05 April 2006
Prinsip Memori
Prinsip Memori
Minat. Untuk mengingati sesuatu fakta anda mestilah mempunyai minat
untuk mengetahui tentangnya. Anda mesti mempunyai sebab kenapa mahu
mengingatinya. Fikirkan langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk
meningkatkan minat anda ketika belajar atau ketika berada dalam
kelas. Sekiranya anda sedar yang anda tidak berminat pada satu-satu
mata pelajaran atau pada seorang guru, lakukanlah usaha untuk
memperbaiki diri anda demi masa depan anda. Langkah-langkah seperti
berikut boleh membantu:
Dapatkan rakan yang hebat dalam pelajaran tersebut.
Kenali guru anda dan cuba fikirkan kebaikan-kebaikannya daripada
memikirkan keburukan-keburukannya
Lakukan lebih banyak latihan untuk menguasai mata pelajaran
tersebut. Mulakan sedikit dahulu, apabila anda menguasai, walaupun
sedikit, anda akan mula lihat bahawa anda punya potensi untuk pergi
lebih jauh. Minat mula berputik
Cari jalan untuk mempraktikkan apa yang anda pelajari. Pelajaran
bahasa memerlukan anda sentiasa bercakap menggunakan bahasa tersebut
Berhasrat Untuk Mengingatinya. Hasrat yang sungguh-sungguh untuk
mengingati sesuatu fakta. Berfikir secara positif dan katakan pada
diri yang anda pasti boleh mengingatinya. Amalkan sikap yang anda
pasti mempelajari dan menguasainya sekarang, bukan esok bukan akan
datang. Langkah-langkah berikut turut membantu:
Anggapkan bahawa guru akan memberikan kuiz dipenghujung sessi,
ganjarannya ialah RM10 untuk setiap soalan yang dijawab dengan
betul.
Rekodkan pada sehelai kertas setiap kali anda meyedari yang fikiran
anda melayang. Serta merta kembali berikan tumpuan. Dengan cara
ini anda melazimkan minda anda untuk berusaha memberikan tumpuan.
Apabila membaca cuba berkata-kata kembali dengan penulisnya
(walaupun penulis sebenarnya tidak ada dihadapan anda).
Ketika guru mengajar bentuk soalan sebanyak mungkin dan soal ketika
berpeluang.
Pengetahuan Asas. Pemahaman anda tentang sesuatu subjek baru
bergantung kepada sejauh mana pengetahuan anda tentang subjek
tersebut sebelumnya, dan juga subjek-subjek yang berkaitan
dengannya. Lagi mantap pengetahuan asas anda, lagi mudah anda
menguasai subjek yang baru dipelajari.
Tip: Lagi banyak pengetahuan asas anda tentang sesuatu pelajaran
lagi mudah untuk anda lebih mengetahui tentangnya.
Langkah-langkah yang boleh diambil:
Buat imbasan sebelum mempelajari pelajaran / tajuk baru (Lihat
bahagian membaca kritikal).
Baca bahan sebelum bermulanya kelas. Baca walaupun anda tidak begitu
memahaminya. Ini akan menjadi pengetahuan asas untuk anda.
Mulakan dari yang mudah kepada yang susah. Jangan abaikan perkara
asas walaupun nampak mudah.
Lakukan usaha pengayaan bahan, baca buku-buku tambahan, cari bahan
dalam internet dan sebagainya.
Pemilihan. Anda mesti mampu menilai bahagian mana yang lebih
penting dan pilih bahagian tersebut untuk didalami. Minda tidak
mampu untuk menguasai sepenuhnya subjek baru dalam sesuatu masa.
Minda juga mempunyai had untuk mencerap perkara baru. Oleh itu
pilihlah perkara yang paling penting dulu untuk dipelajari, bermula
dari sini anda boleh mengembangkan pengetahuan anda dengan
menjadikan perkara yang telah dipelajari ini sebagai pengetahuan
asas anda.
Pengecilan Saiz Maklumat. Anda boleh belajar dan mengingati fakta
dengan lebih baik sekiranya anda mampu mengagihkan fakta-fakta
tersebut kepada beberapa kumpulan tertentu yang lebih kecil. (Lihat
bahagian Teknik Ceraian).
