Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 October 2007

Mengenal Kemampuan Diri

Adakah anda cukup yakin kemampuan diri anda? Mampukah anda mengikuti kelas dengan baik sehingga tamat Tingkatan 5 dan seterusnya menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi. Pernahkah anda terasa anda kurang pandai berbanding kawan-kawan yang lain? Jika perasaan itu wujud segeralah selidik siapa diri anda yang sebenar.


Ingatlah kepandaian semata-mata bukanlah kejayaan dalam hidup ini. Ramai orang yang berjaya sedangkan dia bukan pelajar yang baik dan memang tidak memiliki sebarang kelulusan pun. Jangan pula kerana kenyataan ini anda tidak mahu belajar lagi kerana mereka yang tidak berkelulusan tersebut sebenarnya menimba ilmu melalui pengalaman dan mereka memang memiliki akal yang cerdik. Jika anda tidak lemah otak, anda memang memiliki potensi untuk berjaya atau menjadi pelajar pintar. Kejayaan manusia didorong oleh beberapa faktor. Lazimnya setiap individu memang didorong oleh faktor-faktor ini, cuma sejauh mana satu-satu faktor itu mempengaruhi kehidupannya yang berbeza.
Terdapat lima perkara di dalam diri kita yang mendorong ke arah kejayaan iaitu mental, fizikal, psikologikal, rohani dan persekitaran. Untuk mengenal kemampuan diri perkara yang diberi perhatian adalah aspek mental iaitu gambaran cita-cita yang jelas dan daya merancang kreativiti dalam akademik dan kehidupan. Tidak kira sama ada anda pelajar sekolah atau universiti, anda perlu sedar apa yang ada di dalam diri anda dan siapa anda yang sebenarnya. Perkara ini boleh dibincangkan dengan orang lain tetapi orang yang paling mengetahui tentang diri anda adalah anda sendiri.
Mental bererti keupayaan berfikir oleh otak, menyimpan data, menganalisa, merancang dan memandu diri dalam menghadapi kehidupan seharian berdasarkan sumber-sumber yang ada disekeliling anda. Oleh yang demikian Jika fungsi otak rosak maka hilanglah akal dan hilanglah kemampuan diri untuk mengawal tindakan sendiri. Semua kelebihan, kemampuan, kecenderungan dan minat serta sokongan keluarga adalah sumber diri anda. Kelemahan dalam satu-satu perkara pula adalah satu tanda bahawa anda perlu mengelakkan diri dari terlibat dengannya kerana anda memang tidak berapa mahir dalam bidang tersebut.
Sebagai contoh, anda pandai dalam matematik dan mata pelajaran sains. Anda bercita-cita menjadi doktor kerana anda sedar itulah kerjaya yang paling menarik dan sesuai dengan diri anda. Tambahan pula keluarga anda memberi sokongan padu. Oleh itu anda mesti memastikan anda mengikuti kelas sains tulen sejak tingkatan 4 dan memberi tumpuan yang lebih untuk subjek biologi, matematik, dan lain-lain yang berkaitan. Dengan keputusan yang cemerlang terutama dalam subjek-subjek yang telah disebutkan, tentu tidak sukar untuk memasuki universiti dalam bidang perubatan.
Anda tidak perlu merasa rendah diri sekiranya anda dapati anda tidak pandai dalam pelajaran, lambat bertindak dan sukar memahami sesuatu subjek. jangan jadikan kelemahan daya berfikir sebagai halangan atau anda bermain-main dalam belajar. Sebagai pelajar anda mesti tekun, kalau tidak dapat, cuba lagi. Sebagai manusia kita ada kelemahan. Tidak mungkin seseorang itu boleh menjadi tukang jahit, tukang komputer, tukang masak dan lain-lain tukang dalam satu masa. Kenal pasti kelemahan itu, tinggalkan bidang yang memang kita lemah kerana Jika kita memaksa diri untuk menceburi bidang yang tidak sesuai dan tidak disukai, kemungkinan untuk gagal adalah tinggi. Kalau berjayapun, tidak memberangsangkan dan akan meninggalkan sesalan di kemudian hari.
Jika ibu bapa anda selalu mendesak agar anda menjadi seperti mereka, contohnya mesti menjadi guru, cuba ingatkan mereka bahawa anda berhak membuat pilihan sendiri. Kalau anda memang tidak meminati profession itu, berbincanglah dengan mereka dan jelaskan apakah cita-cita dan minat anda yang sebenar. Kemudian terus berikan tumpuan kepada cita-cita yang diidamkan. Jika anda mengimpikan sesuatu kerjaya,

