dahulu kepada alat pengawal gangguan bekalan elektrik yang dipanggil "surge protector". Alat ini dikatakan boleh mengawal kuasa elektrik berlebihan daripada merosakkan pemacu keras, peranti dalaman dan memadam data. Jika alat ini ingin digunakan, pastikan kualitinya terjamin.

3. Bersihkan debu dan kotoran yang
menyelinap masuk ke dalam PC. Gunakan berus lembut selain udara termampat untuk rnenanggalkan debu pada papan induk dan komponen lain. Menghembus udara terus ke dalam pemacu disket boleh menyebabkan debu tersekat di dalamnya dan mungkin gagal berfungsi. Minta bantuan orang yang mahir jika anda tidak mengetahu cara pembersihan yang betul dan selamat.

4. Pastikan direktori-direktori fail di dalam PC anda tersusun dengan baik. Contohnya, fail aplikasi dan fail data perlu ditempatkan dalam direktori berasingan. Menyimpan fail-fail data dalam direktori yang berasingan memudahkan proses simpanan (backup) kelak. Malah, pengasingan direktori ini juga boleh mengelak kemungkinan terpadam fail sistem secara tidak sengaja atau menindan fail perisian tertentu.

5. Sediakan satu set simpanan cakera penyelamat untuk sistem operasi (OS) samada dalam bentuk disket atau cakera padat (CD). Cakera ini penting ketika proses untuk menyelamat dan memulihkan sistem yang gagal berfungsi. Sebaik-baiknya buat salinan atau pendua untuk perisian asal dalam bentuk CD. Menyalin perisian asal untuk kegunaan peribadi (bukan komersial) memang sah di sisi udang-undang.

6. Rekodkan ketetapan asal CMOS (sebelum membuat perubahan padanya), dan aktiviti penyelenggaraan yang dibuat pada sistem. Maklumat bernilai ini boleh membantu anda menyelesaikan sesuatu masalah dan ketika anda perlu menaik taraf mana-mana komponen sistem kelak Jika ketetapan CMOS hilang, anda mungkin memerlukan rekod ketetapan asal untuk membina atau memulihkan semula sistem anda.

7. Simpan rekod atau dokumen penting yang melibatkan mana-mana kad tambahan yang dipasang selain prosedur yang perlu ikuti untuk memasangnya. Semua dokumen - samada dalam bentuk cetakan, atau fail dalam CD dan disket - yang disertakan bersama PC dan komponennya juga perlu disimpan. Anda mungkin perlu merujuk kembali dokumen tersebut terutamnya jika ada masalah yang di luar jangkaan.

8. Berhati-hati apabila anda memindahkan PC dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Biarpun hanya berlaku gegaran kecil, dp dan kad tambahan dalam PC mungkin longgar, manakala pemacu keras barangkali gagal berfungsi. Selain itu pemacu keras tidak sesuai dimampatkan kerana tindakan ini mungkin boleh menyebabkan kerosakan data-data di dalamnya. Jadi, adalah lebih baik jika isinya tidak dimampatkan.

9. Simpan (backup) salinan mana-mana data atau maklumat penting pada media yang boleh ditanggalkan atau dialih. Jenis-jenis storan yang boleh digunakan ialah disket, disket ZIP, CD-R/RW, pemacu USB flash, dan pemacu keras. Langkah ini penting kerana pemacu keras mungkin gagal berfungsi atau rosak pada bila-bila masa. Jadi, dengan adanya simpanan ini boleh melegakan tekanan dan kerisauan anda.

10. Pasang program pengimbas virus yang boleh mengimbas virus secara automatik apabila sistem anda dibutkan. Jangan memindah terima mana-mana fail dari Internet melainkan anda pasti sumber tersebut tidak memindahkan virus ke dalam PC anda. Jangan gunakan media storan yang telah digunakan pada PC lain melainkan anda pasti media tersebut bebas virus dan tidak menjangkitkan virus pada PC anda.

Rujukan: Majalah PC Ogos 2006

11:00 | Permalink