Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

30 April 2006

Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan

Latarbelakang KMNS

Merupakan salah sebuah kolej matrikulasi yang dikendali sepenuhnya oleh Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dibuka pada 1 Januari 2000 dan mula menerima kemasukan pelajar pertamanya seramai 491 orang dari Kolej Matrikulasi Melaka.

14 Februari 2000 telah mendaftarkan pelajar seramai 2,135 orang

5 April 2003 pelajar yang telah mendaftar lebih kurang 2418 orang termasuk bukan Bumiputera.

Manakala 16 Mei 2007 seramai 2412 orang pelajar mendaftar di KMNS.

Konsep Program Matrikulasi

Merupakan persediaan bagi pelajar bumiputera lulusan SPM yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di IPTA/IPTS dalam bidang sains, teknologi dan perakaunan.

Pengajian program ini mengambil masa selama dua semester atau satu tahun.

Kurikulum yang disediakan memberikan penekanan yang seimbang dalam aspek akademik, pembentukan sahsiah dan kecergasan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Yuran pengajian dan penginapan ditanggung oleh pihak Kementerian, malah setiap pelajar diberikan elaun wang saku sebanyak RM 250.00 sebulan (untuk tempoh 10 bulan) tanpa mengira pendapatan penjaga.

Pelajar diwajibkan untuk memenuhi syarat minimum yang telah ditetapkan oleh IPTA terutamanya lulus dalam peperiksaan (sekurang-kurangnya PNGK 2.00) untuk dipertimbangkan tempat di IPTA.

Objektif

Mengeluarkan para lulusan matrikulasi yang mencukupi untuk program ijazah pertama dalam bidang profesional seperti sains, teknologi, perakaunan dan lain-lain di Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.

Membina insan pelajar berakhlak mulia, berilmu, kreatif, berketrampilan dan berdaya saing seperti yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk menjadi pelapis profesional bumiputera dan pemimpin masa depan.

Meningkatkan pengetahuan dan kecekapan pelajar bagi mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan dikalangan bumiputera negara ini.

Visi dan Misi KMNS

Visi – Pusat kecemerlangan akademik dan sahsiah menjelang tahun 2010.
Misi – Memastikan 10% daripada jumlah pelajar mencapai sekurang-kurangnya PNGK 4.00 dan 60% daripada jumlah pelajar mencapai sekurang-kurangnya PNGK 3.00 ke atas.

Pengurusan KMNS

Diketuai oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh seorang Timbalan Pengarah, 4 orang Ketua Jabatan (Jabatan Sains, Jabatan Matematik, Jabatan Sastera Ikhtisas dan Jabatan Pengurusan Pelajar), seorang Pustakawan, seorang PTM, seorang Penolong Pengarah Peperiksaan, 187 orang pensyarah dan 69 orang staf sokongan.

Infrastruktur KMNS

Kemudahan Kediaman
Mempunyai 3 kolej kediaman iaitu Kolej Kediaman Jauhari (A), Kolej Kediaman Bestari (B) dan Kolej Kediaman Cendikia (C).

Pengurusan di kolej kediaman diketuai oleh seorang Pengetua dan dibantu oleh Ketua Felo, Felo, Ketua Penyelia Asrama dan Penyelia Asrama.

Kemudahan Makan Minum
Pihak kolej tidak menyediakan makan minum percuma kepada pelajar tetapi menyediakan kafetaria yang menjual makanan dengan harga terkawal dan berpatutan,

Setiap kafetaria dikawal selia oleh satu jawatankuasa khas dari semasa ke semasa dari segi harga, kualiti makanan, kebersihan, layanan dan sebagainya.

Kemudahan Pengajaran Pembelajaran
Terdapat 6 buah dewan kuliah, 28 bilik tutorial dan 40 makmal sains.
Terdapat 7 makmal komputer yang setiap satu mempunyai 31 buah komputer.
Terdapat perpustakaan yang telah dilengkapkan dengan buku rujukan dan kemudahan internet.

Kemudahan Sukan
Terdapat kompleks sukan bagi menggalakkan pelajar bergerak aktif antaranya kemudahan permainan bola sepak, gimnasium, bola tampar, tenis, badminton, squash, bola keranjang, bola jaring, hoki dan ping pong.

Terdapat juga sebuah gimnasium yang boleh digunakan oleh semua warga kolej.

Bilik Gerakan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar

Kemudahan bagi pelajar yang berminat untuk bergerak aktif dalam berpersatuan. Ia mengandungi bilik mesyuarat, bilik komputer, bilik AJK persatuan dan sebagainya.

Kemudahan Bagi Kebajikan Pelajar

Menyediakan kedai runcit
Menyediakan Cyber Cafe
Menyediakan Kedai Cenderamata
Menyediakan Klinik Kolej
`One-Stop Centre’ (OSCEN)
Kaunter Peperiksaan
Kaunter Penyelia Asrama
Bilik Bimbingan dan Kaunseling


Peraturan KMNS

Pemakaian Akta 174

Semua kolej matrikulasi dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia telah diberikan kelulusan oleh Dewan Rakyat untuk menggunapakai Akta 174 dalam menguruskan pelajar-pelajar program matrikulasi.

