Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

10 October 2007

Model Intergriti Rasulullah

DALAM konteks kebertanggungjawaban baginda terhadap amanah kepemimpinan masyarakat dan ummah, baginda meletakkan umatnya sebagai teristimewa dalam lubuk hatinya. Baginda mendahulukan doa untuk umatnya, para sahabatnya, dan orang lain melebihi kepentingan baginda sendiri.

Baginda masih ada masa untuk bergurau dengan sahabat sekeliling, malah boleh berbual seperti manusia kebanyakan dan bermain bersama anak cucu dan kanak-kanak orang lain. Baginda mendahulukan semua orang tanpa membezakan sesiapapun. Bahkan baginda akan menziarahi sesiapa sahaja yang sakit atau meninggal.
Dalam hal kualiti interaksi baginda dengan masyarakat sekeliling, Abdulah ibn Al Harith menjelaskan yang bermaksud:
"Aku tidak pernah melihat orang yang sentiasa tersenyum melainkan Rasulullah" (Riwayat At Tarmizi).
Anas ibn Malik menceritakan yang bermaksud:
"Rasulullah suka bermain dengan kami (kanak-kanak) sehingga baginda pernah berteka-teki dengan adikku:
'Wahai Abu Umayr! Apakah yang selalu (burung) nughair lakukan?" (Riwayat Bukhari).
Selain itu, Rasulullah sentiasa mengelakkan diri daripada mendengar maklumat buruk atau negatif mengenai orang lain. Abu Daud menceritakan jawapan Rasulullah kepada orang yang ingin menyampaikan tentang sesuatu negatif berkaitan orang lain, menyebut:
"Jangan kamu sampaikan cerita buruk mengenai sahabatku kerana aku ingin bertemu mereka dengan hati yang suci (positif)" (Riwayat Bukhari).
Ibn Mas'ud meriwayatkan pesanan Rasulullah tentang kualiti interaksi manusia, sabdanya:
"Berlembutlah dan jangan jadikan (pengajaran agama) sukar. Sebaliknya bawakan khabar gembira dan jangan menolak (harapan orang)."
Rasulullah juga sangat memelihara hubungannya dengan manusia terutama apabila baginda menegur seseorang. Dalam keadaan itu baginda hanya akan menyebut kesalahan itu secara umum tanpa menyentuh nama sesiapapun. Demikian yang diriwayatkan oleh Abu Daud.
Begitu juga gambaran kualiti kepemimpinannya dalam keluarga. Baginda seperti yang digambarkan oleh Siti Aisyah ialah:
"Rasulullah biasanya membaiki kasutnya, menjahit pakaiannya dan melakukan kerja-kerja rumah seperti orang lain. Dia selalu membersihkan pakaiannya, memerah susu kambingnya dan membuat kerja-kerja. lain.... Dia berkhidmat untuk keluarganya sehinggalah tiba waktu solat" (Riwayat At Tarmizi).
Manakala Anas ibn Malik menggambarkan Rasulullah sebagai:
"Aku tidak pernah melihat sesiapa yang mengasihi anak-anaknya lebih daripada Rasulullah" (Riwayat Muslim).
Kualiti peribadi Rasulullah dalam konteks interaksi sesama manusia diperkuatkan dengan sifat humanistiknya yang menghormati orang lain, pemaaf, dan baik hati. Hal ini digambarkan dalam beberapa hadith berikut;
"Rasulullah tidak pernah bercakap dengan cara menghina ataupun sengaja bercakap perkara tidak baik. Dia pernah berkata 'Yang paling kusayangi di kalangan kamu ialah yang baik peribadi dan akhlaknya" (Riwayat Bukhari).
Dalam satu kes, baginda didatangi oleh seorang bukan Islam menuntut hutang secara kasar. Lalu sikapnya ditegur secara kasar oleh Umar. Baginda menenteramkan Umar dan berkata kepada orang tersebut bahawa tempoh bayarannya masih berbaki tiga hari lagi. Meskipun begitu, baginda tetap membayarnya malah menambah bayarannya sebagai ganti rugi kerana dikasari oleh Umar. Lelaki tersebut akhirnya memeluk Islam. Demikian seperti yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi.
Rasulullah manusia unggul dalam pelbagai aspek dan mempunyai nilai integriti yang tertinggi. Meskipun baginda seorang ketua negara, baginda masih mengikat untanya sendiri, memberi makan binatang peliharaannya, makan bersama orang suruhannya, menguli roti bersama mereka, dan membawa sendiri barangan yang dibelinya di pasar.

01:15 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.