10 April 2006
Menghayati sejarah perjuangan Rasulullah
Oleh Hasliza Hassan
PADA diri Rasulullah SAW wujud contoh dan model terbaik untuk diikuti bagi mewujudkan masyarakat Islam bersatu padu, harmoni dan diredai Allah.
Sunnah Baginda yang berperanan sebagai penjelasan, penerangan serta huraian dalam melaksanakan suruhan al-Quran adalah rujukan sepanjang zaman dan sesuai diamalkan biarpun suasana dunia berubah.
Pengajaran serta amalan yang ditinggalkan tetap relevan hingga hari ini. Ia menjadi bukti pemikiran Rasulullah SAW merentasi masa, bukan hanya sesuai untuk masyarakat pada zaman dulu saja.
Sempena sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal, esok, sewajarnya kita menghayati sejarah perjuangan Rasulullah SAW yang berjaya membangunkan negara serta rakyat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pada diri setiap umat Islam perlu tertanam keazaman mencontohi Baginda dalam memenuhi amanah sebagai nabi, pemimpin, ketua, hakim, pejuang, pendakwah, suami, bapa, datuk, sahabat dan jiran.
Pembangunan kota Madinah adalah bukti kejayaan Baginda membentuk serta memimpin negara Islam, menyatukan pelbagai kaum, mengembangkan ekonomi dan banyak lagi usaha sehingga menjadi kuasa disegani ketika itu.
Semua itu dilakukan Baginda dengan berpaksikan kepada hukum al-Quran yang diterjemahkan sebaiknya melalui keperibadian, tindak tanduk serta keputusan yang diambil ketika menjalani kehidupan seharian.
Jiwa mulia Rasulullah mencairkan hati musuh yang lemah dan semua itu tidak dilakukan dengan cara kekasaran, sebaliknya menggunakan pendekatan dengan berhikmah.
Bersandarkan kesedaran terhadap pengorbanan dan sumbangan Rasulullah SAW, sambutan Maulidur Rasul akan lebih dihayati, seterusnya memberi kesan mendalam kepada semua umat Islam.
Tahun ini, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1427 Hijrah/2006 Masihi akan diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, sekali gus mengimbau kenangan perhimpunan tahunan yang pernah diadakan di stadium itu pada 1990 hingga 1997.
Difahamkan pemilihan Stadium Negara sebagai lokasi sambutan bertujuan memberi peluang masyarakat sekitar terutama yang bukan Islam untuk bersama menyaksikan kehebatan syiar Islam.
Ternyata kedudukan Stadium Negara di tengah bandar raya akan memberi peluang kepada masyarakat berbilang bangsa untuk turut serta meraikan hari kebesaran kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad.
Menurut Urusetia Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, sambutan dimulakan dengan perarakan sejauh dua kilometer dari Dataran Merdeka ke Stadium Negara.
Perarakan sambil berselawat itu membabitkan 84 kontinjen dari jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan, pertubuhan, pelajar institusi pengajian tinggi serta pelajar sekitar Lembah Klang.
Sambutan kali ini dijangka dihadiri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak serta menteri Kabinet dijadual hadir pada majlis itu.
Tahun ini, 12 orang dipilih untuk Anugerah Tokoh Maulidur Rasul bagi mengiktiraf mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah yang menjurus kepada kepentingan dan kemakmuran rakyat.
Penerima mewakili jabatan kerajaan, badan berkanun, tentera, swasta, polis, badan bukan kerajaan, guru, pelajar dan individu.
Penerima anugerah akan menerima wang tunai RM3,000, trofi, sijil dan hadiah iringan.
Kontinjen yang berarak juga akan diadili bagi menentukan johan dan naib johan bagi setiap kategori.
Selain itu, persembahan khas akan diadakan membabitkan persembahan multimedia, gurindam, sajak, nasyid daripada kumpulan Rabbani serta Mirwana.
15:30 | Permalink