Akta ini memperuntukan peraturan yang perlu diikuti oleh pelajar seperti dinyatakan dalam Buku Peraturan Pelajar Program Matrikulasi (diedarkan kepada setiap pelajar semasa pendaftaran)

Akta ini membenarkan pihak kolej mengambil tindakan ke atas pelajar yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Kehadiran Kuliah, Tutoran, Amali dan Kokurikulum

Setiap pelajar wajib hadir kuliah, tutoran, amali, kokurikulum dan semua aktiviti rasmi kolej. Hanya pelajar yang sakit dan dapat mengemukakan surat sakit yang sah atau kebenaran khas secara bertulis daripada Pengarah atau pegawai yang berkaitan sahaja yang dikecualikan.

Kehadiran kuliah, tutoran dan amali yang kurang daripada 90% tanpa sebab akan diambil tindakan tatatertib sehingga pelajar berkenaan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.


Pakaian dan Penampilan Diri

Pelajar diwajibkan memakai pakaian rasmi kolej yang lengkap (pakaian kuliah) ketika waktu kuliah dan berurusan dengan pentadbir/pensyarah.

Pakaian rasmi kolej bagi lelaki ialah baju berwarna cerah tanpa corak dan berseluar slack gelap, bertali leher, berstokin dan berkasut gelap. Pakaian rasmi kolej bagi perempuan ialah baju dan kain bercorak, berstokin dan berkasut gelap

Untuk tujuan keluar kolej (outing / balik bermalam) dibenarkan berpakaian smart casual bagi lelaki dan pakaian ke kuliah untuk perempuan.

Cuti Balik Bermalam

Cuti balik bermalam dibenarkan pada setiap minggu yang tiada program rasmi kolej setelah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kelulusan balik bermalam yang melibatkan waktu kuliah dan aktiviti kolej hanya daripada Pengarah, Ketua Jabatan atau Penolong Pengarah HEP sahaja.

Kelulusan balik bermalam yang tidak melibatkan waktu kuliah / aktiviti kolej hanya daripada warden blok sahaja. Pelajar diminta memohon kebenaran dengan mengisi borang permohonan selewat-lewatnya dua hari sebelum tarikh yang dicadangkan.


Sistem Kawalan Keluar / Masuk Kolej

Semua urusan keluar/masuk kawasan kolej oleh pelajar dan penjaga/pelawat hanya melalui pintu utama.

Penjaga/pelawat yang hendak masuk atau keluar kawasan kolej dikehendaki berhenti untuk pemeriksaan pengawal keselamatan dipintu masuk kolej.

Penjaga mesti meninggalkan kad pengenalan dipondok pengawal untuk dibenarkan masuk ke kawasan kolej bagi menemui/berurusan dengan pelajar.

Masa Lawatan

Hari lawatan bagi penjaga ialah pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Masa lawatan mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 petang.

Penjaga yang hendak membawa anak keluar walaupun pada hari lawatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada felo bertugas. Anak yang dibawa keluar harus dihantar pulang ke asrama tidak lewat daripada pukul 7.00 petang kecuali kecemasan.

Waktu lawatan ini hendaklah dipatuhi oleh semua.

Barangan dan Tingkahlaku Dilarang

Semua pelajar dilarang sama sekali membawa dan menggunakan segala jenis peralatan elektrik termasuk peti televisyen, perakam pita video, VCD/DVD player, peti sejuk, cerek elektrik, pemanas air, periuk nasi dan lain-lain alatan yang menggunakan sumber elektrik kolej selain daripada yang disediakan oleh kolej kecuali lampu meja, alat pencegah nyamuk, pengecas bateri kering untuk kegunaan radio kaset kecil dan jam tidur.

Penggunaan telefon bimbit dibenarkan di premis asrama pelajar sahaja. Pelajar perlu mematikan telefon bimbitnya pada waktu pembelajaran rasmi seperti waktu kuliah, amali dan tutoran. Sebarang penyalahgunaan telefon berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Pelajar dilarang sama sekali membawa masuk, menyimpan dan menggunakan makanan dan minuman yang tidak halal seperti minuman keras, daging babi, anjing, apa-apa bahan yang diperbuat daripadanya dan lain-lain yang tidak halal ke dalam kawasan kolej.

Penyalahgunaan dadah, memiliki atau mengedar ganja, memiliki atau menghisap rokok, membawa atau menyimpan senjata berbahaya/bahan letupan, menganggotai kumpulan haram/kongsi gelap, mencabul kehormatan, melawan/mengancam/memukul/mencederakan pensyarah atau pelajar lain, memeras ugut, membuli, berkhalwat, menceroboh bilik khas/makmal kedai koperasi/pejabat kolej atau asrama/rumah felo, menunjuk perasaan/menganggu ketenteraman awam, keluar dari kolej tanpa kebenaran, mencuri, berjudi dan bertaruh merupakan tingkah laku jenayah yang serius dan boleh diambil tindakan sehingga digantung pengajian atau diberhentikan daripada program matrikulasi.

Hal Lain-Lain

Bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sesi tahun ini.

Meritokrasi juga telah dijalankan dan digunapakai di Program Matrikulasi.

Selepas tamat pengajian pelajar memasuki 17 buah IPTA dalam 485 pilihan kursus dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknologi, sains gunaan, sains, sains kesihatan, perubatan, sains komputer, teknologi maklumat, pengurusan, pendidikan, sains sosial, pengurusan perniagaan, ekonomi dan perundangan.

08:30 Posted in MAKLUMAT AM | Permalink | Comments (0)

1 2 3 4 5 6 7 8 Next