Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

05 April 2006

Yang Pahit Itu Penawar.

Belajar di sekolah yang pelajarnya hanya lelaki merupakan pengalaman yang menarik dan agak menyeronokkan. Tiada dalam kamus fikiran saya dan kawan-kawan untuk bersaing bagi mencapai kejayaan
yang cemerlang dalam setiap kali ujian atau peperiksaan. Hukuman yang dikenakan, adakala suatu yang dirancang dan menjadi kebanggaan untuk diceritakan kepada rakan lain di asrama.

Pada bulan Jun tahun 1982, merupakan bulan keramat bagi saya dan rakan sekelas kerana bermula dari situ, saya dan rakan telah berubah menjadi pelajar contoh kepada pelajar lain di sekolah. Kami
bina keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan kami dan keluarga. Ini kerana pada bulan tersebut, kami ditakdirkan menerima seorang ustaz bagi mengajar mata pelajaran Agama Islam.
Dihari pertama beliau masuk ke kelas, beliau telah menceritakan pengalaman yang ditempuhinya sebelum mencapai kejayaan.

Ustaz berkenaan berasal dari pantai timur iaitu, negeri Kelantan. Beliau merupakan anak yatim dan dari keluarga yang cukup dhaif. Ibunya menyara keluarga dengan mengambil upah membasuh pakaian
dari rumah ke rumah dan menuai padi. Oleh kerana kemiskinan, beliau tidak pernah menjejak kaki ke sekolah. Malah, ketika rakan-rakan sebaya berseronok ke sekolah, beliau sedang berada di atas pokok kelapa dan sibuk menurunkan buah yang sudah tua. Kemiskinan telah menyebabkan keluarganya telah disisih oleh masyarakat di kampungnya. Penyisihan termasuk dikalangan saudara-mara terdekat telah menyedarkan beliau untuk merubah nasib keluarga dan perubahan tersebut akan dapat dilakukan melalui pendidikan.

Pada setiap petang, ketika rakan lain asyik bermain, beliau berulang alik ke rumah satu-satunya rakan rapat untuk belajar membaca dan menulis. Duit upah memanjat kelapa diasingkan sedikit untuk membeli pencil dan kertas. Dengan usaha gigih dan sabar beliau boleh membaca dan menulis pada ketika usia 8 tahun. Setelah pandai membaca, beliau mula meminjam buku atau suratkhabar lama dari rakannya.

Ketika usia 14 tahun, rakannya mengajak beliau mengambil peperiksaan SRP sebagai calon persendirian. Dengan linangan air mata, beliau membayar yuran peperiksaan dari duit yang dikumpul sedikit demi sedikit sejak sekian lama. Dalam kepenatan, beliau tekun belajar bersama-sama rakannya pada sebelah petang dan malam. Peperiksaan SRP kali pertama, beliau gagal. Kegagalan tersebut, tidak mematahkan
semangatnya untuk mengambil peperiksaan sekali lagi. Pada kali kedua, beliau belajar dari kesilapan yang lalu dan berjaya mendapat pangkat A.

Kejayaan tersebut telah menyemarakkan semangatnya untuk mengambil peperiksaan SPM secara persendirian. Beliau menolak tawaran untuk belajar di sekolah bantuan kerajaan kerana terpaksa bekerja
bagi mengurangkan beban ibunya yang semakin uzur. Keputusan peperiksaan rakannya yang hanya mendapat pangkat tiga tidak melemahkan semangatnya untuk terus belajar dan berguru dengan rakan tersebut. Beliau tidak ada pilihan. Sudah pastilah, akhirnya beliau gagal dalam peperiksaan SPM. Seperti sebelumnya ,
beliau tetap dengan pendiriannya untuk mengulang lagi sehingga berjaya. Baginya ilmu lebih berharga dari duit yang disimpannya sedikit demi sedikit. Beliau sanggup mengikat perut agar dapat
mengumpulkan wang yang cukup untuk membiayai yuran peperiksaan.

Ketekunan dan kegigihan dengan belajar dari kesilapan sebelumnya , akhirnya beliau berjaya mendapat pangkat 1. Beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 6 di Kolej Islam Kelang. Setelah berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, barulah masyarakat kampung memandang tinggi pada
diri dan keluarganya. Ini kerana, buat pertama kali di kampungnya ada pelajar yang mendapat pangkat satu dalam peperiksaan SPM dan ditawarkan ke Kolej Islam Kelang. Baginya ia merupakan permulaan
kejayaan dalam hidupnya.

Akhirnya, setelah berbincang dengan saudara-mara yang mula mengambil berat tentang keluarganya, beliau menerima tawaran belajar di Kolej Islam Kelang kerana dijanjikan biasiswa dan ada saudaranya yang sanggup menjaga ibunya di kampung. Dengan rasa penuh serba salah dan sayu, beliau terpaksa meninggalkan ibunya yang sudah tua dan uzur di kampung demi mencapai cita-cita. Hanya perkataan yang mampu
diluahkan pada ketika itu ialah, `Mak… saya akan balik dengan kejayaan untuk keluarga kita.'
Memasuki Tingkatan Enam merupakan peristiwa paling bersejarah dalam hidupnya kerana buat pertama kalinya beliau menjejakkan kaki ke dalam bilik yang dinamakan kelas dan belajar secara formal dari orang yang dinamakan guru. Berjauhan dengan ibu selama dua tahun (tidak balik kerana tidak mampu), tidak mematah semangatnya untuk gigih belajar.
Hanya dengan melalui sekali peperiksaan sahaja beliau telah berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan STPM . Beliau telah ditawarkan melanjutkan pelajar ke Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mula menjadi kebanggaan masyarakat di kampungnya kerana satu-satunya anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Pengajaran yang amat bermakna, yang saya dan rakan perolehi ialah:

a. Kita akan dipandang hina atau jijik oleh masyarakat malah juga saudara-mara, sekiranya miskin dan tidak berilmu.
b. Tiada siapa yang dapat mengubah nasib diri dan keluarga kita selain dari kita sendiri.
c. Setiap orang ada potensi diri untuk cemerlang tetapi ia tidak akan mudah diperolehi tanpa adanya kesungguhan, keyakinan dalam diri dan kesabaran .
d. Masalah yang wujud dalam mengejar kejayaan sebenarnya merupakan rencah atau ramuan dalam proses membentuk keperibadian kita menjadi manusia yang sempurna.

Terima kasih ….. ustaz, yang kini menjadi Ketua Sektor di Jabatan Pendidikan Negeri di atas nasihat dan perkongsian pengalaman beliau. Kesemua rakan saya kini telah berjaya dengan kerjaya masing-masing sebagai doktor, ahli farmasi, jurutera, arkitek, pensyarah, ahli perniagaan, pengurus syarikat dan juga guru siswazah.

- MKHJ

17:00 | Permalink