Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

09 October 2007

Tidak Hina Orang Yang Merendah Diri

Sombong, bongkak, angkuh, atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama iaitu satu sifat-sifat mazmumah (sifat-sifat tercela atau keji). Sifat ini, walaupun sedikit, menjadi kebencian dan kemurkaan Allah. Dan boleh menghalang kita mendapat Syurga. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina-dina.” - (Al-Mukmin: 60).


Sifat sombong atau takbur boleh dibahagi kepada dua: takbur zahir dan takbur batin. Takbur zahir boleh dilihat melalui percakapan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah menghina orang yang dianggapnya lebih rendah daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan seperti tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau mengikut nasihat. Imam Al-Ghazali berkata: “Orang yang takbur ialah apabila ditegur dia marah, sedangkan kalau menegur orang lain, caranya keras dan kasar.”

Takbur batin ialah membesarkan diri dalam hati. Inilah maksiat hati yang dicela. Contohnya iblis menganggap dirinya lebih baik dan mulia daripada Nabi Adam. Lalu dengan angkuhnya dia enggan tunduk kepada Nabi Adam sehingga menyebabkan Allah melaknat Iblis dan seluruh keturunannya.

Takbur boleh dibahagi kepada tiga iaitu takbur terhadap Allah, takbur terhadap Rasul-Nya, dan takbur sesama manusia. Takbur kepada Allah ialah tidak memperdulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya.

Takbur dengan Rasulullah ialah enggan mengikut petunjuknya. Orang Quraisy pada zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda anak yatim piatu. Sedangkan orang Yahudi enggan kerana baginda bukan daripada keturunan Bani Israel. Berasa diri lebih tinggi daripada orang lain ialah takbur sesama manusia. Ia sering memandang rendah terhadap orang lain kerana menganggap dirinya berilmu, kaya dan berpangkat.

Takbur ialah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit ini tidak boleh menjadi pendakwah. Ditakuti melalui tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut buruk.

Imam Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur ini. Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa. Apabila berhadapan dengan orang tua pula, anggaplah juga mereka lebih mulia kerana lebih lama beribadah daripada kita. Ketika berjumpa orang alim, anggaplah beliau lebih mulia kerana banyak ilmu dan apabila melihat orang jahil anggaplah juga mereka lebih mulia kerana berbuat dosa disebabkan kejahilan sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan mengetahuinya.

Jika berjumpa orang jahat, jangan anggap kita mulia. Tetapi, katakanlah mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu akhirnya. Begitu juga apabila bertemu orang kafir. Katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.

Lawan sifat sombong ialah tawaduk atau rendah diri. Sekiranya seseorang itu berjaya mengikis sifat sombongnya, akan datanglah sifat tawaduk iaitu sifat terpuji dan disukai oleh Allah s.a.w. Daripada Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai. Satu rantai sampai ke langit ke tujuh, dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang ketujuh. Apabila seseorang itu merendah diri, Allah mengangkatnya dengan rantai ke langit ketujuh dan apabila dia sombong, Allah merendahkannya dengan rantai ke bumi ketujuh.”

Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama belajar bertawaduk kerana ia tidak sedikit pun mengurangkan atau menghina harga diri kita. Allah telah memuji hamba-Nya yang bertawaduk dan mengangkat darjat mereka.

01:13 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.