Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

14 August 2007

Meningkatkan daya ingatan anda

Oleh: Ahmad Fadzli Yusof

KEMAHIRAN mengingat adalah satu kemahiran yang sangat penting bagi seseorang pelajar. Bukan sahaja untuk mengingat fakta-fakta dalam mata pelajaran, bahkan kita juga perlu mengingati tugasan-tugasan yang pertu dilakukan setiap hati. Bagaimanakah cara untuk meningkatkan daya ingatan kita? Sebenarnya, ada banyak kaedah yang boleh anda lakukan, namun dalam ruangan ringkas ini, ada beberapa panduan asas yang mudah untuk anda semua:

Pertama sekali, yakinkan diri bahawa anda mempunyai daya ingatan yang kuat.
Ingat semula perkara-perkara yang anda lakukan semalam. Cuba fikir tentang pakaian yang anda pakai, makanan yang anda makan, tempat yang anda pergi, dan beberapa tugasan yang anda telah selesaikan semalam. Banyak perkara yang anda ingat bukan? Tetapi, sebenarnya ia tidak perlu disimpan dalam otak anda. Buang sahaja maklumat yang tidak penting. Berikan ruang kepada maklumat-maklumat penting. Memori anda kuat, cuma anda telah menyimpan maklumat yang tidak perlu. Akhirnya ia menjadi padat dan penuh.

Kenal pasti apakah perkara yang anda benar-benar perlu ingat.
Biasakan otak anda dengan perkara itu.. Contohnya, setiap kali pulang dari kelas, anda perlu ingat apakah tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah. Setiap kali hendak ke kelas, anda perlu ingat apakah buku-buku rujukan yang mesti dibawa bersama. Selepas mengulang kaji, anda perlu tahu fakta-fakta yang mesti dihafal (walaupun anda belum benar-benar mengingati fakta tersebut!). Biarlah otak anda berasa 'mesra' dan 'selesa' dengan perkara-perkara penting untuk anda ingati. Dengan ini, anda boleh mengurangkan masalah kelupaan.

Kenal pasti perkara-perkara yang anda tidak perlu ingat.
Ramai orang menghabiskan banyak masa untuk mengingat perkara yang tidak perlu. Ingat, otak anda mempunyai ingatan yang kuat, cuma ia sentiasa dipenuhi dengan perkara-perkara yang anda tidak perlu ingat. Sentiasa tanya pada diri sendiri;
Adakah saya perlu ingat perkara ini? Jika tidak, tinggalkan sahaja maklumat itu di atas kertas.

Tukar perkara-perkara yang anda selalu lupa kepada bentuk soalan pengingat.
Jika anda selalu lupa untuk membuat kerja kursus, anda boleh buat soalan seperti ini;
*Apakah kerja kursus yang perlu saya buat bulan ini?
*Bilakah tarikh akhir untuk menghantarnya?
Kalau anda selalu lupa fakta-fakta sains, anda boleh membuat
soalan seperti;
*Bagaimanakah proses mitosis berlaku?
*Apakah hormon yang mengawal fungsi seks manusia?
*Ada berapa organ perkumuhan dalam badan manusia?
Selain daripada anda yang menanyakan diri sendiri, mintalah
bantuan rakan-rakan anda untuk sentiasa bertanyakan
kepada anda soalan-soalan pengingat. Mungkin ini juga boleh
membantu.

Buat kad pengingat.
Tuliskan perkara-perkara yang anda selatu lupa di atas kad kecil,
dan bawa ke mana-mana. Setiap kali anda terasa seperti lupa
sesuatu, tengoklah kad pengingat dan fikirkan tugasan-tugasan
yang mungkin termasuk dalam perkara-perkara itu. Jika anda
terlupa lagi, jangan bimbang. Kerana semakin kerap anda terlupa
perkara itu, semakin kurang kemungkinan anda melupainya lagi.

Permudahkan perkara-perkara yang sukar untuk diingati.
Ingat, semakin 'mesra' maklumat tersebut, semakin senang otak mengingatinya. Katakan anda hendak mengingati tujuh warna spektrum, iaitu; Merah, Jingga, Kuning, Hijau, Biru, Indigo, Ungu. Anda boleh ambil huruf pertama setiap warna dan buat ayat seperti; Mamat Jual Kacang Hijau, Beli Itik Ungu. Kemudian anda boleh membayangkan seorang lelaki menjual kacang hijau untuk membeli seekor itik berwarna ungu.

Berilah penghargaan kepada otak anda.
Setiap kali anda berjaya mengingati sesuatu, pujilah otak anda sendiri. Iktiraf kemampuan otak anda mengingati perkara tersebut. Berilah keyakinan kepada otak anda untuk mengingat. Sememangnya otak anda hebat, hanya anda yang tidak meyakininya.

Sumber : Dewan Siswa Mac 2006

06:51 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.