Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

05 April 2006

Menziarahi Kaabah

ALLAH s. w. t menjadikan Kaabah sebagai Rumah Allah - tempat mulia untuk dikunjungi orang ramai - sebagai sebuah tempat aman dan dilimpahi penghormatan dan batu tanda bagi pelindung antara manusia selaku hamba dan penyeksaanNya.

Amalan menziarahi Kaabah untuk melakukan haji adalah satu daripada lima rukun Islam yang diwajibkan sekali seumur hidup kepada umat Islam yang berkemampuan. Seorang Islam yang menyempurnakan ibadat haji seolah-seolah dia melengkapkan amalan agamanya.

Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat ke-27 yang bermaksud: "Permaklumkanlah kepada sekelian manusia itu untuk melakukan ibadat haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan mengenderai (unta dan lain-lain) mereka itu akan datang dari segala ceruk penjuru yang jauh."

Manakala Rasulullah s. a. w pula bersabda: "Barang siapa yang naik haji sedangkan dia tiada berkata kotor atau berbuat jahat, dia akan keluar dari hajinya suci seperti keluarnya bayi di hari dilahirkan oleh ibunya."

Pahala bagi mereka yang berbuat baik pula bakal menerima balasan manis daripada Allah. Al-Hasan al-Bairi r. a berkata: "Bersedekah satu dirham di Kaabah akan dibalas dengan seratus ribu, begitu juga setiap kebajikan dilakukan akan diganda Allah pahalanya dengan seratus ribu kali."

Apabila Rasulullah s. a. w kembali ke Makkah selepas penaklukannya, baginda mengadap kepada Kaabah lalu berkata: "Sesungguhnya engkau ini sebaik-baik bumi Allah azzawajalla dan negeri Allah yang aku cintai. Kalaulah tidak kerana aku dihalau daripadamu, tentu aku tidak akan keluar meninggalkanmu."

Sesudah Makkah, tiada bumi lain diutamakan seperti negeri Madinah, yang terkenal dengan nama Madinah Rasulullah s. a. w. Segala amalan ibadat di dalamnya juga dilipatgandakan pahalanya. Rasulullah bersabda: "Satu kali sembahyang di dalam masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu kali sembahyang di tempat lain, kecuali Masjidil-Haram (Kaabah)."

Sama pahala Selain itu, bersembahyang di Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis digambarkan sebagai sama pahalanya seperti bersembahyang lima ratus kali.

Oleh itu, tiga masjid yang dinyatakan di atas mempunyai tempat amat istimewa pada pandangan umat Islam. Selain ganjaran pahala amat besar yang dijanjikan Allah bagi sesiapa yang beribadah di situ, ia juga ada rentetan sejarahnya yang panjang dan tersendiri.

Selain al-Aqsa yang kini terhimpit dalam pergolakan membabitkan persoalan maruah antara Palestin dan Israel, Makkah dan Madinah kini menjadi pusat pertemuan jutaan umat Islam sepanjang musim haji.

Amalan haji yang dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a. s itu diteruskan dan kembali dimurnikan sebaik saja Rasulullah membebaskan kota itu daripada belenggu kejahilan yang disimbolkan dengan kehidupan Abu Jahal, Abu Lahab dan sekutunya.

Seharusnya, kunjungan seseorang Islam ke Makkah dan Madinah - tanah bertuah kerana manusia paling mulia pernah hidup di atasnya - dapat memberi kesan besar sehingga membawa perubahan berkekalan dalam kehidupan seharian.

Semua amalan yang dilakukan sepanjang ibadah haji, sama ada rukun, wajib atau sunatnya, adalah menjurus kepada penegasan terhadap ketunggalan Allah yang selama ini sering diyakini melalui hati dan dilafazkan secara lisan.

Dengan sekian banyak cabaran dan rintangan yang dihadapi ketika proses menyempurnakan tuntutan rukun Islam kelima ini, terlalu banyak hikmah dan rahsia bakal diperolehi seseorang bakal haji.

Selain ketenangan jiwa dan keberkatan hidup, perjalanan di dua tempat bersejarah itu seharusnya membuka mata dan minda untuk melihat matlamat hidup ini tidak sekadar untuk kepentingan peribadi.

Hayatilah laungan talbiyah: "Kami datang kepadaMu, ya Allah. Kami datang kepada Tuhan yang tidak bersekutu dengan sesuatu apa pun.

"Sesungguhnya segala pujian dan nikmat adalah milikMu. Tiada Tuhan melainkan Kau."

02:40 | Permalink