Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

04 September 2007

Mengenal ciri wanita berjaya

Kejayaan wanita menyaingi kaum lelaki adalah sesuatu yang amat membanggakan. Tetapi di sebalik kejayaan tersebut terselit sifat-sifat tersendiri yang banyak membantu wanita-wanita ini dalam mencapai kejayaan.

Wanita-wanita masyhur dan berjaya seperti Elizabeth Taylor, Joan Collins dan juga beberapa wanita yang berjaya di negara ini mempunyai beberapa ciri tersendiri yang dapat menyokong kejayaan dan kemasyhuran mereka.
Antara ciri wanita yang berjaya adalah:

1. Wanita Aktif
Wanita dari kategori ini selalunya dapat melihat peluang yang berada di hadapan mereka. Ataupun mereka seolah-olah dapat meneka akan kejayaan yang bakal mereka perolehi. Mereka juga boleh berhubung dengan sesiapa sahaja demi untuk meraih kejayaan yang diidamkan.
Perlumbaan dan persaingan merupakan corak hidup mereka. Tanpa persaingan ini mereka akan merasakan bahawa kehidupan mereka tidak sempurna. Selalunya bentuk persaingan ini adalah dalam mengejar wang. Ganjaran yang bakal diperolehi dari usaha yang telah dicurahkan merupakan faktor yang menjadi penggerak ke arah menuju kejayaan.
Golongan ini juga selalunya mementingkan kecantikan dan kreativiti. Mereka juga percaya kepada takdir dan falsafah yang dapat menjawab kepada masalah yang dihadapi.
Selalunya wanita dari kategori ini juga suka menolong orang lain, membuat kerja-kerja amal dan berkempen dalam perhimpunan yang dapat memberi kebaikan dan faedah kepada mereka.
Dalam setengah keadaan mereka suka berpegang kepada apa yang mereka percaya sahaja. Mereka tidak akan mendengar hujah yang dikemukakan oleh pihak lain walaupun mungkin hujah tersebut lebih baik daripada apa yang mereka tegakkan.
Merekajuga akan berangankan sebuah kehidupan yang sempurna pada masa hadapan dan akan melakukan apa sahaja demi untuk mencapai apa yang diidamkan.
Muzik, kesenian, penulisan dan kreativiti merupakan suatu yang penting dalam kehidupan wanita golongan ini. Oleh sebab itulah ramai penulis novel, penyajak dan pereka fesyen terdiri dari wanita kategori ini.
Walaupun mungkin mereka tidak dapat menjadikan bidang yang mereka minati sebagai suatu kerjaya tetapi mereka tetap akan menjadikan bidang tersebut sebagai suatu hobi.
Kategori wanita aktif ini juga mempunyai citarasa yang tinggi iaitu rumah mereka akan dihias seindah mungkin dan mereka juga menggemari masakan yang enak.
Sungguhpun wanita dari kategori ini tidak begitu cantik tetapi mereka mempunyai daya tarikan yang tersendiri
hingga boleh membuat kaum lelaki 'tunduk' kepada mereka.

2. Wanita Memikat
Wanita dari kategori ini mempunyai sifat cinta yang mendalam dan kebijaksanaan yang semulajadi tetapi mereka tidak mempunyai pendirian yang tetap. Mereka juga mempunyai daya tarikan seks yang berbagai dan selalunya golongan ini terdiri daripada bintang-bintang filem.
Mereka dapat memahami jiwa lelaki dan dapat memikat mereka dengan mudah. Kategori wanita ini juga suka berpakaian cantik, mempunyai gaya yang tersendiri, hidup bersosial dan mengunjungi pesta yang diadakan. Mereka juga sukakan lelaki yang mempunyai kedudukan tinggi.
Wanita ini juga tidak suka menunjukkan kelebihan mereka pada teman lelaki. Pada mereka apa yang penting untuk memikat lelaki adalah wajah yang cantik dan bukannya kecerdikan yang ada pada diri.
Perasaan bangga merupakan sifat semulajadi mereka. Mereka bangga dapat mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri mereka. Tetapi di sebalik itu mereka bijak dalam menjalankan perniagaan terutamanya dalam bidang peragawati.
Apabila mereka telah mencapai kejayaan, golongan wanita ini selalunya akan meninggalkan teman lelaki yang telah banyak menolong mereka.
Walaupun kaum lelaki sering 'tertipu' oleh wanita dari kategori ini tetapi mereka masih mahu bersama dengan wanita tersebut.

