Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

12 September 2007

Keazaman


SETIAP kali kita melangkah ke tahun baru, satu keazaman baru akan lahir dari jiwa kita. Keazaman boleh dihuraikan sebagai satu keinginan terhadap sesuatu pembaharuan yang belum tercapai yang tersimpan di dalam jiwa seseorang.

Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada tercetusnya satu keazamana di jiwa individu. Di antara faktor tersebut ialah seperti berikut:-

a) Perubahan waktu atau masa: Setiap perubahan waktu mungkin akan disusuli dengan satu keazaman diri. Sebagai contoh selain daripada menyambut tahun baru, seseorang individu akan membuat keazaman pada awal atau di akhir bulan. Begitu juga keazaman atau dilakukan apabila seseorang itu meningkat usianya mengikut perjalanan waktu atau masa.

b) Perayaan: Bersempena dengan perayaan-perayaan tertentu seperti perayaan menyambut hari raya, hari kemerdekaan, Maulidur Rasul, hari pahlawan dan sebagainya mungkin ianya membawa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan seseorang individu dan ini akan membolehkan tercetusnya satu keazaman untuk terus berjuang ke arah pemantapan diri.

c) Pengalaman diri: Setiap hari seseorang individu akan mengalami pelbagai pengalaman di dalam kehidupan. Pengalaman yang dilaluinya sama ada yang pahit atau manis seperti mengalami sesuatu musibah kerana kecuaian, kepahitan dan kemelaratan hidup atau menghadapi cabaran di dalam sesuatu tugasan akan membawa seseorang itu ke arah satu pembentukan keazaman.

d) Peristiwa: Peristiwa seperti pergolakan kuasa di Bosnia, di Afganistan, di Tebing Barat dan sebagainya mungkin bertindak sebagai satu katalis ke arah membuat satu keazaman pada diri sendiri.
Setiap keazaman yang tercetus di jiwa seseorang individu adalah hasil daripada luahan perasaan. Di antara perasaan-perasaan yang akan timbul hasil daripada sesuatu pengamaatan ialah:-

a) Penyesalan: Rasa bersalah di atas perbuatan dan tindakan diri sendiri.

b) Keinsafan: Menyedari dan menerima sesuatu hakikat dengan sepenuh jiwa.

c) Bersemangat: Menyedari kemampuan atau kebolehan diri serta ganjaran serta hala tujunya akan menjadikan seseorang individu itu lebih proaktif, peka, serta bersemangat untuk melakukan inovasi dalam bidang tugasnya.

Perasaan-perasaan yang timbul ini adalah penting sebagai satu penentuan pembentukan keazaman diri. Walau bagaimanpun keazaman yang tertanam di jiwa kita akan bertukar kepada hanya angan-angan sahaja sekiranya tanpa satu bentuk tindakan susulan dari diri kita sendiri seperti berdiam diri, takut untuk berinteraksi, tidak yakin pada diri sendiri serta malu untuk bertanya.
Tetapi segala keazaman boleh dijadikan kenyataan sekiranya seseorang individu itu sanggup bertindak dengan segera, mempunyai kecekalan diri, serta sanggup mengambil risiko serta menerima segala cabaran dan rintangan.

Sesungguhnya seseorang individu yang sentiasa mempunyai keazaman akan bekerja lebih keras untuk menuju kejayaan, berfikiran rasional, sentiasa mencari peluang untuk memenuhi kehendak serta sentiasa peka terhadap sesuatu perubahan. Ini akan membolehkan dirinya mencapai kecemerlangan di dalam apa saja bidang yang diceburinya.

06:18 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.