Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

11 July 2007

POSITIF - Berdepan dengan Tekanan

Oleh: Salina Ibrahim


"SEBENARNYA TEKANAN ADALAH SESUATU YANG POSITIF KERANA TEKANAN MERUPAKAN PENCETUS KEPADA SETIAP KEJAYAAN."

Gagal ujian? Putus cinta? Bergaduh dengan rakan? Dimarahi ibu bapa? Terlalu dibebankan dengan kerja-kerja sekolah sehingga tiada masa hendak bersuka ria? Semua keadaan ini merujuk kepada situasi yang sukar dalam fasa kehidupan remaja. Dalam keadaan sebegini, pastinya tiada siapa yang mampu tersenyum. Sebaliknya reaksi yang spontan bagi sesiapa sahaja yang berhadapan keadaan rumit ini, "Aduh! Tensionnya aku!"

Tekanan atau dalam bahasa Inggerisnya sfress adalah lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila dilanda tekanan, tindak balas biasanya ditunjukkan pada wajah yang murung dan tubuh yang lesu longlai. Ketika ini, jiwa luluh lantak, masa depan tampak kelam gelap, dan akal seakan-akan berhenti berfungsi apabila diri terlalu kecewa dengan tekanan yang dialami.

Remaja lazimnya melihat tekanan sebagai suatu yang negatif. Tekanan dianggap sebagai penghalang kejayaan. Tekanan begitu dimusuhi kerana dikatakan boleh melemahkan semangat. Hal ini berlaku kerana kebanyakan remaja selalu mengimpikan alam kehidupan remaja mereka penuh ceria, tiada masalah, tiada duka, dan segala yang indah-indah belaka. Justeru, apabila dilanda tekanan, mereka cepat putus asa dan mudah mengalah sehingga ada yang mahu mati!

Sebenarnya adik-adik, menghadapi tekanan adalah suatu perkara yang sangat normal bagi sesiapa jua. Malah sebenarnya tekanan adalah sesuatu yang positif kerana tekanan merupakan pencetus kepada setiap kejayaan. Tanyalah pada orang-orang yang berjaya, sama ada yang beroleh semua A dalam peperiksaan, yang berjaya menjadi jutawan, atau menjadi ahli sukan yang disegani, semua kejayaan mereka bertitik tolak daripada tekanan.

Tekanan itulah yang melonjak mereka untuk berusaha keras bagi mencapai kejayaan. Yang beroleh semua A dalam peperiksaan bukan kerana mereka dilahirkan bijaksana, yang kaya ternama hari ini asalnya mereka tidak punya apa-apa, dan tokoh sukan yang hebat semuanya bermula daripada titik kosong. Namun, mereka berjaya melihat tekanan sebagai lonjakan ke arah kejayaan.

"Aduh! Saya bosanlah dengan kerenah keluarga saya, Kak Ina. Emak ayah saya asyik paksa saya ambil kursus perniagaan. Saya tak minat. Saya hendak ambil kursus penulisan. Saya nak jadi penulis!" Seorang remaja pernah bertemu saya, menangis berhiba di depan saya menceritakan konflik yang melanda dirinya.

Sebenarnya bukan dia seorang sahaja yang dilanda krisis seperti ini. Sebenarnya ada ramai lagi yang diterjah masalah yang lebih hebat daripadanya. Cuma mungkin remaja yang lain itu punya daya ketahanan yang lebih kuat daripada remaja ini, yang hanya tahu menangis dan menyalahkan orang lain. Jika remaja lain mengambil masalah mereka sebagai pemangkin ke arah kejayaan, sebaliknya remaja yang seorang ini melihat masalahnya begitu berat sehingga menutup mindanya kepada pintu penyelesaian.
Aduan remaja ini mengingatkan saya kepada seorang kenalan lama.
Saya mengenalinya sebagai orang yang berbakat besar dalam lukisan dan dia mampu melukis dengan baik walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam lukisan. Ketika remajanya dia begitu berhajat untuk mendalami pengajian dalam seni halus tetapi kerana dia juga bijak dalam mata pelajaran Matematik, maka dia dipaksa oleh ibu bapanya untuk menjurus dalam bidang perakaunan.

Agak tertekan juga dia pada peringkat awal. Namun katanya, sebagai anak sulung, dia bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh yang baik pada adik-adik. Diatekun belajar menghabiskan pengajian perakaunannya, selain curi-curi melukis pada waktu lapang. Kini selepas tamat belajar dan melangkah ke alam pekerjaan, dia bangga dengan ijazah perakaunannya kerana ilmu akademiknya itu sedikit sebanyak membantunya sebagai usahawan seni.

Dia seorang usahawan yang mencari rezeki dengan hasil-hasil lukisannya, walaupun tidak kaya tetapi dia berpuas hati. Malah katanya, dia mungkin boleh mendapat lebih banyak wang dengan makan gaji di mana-mana syarikat tetapi dia mahu mengaplikasikan ilmu perakaunannya ke dalam perniagaan kecilnya itu.

"Dahulu memang rasa tertekan. Malah saya pernah anggap itu sebagai dugaan yang terbesar dalam hidup. Kemudian saya sedar, dugaan itu bukanlah apa-apa. Jika saya melihat dengan mata positif, saya akan nampak kejayaan di sebalik semua dugaan itu," demikian kata-katanya yang masih saya ingat benar.

Seperkara yang saya pasti, orang yang berjaya adalah orang yang pernah diuji dan dia kuat berdepan ujian berkenaan. Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling kuat diuji dan 13 tahun perjuangan baginda menyebarkan Islam di Makkah, kurang membuahkan hasil. Malah baginda dicaci, dicemuh dan disakiti dengan pelbagai dugaan sehingga baginda membawa diri berhijrah ke Madinah.

Hasilnya terpancar jelas selepas itu. Islam yang disebarkan oleh Rasulullah muncul gah dan kemudian baginda bangga dapat kembali semula ke Makkah sekitar 10 tahun kemudian untuk berdepan dengan semua penentangnya sehingga berjaya menawan semula Makkah. Hal ini tentunya suatu kejayaan yang paling manis dan sehingga kini nama Rasulullah tercatat dalam senarai pertama 100 orang paling berpengaruh di dunia kerana kejayaan baginda membawa perubahan pada dunia.

Jika anda remaja mahu berjaya seperti ini, maka jangan takut berdepan dengan tekanan.


Salina Ibrahim merupakan mantan Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Berkarya dalam genre cerpen dan novel, beliau juga berpengalaman sebagai wartawan akhbar dan majalah. Aktiviti penulisannya boleh diikuti di laman web www.salinaibrahim.blogdrive.com

 

06:39 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.