3. Wanita Keibuan
Sifat pelindung, bertanggungjawab, penyabar, pemaaf dan pelembut adalah merupakan sifat yang ada pada wanita keibuan. Kesejukan dan kesayuan wajah mereka dapat mendamaikan hati suami.
Walaupun mereka sering dipersalahkan apabila anak-anak melakukan kesalahan, mereka akan menerimanya sebagai suatu hakikat kehidupan. Wanita kategori ini juga suka duduk di rumah dan menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Mereka juga sukakan sebuah keluarga yang besar.
Pengalaman ketika mengandung adalah suatu pengalaman yang amat indah bagi mereka kerana pada mereka ketika inilah sifat-sifat keibuan yang sejati mulai lahir pada diri seseorang wanita tersebut.
Wanita dari kategori ini selalunya akan berhenti kerja apabila mereka mula mengandungkan anak yang pertama dan akan mula memikirkan soal kerjaya semula apabila anak-anak yang dipeliharanya telah dewasa dan dapat berdikari.
Tidak ramai wanita yang mempunyai sifat keibuan kerana wanita sekarang lebih pentingkan kerjaya dari duduk di rumah dan menguruskan rumahtangga. Bukanlah suatu tanggungjawab yang mudah untuk mendidik anak-anak dan seterusnya membimbing mereka untuk menjadi orang yang berjaya.
Mereka juga berupaya untuk mewujudkan suatu suasana yang harmoni dan mesra dalam perhubungan keluarga. Cinta dan minat mereka adalah untuk membina sebuah keluarga yang bahagia.

4. Wanita Tegas
Mereka ini kuat, mempunyai pendirian yang tetap, yakin pada diri, dapat melakukan tindakan yang berkesan dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Mereka ini menggambarkan wanita zaman sekarang.
Wanita dari kategori ini suka berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan dari orang lain. Mereka percaya kepada apa yang mereka tegakkan. Walaupun wanita ini sering sibuk dalam urusan harian tetapi mereka masih mempunyai masa untuk menguruskan rumahtangga.
Mereka seolah-olah mempunyai tenaga yang berlebihan dan dapat menyelesaikan masalah dalam masa yang singkat. Sifat suka melengah-lengahkan kerja dan membuang masa serta tidak berdisiplin bukanlah sifat mereka. Mereka juga tidak suka berurusan dengan golongan yang tidak mempunyai pendirian.

Wanita golongan ini suka berusaha dari bawah dan akan melipatgandakan usaha apabila terpaksa bersaing dengan kaum lelaki. Kaum lelaki juga selalunya menjadi rakan niaga mereka. Mereka percaya usaha yang dicurahkan pada masa, tempat dan keadaan yang sesuai dapat membuahkan kejayaan yang tinggi.
Apabila mereka menemui kegagalan, mereka tidak akan mudah menyerah, tetapi sebaliknya akan melipatgandakan usaha untuk membuktikan bahawa kejayaan tersebut akan tetap menjadi milik mereka.
Suatu kelemahan yang terdapat pada wanita dari kategori ini adalah, dalam terlalu mengejar kejayaan membuatkan mereka lupa untuk memenuhi keperluan hidup yang lain.
Mereka juga tidak suka untuk meniru identiti orang lain. Mereka akan berusaha melalui daya kreativiti yang ada pada mereka untuk mencipta identiti mereka sendiri. Kebanyakan wanita zaman kini tergolong dalam kategori ini kerana mereka percaya dengan menjadi wanita yang tegas adalah bersesuaian dengan kehendak dan kehidupan zaman sekarang.

06:27 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.