Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

09 October 2007

Pengisian Kemerdekaan

Bertaqwalah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa kerana sifat mukmin yang sejati itu, iman dan taqwanya sentiasa meningkat manakala sifat buruk dan kefasikan semakin jauh ditinggalkan.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat kesenangan dan keamanan yang telah kita rasai selama ini. Dengan kesenangan dan keamanan yang kita miliki inilah maka kita dapat beriman dan bertaqwa kepada Allah tanpa sebarang gangguan dan halangan. Malah kita dapat beribadat kepada Allah dalam suasana tenang dan penuh keselesaan. Malahan sudah menjadi siratulmukmin yang sejati. Apabila semakin besar nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka, lebih-lebih lagi nikmat beriman dan bertaqwa kepada Allah, semakin banyak bersyukur mereka kepada Allah dengan melakukan amal ibadat dan kebajikan kepadanya. Orang yang tidak tahu bersyukur terhadap nikmat Allah merupakan orang yang kufur terhadap nikmat itu, sedangkan Allah telah memberi kepastian bahawa setiap nikmat itu akan terus ditambah sekiranya ia sentiasa bersyukur kepadanya. sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

" Dan ingatlah ketika Tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan sekiranya kamu kufur maka sesungguhnya azabKu sangatlah pedih. (Suarh Ibrahim:7)"

Kemerdekaan sesebuah negara merupakan nikmat Allah yang bukan semua manusia dapat merasainya. Berapa banyak umat dan bangsa yang mendiami dunia ini, sejak dari dahulu hingga sekarang, tidak berhenti-henti berjuang hanyalah untuk suatu yang dinamakan kemerdekaan. Tetapi hingga kini, masih ramai di kalangan bangsa ini yang belum kenal erti kemerdekaan. Hidup mereka zahir dan batin terbelenggu dalam penjajahan, segala-galanya disekat dan dijajah termasuklah kehidupan untuk beragama dan tunduk kepada Allah dengan penuh ketenangan.

Alhamdulillah, negara kita Malaysia telah lama merdeka. Justeru itu, sebagai umat Islam kita perlu bersyukur terhadap Ilahi kerana memberi nikmat kemerdekaan ini. Sebagai seorang muslim sudah pasti nikmat kemerdekaan adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 34:

" Andainya kamu hendak mengira nikmat Allah kepada kamu nescaya kamu tidak mampu mengiranya. "

Islam menganjurkan kepada kita agar menghargai kebebasan. Dan kebebasan ini wajib pula dipertahankannya. Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita mempertahankan hak dan kemerdekaan negara. Kerana nikmat ini diwarisi daripada pengorbanan nenek moyang kita dahulu dan kita menjadi egen penerusnya.

Gerakkan membebaskan tanahair adalah suatu jihad yang besar, meskipun begitu gerakkan ini bukanlah suatu penamat perjuangan. Sebaliknya suatu permulaan kepada jihad yang lebih besar yang kini menjadi tanggungjawab kita bersama.

Tanggungjawab kita adalah untuk pengisian kemerdekaan ini dengan perkara-perkara yang ma'ruf dan diredhai Allah. Kita bertanggungjawab mempertahankan negara daripada sebarang anasir jahat yang boleh memecah belahkan masyarakat. Sewajarnya kita mempertahankan negara kita daripada bentuk penjajahan ekonomi, budaya, pemikiran dan lain-lain. Apa yang jelas berlaku ialah budaya hidup penjajah yang bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya timur yang masih subur diamalkan oleh sebilangan kita. Sedangkan pada masa yang sama ajaran Islam dan budaya timur dianggap kolot dan penghalang kemajuan. Inilah matlamat penjajah yang mahukan warga bekas penjajahannya mengikut telunjuknya.

Kita bertanggungjawab mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman musuh yang boleh menggugatkan kesejahteraan umat dan negara kita. Justeru, Islam mewajibkan umatnya mempertahankan 5 perkara. Antara lain.

1. Agama dan akidah
2. Nyawa dan keselamatan
3. Akal
4. Harta
5. Maruah hidup kita

Jika diteliti benar-benar bahawa kelima-lima perkara ini adalah mencakupi sebuah negara. kekuatan sesebuah negara bergantung kepada sejauhmana kita mempertingkatkan kelima-lima perkara tersebut.

Kekuatan dalam aspek keselamatan, bukan terhad kepada perbuatan alat kelengkapan perang sahaja. Tetapi ianya juga merangkumi kekuatan mental, kerohanian dan keimanan yang kental kepada Allah S.W.T.

Negara kita sedang diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Kita sedang mengharungi gelora ekonomi, kita juga sedang berdepan dengan dugaan sosial akibat kerapuhan iman dan nila-nilai kemanusiaan. Untuk mempertahankan negara kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ajaran yang menjadi teras kehidupan insan yang memiliki nilai hidup yang harmoni dengan berpandukan al-Quran dan al-Hadith. Kita mampu menjana bangsa Malaysia yang bersatu, berwibawa dan luhur pekertinya.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua mengamalkan Islam dalam kehidupan harian. Langkah pertama adalah dengan mencari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran. Kedua; beramal dan melaksanakan pengetahuan tersebut secara total dan ketiga; menyebarkan ajaran Islam kepada orang lain untuk kesejahteraan sejagat.

Negara kita juga sedang berdepan dengan musuh yang ganas. Cabaran ini menuntut kekuatan daya juang. Semangat yang kental dan sifat tidak mudah menyerah kalah biar apa terjadi kita semua perlu mempertahankan maruah Islam dan bangsa kita daripada sebarang bentuk penjajahan baru tajaan Yahudi dan Kapitalisme.

Walaupun kita sedar penjajahan dunia moden ini mempunyai kekuatan yang sukar ditandingi, namun kita yakin selagi kita berpegang teguh dengan ajaran Islam dan memohon pertolongan Allah, Insya Allah kita akan mencapai kemenangan kerana doa itu senjata umat Islam.

Ini tidak mustahil kerana jika menelusi sejarah Islam seperti dalam peperangan Badar, bilangan tentera Islam yang sedikit mengalahkan tentera Kafir yang lebih ramai dengan pertolongan Allah S.W.T. Firman Allah Dalam surah al-Baqarah ayat 24 bermaksud:

" Berapa banyak puak yang sedikit dapat mengalahkan puak yang ramai semuanya adalah dengan izin Allah. "

06:33 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.