Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

21 May 2006

24,000 pelajar ikuti program matrikulasi

Pemilihan calon berdasarkan merit keputusan peperiksaan SPM

SEJUMLAH 24,000 tempat ditawarkan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 untuk memasuki Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran bagi sesi akademik 2007/2008.

Pengarah Bahagian Matrikulasi kementerian, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 22,000 tempat disediakan bagi pengambilan Program Matrikulasi Setahun, manakala baki 2,000 lagi Program Matrikulasi Dua Tahun.

Beliau berkata, penawaran kemasukan program dua tahun kali ini meningkat 600 tempat berbanding pengambilan 1,400 pelajar ketika mula dilaksanakan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, tiada perbezaan ketara dari segi bilangan tempat disediakan bagi program setahun sesi ini dengan 86 peratus ditawarkan untuk kemasukan jurusan Sains dan 14 peratus Perakaunan.

“Pemilihan calon sama ada memasuki program setahun atau dua tahun adalah berdasarkan merit keputusan peperiksaan SPM mereka.

“Calon cemerlang akan ditawarkan mengikuti program setahun termasuk 10 peratus bagi pelajar bukan Bumiputera.

“Begitupun, mereka dibenarkan membuat pilihan memasuki program dua tahun sekiranya mahu sebelum sesi pengajian bermula.

“Sebaliknya, calon yang memperoleh tawaran memasuki program dua tahun tidak boleh bertukar kepada program setahun.

“Pengambilan program ini hanya membabitkan pelajar Bumiputera dalam jurusan Sains,” katanya kepada Berita Harian.

Zainal Abidin berkata, calon boleh menyemak keputusan permohonan mulai 17 April ini, manakala senarai nama pelajar terpilih mengikuti program setahun akan diserahkan kepada pihak kolej matrikulasi dua hari kemudian.

Katanya, beberapa saluran semakan disediakan, termasuk menerusi laman web www. moe.gov.my/bm kpm/, di samping khidmat pesanan ringkas (SMS), infoline dan help desk yang akan dihebahkan tidak lama lagi.

“Pendaftaran untuk kemasukan program setahun akan diadakan serentak di sembilan Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua Kolej Matrikulasi Mara, 14 Mei ini.

“Namun, pendaftaran bagi calon yang ditawarkan memasuki program dua tahun akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, kira-kira 1,400 tempat lagi disediakan dalam program setahun sesi ini bagi pelajar kumpulan sulung yang sudah selesai mengikuti pengajian tahun pertama dalam program dua tahun.

Sepanjang tahun lalu, beliau berkata, pelajar terbabit didedahkan kepada pengukuhan akademik dan pembangunan potensi mereka sebagai persediaan mengikuti pengajian lebih intensif pada tahun kedua.

Katanya, mereka selesai menduduki peperiksaan akhir semester, Mac lalu dan mesyuarat akan diadakan pada 18 April ini bagi menentukan keputusan pelajar yang layak meneruskan pengajian ke tahun kedua.

“Keputusan itu dijadualkan dalam tempoh seminggu dari tarikh mesyuarat berkenaan dan akan dimaklumkan kepada kolej matrikulasi masing-masing.

“Pelajar mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) di bawah 2.00 tidak layak meneruskan pengajian ke tahun kedua. Sebarang rayuan tidak akan diterima, hanya boleh mengemukakan permohonan kepada bahagian untuk semakan semula keputusan.

“Bagaimanapun, pelajar terbabit masih berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta atau memasuki program diploma.

“Pelajar yang berjaya pula akan memulakan pengajian tahun kedua bersama calon baru program setahun pada sesi 2007/2008.

“Keseluruhan, bilangan tempat disediakan bagi calon baru dan juga pelajar sedia ada dalam program dua tahun sesi ini adalah berdasarkan unjuran peluang pengambilan ke institusi pengajian tinggi awam tahun depan,” katanya.

FAKTA NOMBOR
Tempat Program Matrikulasi 2007/2008

22,000 - Program setahun
2,000 - Program dua tahun


Berita Harian 19.4.2007

03:30 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink

1 2 3 4 5 6 7 8 Next