14 June 2007
Ubah Penampilan Diri
Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya,pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif.
Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja
dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampainya sahaja anda di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir
lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda
pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan
bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan
emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat
dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu
tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi.
Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata- mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional
mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan
dengan mempunyai penampilan positif.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:
Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
Kasut - Kasut yang sesuai denga tujuan kehadiran kita di satu-satu
tempat.
Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman
dan lain-lain.
Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan
sebagainya.
Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir. Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda
dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. Walau pun begitu anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri anda. Sebab
itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calun-calun secara terus bukan
sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi
seseorang.
Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin
dan sebagainya.
04:51 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.