Recitation. Menyebut fakta atau ide dengan suara yang boleh
didengari oleh telinga anda mempercepatkan maklumat dipindah dari
memori jangka pendek ke memori jangka panjang. Penyebutan berhasil
kerana beberapa sebab:
Anda tahu anda perlu menyebutnya dengan menggunakan ayat sendiri,
maka anda akan berikan lebih tumpuan. Anda juga meningkatkan hasrat
untuk mengingatinya.
Anda mendapat maklumbalas segera sama ada anda mampu mengeluarkan
semula maklumat tersebut. Sekiranya anda telah menguasai sesuatu
subjek maka anda juga pasti boleh menerang dan mengajarkannya semula.
Apabila anda mendengar setiap patah perkataan, anda menggunakan
bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.
Tip :
Gunakan kad kecil.
Setiap kali habis baca satu perenggan, berhenti sejenak, jelaskan
semula kepada diri anda apa yang telah anda pelajari dengan
menyebutnya dalam perkataan anda sendiri.
Dapatkan rakan yang boleh sama-sama menyoal dan menjawab.
Leceh? Memang melecehkan tetapi jauh lebih baik daripada anda
membaca tetapi tidak faham dan tidak ingat.
Gambaran Minda. Ini adalah prinsip memori yang sangat penting.
Kaedah ini memerlukan anda menggambarkan setiap fakta yang anda mahu
ingat. Dengan menggambarcara anda menggunakan otak kanan anda
seiring dengan membaca yang menggunakan otak kiri. Begitu juga
ketika guru mengajar, tukarkan setiap penyampaian guru ke dalam
bentuk gambaran minda. Sebenarnya minda anda telahpun melakukan
proses ini tanpa anda sedari tetapi untuk meningkatkan ingata anda
perlu melakukan usaha sendiri untuk menggambarkannya. Kita akan
mempelajari 80% dari apa yang kita lihat daripada apa yang kita
dengar. Walau bagaimana rumit sekali pun cuba dapatkan ide untuk
menggambarkan setiap apa yang dipelajari. Tanya diri anda soalan
berikut:
Bolehkah fakta ditukarkan kepada carta atau graf?
Bolehkan anda melakar atau melukis?
Bolehkan anda buatkan cerita dalam minda?
Bolehkan dihasilkan peta minda?
Association. Ingatan akan lebih kuat dan lebih lama sekiranya
sesuatu yang mahu diingati itu unik, ganjil, atau boleh dikaitkan
dengan sesuatu yang anda ketahui sebelum ini.
Consolidation. Minda anda memerlukan masa untuk maklumat baru
tersimpan. Apabila anda membuat nota dan mengimbas semula serta
merta setelah tamatnya kelas bermakna anda telah membolehkan
maklumat tersimpan lebih lama. Memori jangka pendek hanya mampu
menyimpan 5 hingga 7 maklumat sahaja dalam sesuatu masa. Sekiranya
maklumat ini tidak dipindahkan ke memori jangka panjang maka potensi
untuk anda lupa adalah tinggi. Anda biasanya didatangkan dengan
begitu banyak maklumat ketika belajar. Oleh itu anda perlu
menggunakan kaedah dibawah bagi mengekalkan maklumat-maklumat
tersebut.
Membuat nota.
Bertanya soalan dalam kelas.
Mengimbas semula nota.
Berhenti disetiap perenggan dan tuliskan soalan atau soal diri anda
apa yang telah anda pelajari.
Membuat gambaran minda.
Menyebut kembali apa yang dibaca dalam ayat sendiri.
Membuat kad kecil.
Menguji diri dengan kuiz atau soalan.
Mengagih Latihan. Beberapa siri sessi belajar yang pendek adalah
lebih baik dari satu sessi belajar yang panjang. Pendekatan ini
perlu digunakan untuk mata pelajaran yang anda sukar fahami atau
sukar dikuasai. Sebab minat anda tentang mata pelajaran ini kurang
atau tiada langsung sedangkan mata pelajaran tersebut penting.
Mengagih masa latihan memberikan masa untuk maklumat dicerap dan
disimpan. Ia juga membolehkan anda membina pengetahuan asas tentang
pelajaran tersebut.
16:46 | Permalink