05 June 2007
Gambaran dalam pemikiran
SESUATU tindakan yang ingin dilakukan bermula dengan gambaran dalam pemikiran. Gambaran seperti ini akan menentukan sama ada tindakan yang dirancang itu akan dilaksanakan atau tidak.
Sebagai contoh, jika seseorang pelajar menggambarkan bahawa sukan itu akan menyebabkan seseorang itu cedera, maka ia tidak akan mengambil bahagian dalam sukan. Begitu juga jika gambaran yang terdapat dalam fikiran mengatakan bahawa pelajaran Matematik itu susah, maka tiada usaha yang akan dilakukan untuk mempelajarinya.
Dalam satu situasi yang lain jika gambaran dalam pemikiran menunjukkan bahawa pelajaran Matematik itu tidak susah tetapi memerlukan kegigihan untuk belajar dan bersukan itu mampu menyihatkan badan tanpa membawa kecederaan jika mendapat latihan yang betul, maka sudah tentu tindakan yang akan berlaku adalah lebih positif, meyakinkan serta membawa kepada kejayaan diri.
Gambaran yang merangsangkan pemikiran yang positif harus diamalkan oleh setiap murid. Antara gambaran positif terhadap kejayaan diri yang perlu dibentuk adalah seperti berikut:
• Ilmu panduan hidup: Ini bermakna orang yang tidak berilmu akan menemui kehidupan yang tidak stabil serta penuh dengan kejahilan. Kebahagiaan di dunia dan di akhirat dapat dinikmati jika ilmu yang begitu bernilai itu dapat dipelajari secara bersungguh-sungguh.
• Kesukaran adalah cabaran: Ramai di antara murid-murid yang tahu menyebut perkataan cabaran tetapi tidak mengetahui maksud sebenarnya. Cabaran ialah situasi, kesukaran atau masalah yang dihadapi bertujuan untuk menguji kemampuan seseorang itu bertindak secara bijak untuk menyelesaikannya. Oleh yang demikian apa sahaja situasi yang tidak selesa seperti situasi belajar dalam kelas yang memerlukan perhatian sepenuhnya kepada guru, atau sebarang kesukaran dalam menjawab soalan adalah merupakan cabaran. Oleh itu kita perlu gambarkan bahawa sesiapa yang sanggup menerima cabaran serta bertindak menyelesaikannya akan beroleh kejayaan tetapi disebaliknya mereka yang gagal menghadapi cabaran akan kecundang.
• Usaha itu tangga kejayaan: Setiap usaha walaupun kecil akhirnya akan menemui kejayaan. “Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”. Begitulah pepatah Melayu yang bermaksud usaha yang berterusan itu akan membuahkan hasil yang banyak. Belajar setiap hari bersungguh-sungguh tanpa membuang masa akan menambahkan keyakinan diri serta memudahkan murid untuk menghadapi peperiksaan tanpa rasa tertekan. Hanya murid-murid yang belajar di saat-saat akhir tanpa persiapan awal akan rasa tertekan dan takut menghadapi peperiksaan.
Oleh itu ingatlah gambaran dalam pemikiran pencorak tindakan dan penentu distinasi kehidupan. Gambaran yang betul menyeronokkan dan membantu diri anda ke arah kejayaan, gambaran yang salah membosankan dan menjerat diri anda ke arah kegagalan.
Bertindaklah dengan bijak demi masa depan anda.
Sumber: http://www.tutor.com.my
04:05 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.