20 September 2007
Sandarkanlah tubuhmu padaku
PADA hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 23 September 622 Masihi, Rasulullah s.a.w. bersama rombongan memasuki sebuah perkampungan bemama Quba yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kota Madinah.
Unta baginda yang dalam perjalanan hijrah dari Mekah tiba-tiba melutut berhampiran sepohon kurma lalu disambut seorang sahabat bernama Khithum bin al-Hadm. Baginda dibawa ke rumah sahabat tersebut dari Bani Amru bin Auf.
Rasulullah s.a.w. lalu bersabda:
"Sesiapa yang membina masjid Allah walaupun sebesar sarang burung nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga!"
Lalu Rasulullah meletakkan seketul batu sebagai tanda arah kiblat. Perbuatan baginda itu ditiru Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar yang turut mengambil seketul batu dan meletakkan di atas batu Rasulullah.
"Inilah arah kiblat dan sujudlah mengikut arah batu itu!" beritahu baginda.
Rasulullah lalu memikul batu-batu kerikil sehingga tubuh terbongkok-bongkok. Peluh membasahi tubuhnya. Para sahabat yang melihat meminta kebenaran hendak mengambil batu-batu yang diusung itu tetapi Rasulullah menyuruh mereka mengambil batu-batu kerikil yang lain. Baginda terus memikulnya sehingga ke arah batu penanda arah kiblat.
Seorang wanita, Asy-Syimu binti an-Numan yang melihat kegigihan Rasulullah itu berasa kagum yang amat sangat. Dia tidak menyangka baginda sanggup memikul bebanan di belakang sehingga tubuh disaluti debu-debu dan pasir.
Setelah itu baginda mencari sendiri tiang untuk dijadikan mimbar masjid. Ketika itulah baginda terdengar satu suara tangisan. Baginda lalu menoleh ke sana ke mari. Suara siapakah gerangan itu? Rupa-rupanya tangisan itu datangnya dari sepohon kurma tunggal yang terletak berdekatan.
"Ambillah aku! Ambillah! Aku sanggup mengabdi demi Rasulullah!" beritahu pohon kurma itu. Baginda tersenyum melihat pohon kurma itu.
Apabila baginda menyentuhnya, pokok kurma tersebut berkata lagi:
"Bertuahnya aku kerana tubuh aku disentuh tangan yang mulia di sisi Allah! Ambillah aku! Aku ingin berkhidmat dengan Rasulullah!" bisik pohon kurma itu. Sejak itu pohon kurma tersebut berhenti menangis.
Rasulullah memerintahkan pokok kurma itu ditebang. Batangnya dijadikan tiang mimbar manakala pelepah dan dedaun dijadikan sebagai bumbung serta atap.
Sebaik batang kurma itu dipacakkan, pohon itu sekali lagi berkata kepada
baginda: "Akulah pohon paling beruntung dapat berkhidmat dengan Rasulullah! Sandarkanlah tubuhmu padaku! Aku akan tenangkan dan segarkan tubuh Rasulullah!"
Pada tiang mimbar itulah baginda kerap bersandar menghilangkan penat setelah bekerja keras membina masjid tersebut. Mengabdilah pohon kurma itu selama-lamanya di masjid tersebut.
Setelah baginda dan para sahabat bertungkus-lumus akhirnya siaplah masjid berbentuk empat persegi. Baginda mengambil wuduk dari sebuah telaga bemama Quba yang berada di tepi masjid. Setelah itu Rasulullah mengimamkan solat berjemaah secara terbuka bersama para sahabat berkiblatkan Masjid al-Aqsa. Itulah solat pertama yang baginda lakukan dalam masjid tersebut yang telah pun siap binaan asasnya.
Selepas itu Baginda bersandar pada pohon kurma tadi sambil bersabda:
"Sesiapa bersembahyang di masjid ini pahalanya sama seperti mengerjakan umrah!"
Mungkin elok kalau masjid itu diberikan suatu nama. Tapi apa nama yang sesuai? Dua lelaki bertengkar tentang nama masjid yang baru dibina itu.
Seorang lelaki dari Bani Khudra mengatakan nama masjid itu Masjid Rasulullah. Dan seorang lagi dari Bani Amm bin Auf bertegas mengatakan Masjid Quba.
Kedua-duanya bertegang urat, tidak mahu mengaku kalah dengan pendirian masing-masing. Lalu dua sahabat itu bertemu baginda untuk mendapatkan pengesahan nama sebenarnya. Rasulullah bersabda: "la adalah masjid ini..." tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Dalam masjid itulah Rasulullah merancang bagaimana hendak mendirikan sebuah negara Islam di Madinah. Para sahabat ikut memberikan pandangan. Ya, kekuatan perlu dibina dari segi ekonomi dan politik supaya daulah Islamiah itu menjadi kenyataan. Dari situ barulah Islam dapat dikembangkan ke seluruh tanah Arab dan seterusnya kepada seluruh umat manusia.
Di Madinah ada orang Yahudi. Pelbagai kaum dan keturunan hidup bersama. Mereka pula orang Muhajirin, penghijrah yang baru saja menapak di situ. Bagaimana mahu menyatukan semua suku, keturunan dan kaum ini? Di dalam masjid inilah juga baginda dan para sahabat berbincang tentang hal itu sambil batang kurma tadi menjadi saksinya. Bila penat, baginda bersandar pada pohon tersebut buat menghilangkan lelah.
Rasulullah dan para sahabat tidak mahu kaum Quraisy di Mekah terus hidup dengan budaya jahiliah. Ahli keluarga dan jiran mereka itu perlu dibawa keluar daripada kesesatan. Lantas baginda mengajak para sahabat mencari jalan bagaimana penduduk Mekah itu dapat diterangi hati mereka dengan Islam. Dalam masjid bertiangkan batang pokok kurma itu mereka berbincang tanpa jemu.
Selepas membina Masjid Quba, banyaklah masjid dibina sekitar Madinah sehingga mencapai jumlah sembilan buah waktu itu termasuklah Masjid Nabawi.
Semasa Rasulullah wafat, pohon kurma yang menjadi tempat mimbar dan baginda bersandar, sekali lagi menangis. Sahabat-sahabat baginda bertanya: "Wahai pohon kurma, mengapa menangis?"
Pohon kurma itu berkata: "Ketahuilah bahawa aku menangis kerana mulai saat ini aku tidak lagi dapat merasai kehangatan tubuh Rasulullah bersandar pada tubuhku! Kerana Rasulullah aku mengabdi di sini!"
Selepas kewafatan Nabi, masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam dan dinamakan Masjid Quba bersempena nama telaga tempat Rasulullah berwuduk yang terletak di sisi masjid itu.
05:22 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.