Selidik dahulu apakah yang diperlukan oleh kerjaya tersebut. Jika faktor rupa paras, ke-tinggian dan lain-lain keadaan fizikal menjadi keutamaan, ukurlah baju di badan sendiri. Oleh itu, jika anda sememangnya rendah janganlah berangan menjadi pramugari atau pramugara.
Luangkan sedikit masa dan fikirkan siapa diri anda. Lima tahun akan datang, sepuluh tahun dan seterusnya kemanakah arah hidup anda. Tuliskan apakah halangan-halangan yang sering membantutkan usaha anda untuk berjaya. Renungkan dan rancangkan bagaimana anda boleh mencapai cita-cita anda bermula dari sekarang. Tidak mengapa kalau anda terlewat menyedari hal ini. Anda hanya tersedar bahawa anda perlu merancang cita-cita dan masa depan setelah berada di universiti. Pastikan kursus yang diambil sesuai dengan kemampuan diri dan berusahalah agar pencapaian anda dalam akademik lebih memberansangkan.
Anda memang bijak sekiranya anda sedar hal ini sejak dibangku sekolah lagi. Kebanyakan pelajar menjalani kehidupan belajar sebagai satu rutin atau proses semula jadi dalam kehidupan. Mereka tidak pernah meluangkan sedikit masa berfikir mengenai
kelebihan dan kelemahan diri sendiri serta merancang masa depan. Percayalah sekiranya anda memperuntukkan waktu untuk tujuan ini, anda akan ingat bila dan bagaimana perkara ini dan apakah perancangan awal anda tentang hidup walaupun setelah berpuluh tahun kesedaran ini timbul dalam diri anda. Renungkan kata-kata hikmat ini;
"Kesedaran sekalipun hanya sesaat sahaja, lebih berharga daripada pengalaman sepan-jang hayat". Oliver Wendell Holmes.
Gambaran cita-cita yang jelas dalam minda menunjukkan anda seorang yang bijak merancang masa depan, sedar apa yang sedang dan akan di lakukan. Ramai pelajar yang bijak di dalam kelas tetapi tidak pintar merancang masa depan kerana mereka tidak ada gambaran cita-cita atau memang tidak pernah mengambil tahu hal ini. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan jika anda berjumpa pelajar yang tidak pintar dalam kelas sewaktu darjah enam dahulu menjadi lebih berjaya dalam pelajaran dan karier setelah anda menemuinya dua puluh tahun selepas itu. Ada pula pelajar yang cemerlang sewaktu kecil tertinggal dalam pelajaran kerana dipaksa mengikut kehendak ibu bapa dalam menentukan cita-cita mereka.
Sesuatu perkara yang ingin kita capai memerlukan usaha. Usaha itu tangga kejayaan. Setelah anda jelas dengan matlamat hidup anda, berusahalah ke arah itu dengan mendisiplinkan diri anda. Wujudkan kehendak setiap masa dan elakkan sikap menunggu atau menanti kerana ia akan berakhir dengan kemalasan. Kemalasan dapat dikalahkan oleh keupayaan merancang dan kreativiti anda?" mengendalikan sesuatu. Kreativiti mengelakkan anda dari rasa jemu, kerana seseorang yang kreatif sentiasa mencari jalan yang paling efektif untuk berjaya. Kita perhatikan ada orang yang boleh menghabiskan masa selama empat tahun sahaja untuk mendapat dua ijazah, ada pula yang mengambil masa lebih lama dari sepatutnya untuk menyelesaikan sesuatu kursus. Semuanya bergantung kepada usaha dan daya kreativiti.
Semua pekerjaan perlukan perancangan atau jadual untuk mendisiplinkan diri. Sejak bilakah kita mula diperkenalkan dengan jadual? Sejak dari kecil bukan. Ada yang bermula sejak sebelum bersekolah lagi tapi kebanyakkan orang mula mengenali jadual apabila melangkah ke darjah satu. Ini menunjukkan jadual itu penting. Penggunaan jadual tidak berakhir sebaik sahaja persekolahan tamat. Selepas itu apa sahaja bidang kerjaya
anda memerlukan penjadualan, lebih-lebih lagi di peringkat pengurusan. Suri rumahtangga sepenuh masa juga memerlukan jadual, jika tidak kerja rumahnya tidak dapat diselesaikan dengan sempurna. Perhatikan ada ibu yang ada anak ramai tetapi masih boleh memastikan rumahnya kemas dan bersih, ada pula ibu yang tidak sempat berbuat apa-apa bila bilangan anaknya ramai dan rapat.
Biasakan membuat jadual untuk menyusun aktiviti seharian, jadual sekolah adalah untuk waktu di sekolah. Sediakan satu jadual untuk aktiviti di rumah dan waktu cuti sekolah, Luangkan masa untuk menolong ibu bapa, bermain, menonton televisyen, membaca dan melakukan hobi. Percayalah anda dapat melakukan lebih banyak perkara berfaedah dan menghiburkan dengan mengamalkan jadual. Jika tidak masa anda dalam sehari hanya banyak dihabiskan di hadapan kaca televisyen sahaja.
Menurut, Prof. Hamka seorang ulama dan ilmu terkenal, sesuatu yang baik itu selalunya perlu dipaksa dahulu, lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan. Disiplin juga ada unsur-unsur paksaan. Pada peringkat permulaan, paksa diri anda untuk setia mengikut jadual, selang beberapa hari anda berasa seronok dan akan terus mengamalkannya. jadual memerlukan pindaan berdasarkan keperluan semasa. Gunakan kreativiti anda untuk mengubahnya. Yang pasti jangan tinggalkan jadual.

06:09 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.