Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

28 August 2007

Meningkatkan tumpuan

Pernahkah anda mengalami situasi sebegini; Pada suatu petang, anda cukup bersemangat untuk melakukan ulang kaji. Buku-buku sudah disusun dan segala peralatan sudah disediakan. Meja belajar sudah pun bersih. Anda mula duduk dan mengulang kaji pelajaran. Tidak sampai 30 minit, tiba-tiba anda rasa tidak keruan. Jeritan dan ketawa adik-adik di luar lebih menajam di dalam gegendang telinga. Kereta yang lalu-lalang di hadapan jendela menarik perhatian anda setiap kali melintas. Idea-idea dalam buku mula "terbang" ke sana ke mari. Huruf-huruf kelihatan seperti terhuyung-hayang.. Akhir sekali, anda berasa bosan dan bangun menonton televisyen!
Itu adalah salah satu contoh kes pelajar yang hilang tumpuan. Bagaimana untuk mengatasinya? TUJUH petua di bawah ini akan memberikan beberapa panduan ringkas untuk anda:

1. Berfikiran positif.
Anggapkan masa mengulang kaji pelajaran sebagai masa untuk mempelajari sesuatu, bukan untuk melaksanakan tugasan-tugasan sukar. Jika anda asyik memfokuskan fikiran kepada kesukaran dan kepayahan, otak anda akan menjadi penat sebelum anda bermula lagi. Bayangkan anda sedang mencuba keupayaan diri, belajar sesuatu yang baru, dan mempertingkatkan diri sendiri.

2. Jangan pedulikan kebisingan.
Anda tidak boleh elakkan kebisingan. Hanya tempat dan waktu tertentu sahaja anda boleh mendapatkannya, tetapi ia bukannya mudah. Jangan jadi terlalu cerewet. Belajarlah untuk belajar di tempat yang "agak" bising. Gunakan kaedah "Jangan jaga tepi kain orang" jika anda ingin "mengasingkan diri" daripada segala kebisingan itu.

3. Gunakan kaedah labah-labah.
Jika anda membaling segumpal kertas ke sarang labah-labah, ia akan mengesan satu bentuk gegaran lantas bergegas ke tempat itu. Apabila ia dapati hanya segumpal kertas, ia akan berpatah balik. Jika anda membaling kertas untuk kali kedua, labah-labah itu tidak akan bergegas lagi, kerana dia tahu jenis gegaran kertas yang tidak boleh dimakan itu. Begitu juga dengan anda. Jika anda sedang belajar di dalam perpustakaan, pasti ada orang yang lalu lalang membuka pintu, atau membelek-belek buku, atau berbisik-bisik. Cukuplah hanya sekali anda memandang ke arah mereka. Selepas itu, abaikan mereka. Jadilah seperti labah-labah yang tidak tertipu untuk kali kedua.

4. Pastikan semuanya ada di atas meja.
Buku, alat tulis, dan peralatan yang diperlukan sudah tersedia sebelum anda memulakan ulang kaji anda. Jangan biarkan konsentrasi anda terganggu hanya semata-mata terlupa untuk membawa pemadam pensel, atau kertas catatan, atau kalkulator. Cubalah untuk berada di meja belajar sekurang-kurangnya setengah jam sebelum anda bangun untuk melakukan perkara lain.

5. Lupakan yang lain, penuhkan otak anda dengan apa yang akan dipelajari.
Buat satu senarai soalan di dalam kepala anda tentang apa-apa yang anda ingin belajar kali ini. Timbulkan pertanyaan-pertanyaan yang mendesak akal supaya berfikir. Dengan ini, otak akan sentiasa 'melompat-lompat' dari satu idea ke satu idea yang lain.

6. Jangan tahan lapar.
Lapar boleh menghilangkan tumpuan anda tidak kira apa-apa jua keadaan anda. kadangkala ada pelajar yang pergi ke sekolah atau memasuki dewan peperiksaan tanpa makan terlebih dahulu. Akhir sekali kelaparan merobek usus mereka dan tiada satu pun jawapan yang dia ingat. Usah diseksa perut anda yang sedang menyanyi itu. Luangkan sedikit masa untuk mengisi sehingga hilang kelaparan itu.

8. Buat senarai semakan hilang tumpuan.
Bunyinya agak menggelikan hati, tetapi ia penting untuk mengingatkan anda, berapa anda telah hilang tumpuan. Bawalah satu kertas kecil, ditulis dengan tarikh dan masa. Setiap kali anda hilang tumpuan,;
tandakan (^) pada senarai semakan itu. Buat secara tetap dan berterusan sehingga anda benar-benar menyedari betapa banyak diri anda "tergelincir" daripada landasan yang tepat.

Anda juga boleh belajar memberikan tumpuan dengan mengambil iktibar daripada kekhusyukan solat lima waktu. Semasa solat, otak diajar untuk memberikan tumpuan dalam rukun-rukun yang diwajibkan. Teknik , yang anda peroleh daripada itu boleh digunakan untuk mengingatkan' tumpuan dan fokus anda terhadap ulang kaji anda. Akhir sekali, selamat mencuba dan meningkatkan tumpuan ulang kaji anda!

++++

Ahmad Fadzli Yusof adalah konsultan kanan di RK Training & Management (dahulu dikenali sebagai Suretac). Beliau juga pengasas dan penaung kepada laman web kejayaan. http://resipikejayaan.com/

Sumber: Dewan Siswa April 2006

07:08 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.