Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

18 October 2007

Tidak nampak kelebihan diri

KISAH penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) wanita ketagih pil kurus adalah satu perkara yang bukan saja memeranjatkan, tetapi memalukan.

Mana tidaknya, sebagai individu terpilih daripada ratusan ribu pelajar bijak, rupa-rupanya tewas juga dengan keinginan memiliki badan kurus yang disangka satu daripada elemen penting untuk nampak cantik.

Namun hakikatnya, bukan pelajar IPT saja yang terpedaya dengan takrifan silap ini, malah ramai lagi wanita, termasuk golongan profesional, turut terpengaruh. Justeru, tidak hairan jika pusat menguruskan badan tumbuh bagai cendawan lepas hujan.

Itu belum masuk penjualan bahan pengurus badan sama ada krim sapu, produk herba (termasuk teh pelangsing), akar kayu, pil dadah, sabun mandi serta korset (baju dalam) yang didakwa dapat mengecilkan badan penggunanya. Malangnya, semua tawaran menarik itu hanya berlandaskan dakwaan dan tiada bukti saintifik bagi mengesahkannya.

Teringat kata Perunding Kardiologi, Datuk Dr Khoo Kah Lin, jika benar ada orang dapat mencipta ubat kurus tanpa perlu bersusah payah bersenam dan mengawal pemakanan, pasti orang itu dapat Hadiah Nobel dan menjadi jutawan kerana ubat sedemikian sememangnya menjadi idaman seluruh penduduk dunia!

Mengapa terjadinya perkara begini? Kata Pengarah Pusat Kaunseling Psikologi Klinikal, Ray Choo, semuanya disebabkan kekurangan keyakinan terhadap diri sendiri.

Masalah ini berlaku pada semua lapisan masyarakat, termasuk orang dewasa, terutama yang mengalami krisis pertengahan umur.

Namun, ia lebih ketara pada golongan muda yang sentiasa berasakan diri mereka serba kekurangan berbanding orang lain. Mereka seolah-olah mahu memakai topeng berlainan setiap kali berdepan orang lain.

Topeng ini adalah gambaran yang ingin ditampilkan kepada orang supaya mereka mudah diterima dan pada masa sama individu berkenaan akan cuba melindungkan imej dirinya yang sebenar.

Mereka mahu supaya imej digambarkan itu menyamai persepsi orang terhadap mereka. Topeng ini juga berubah mengikut keadaan dan persekitaran, semuanya dilakukan untuk menarik perhatian orang.

Individu seperti ini mengalami masalah personaliti tidak seimbang dan kurang peka terhadap kelebihan diri. Malah, kadangkala mereka tidak tahu apa mereka mahukan dalam hidup ini. Bagi mereka, yang penting ialah cuba mencipta imej lain supaya mudah diterima orang lain,katanya.

Dalam erti kata mudah, individu yang mengalami masalah personaliti tidak seimbang sebenarnya kurang yakin dengan diri sendiri, mempunyai tahap kendiri yang rendah dan sentiasa berasa tidak puas dengan imej badan sendiri.

Personaliti tidak seimbang

Kata Perunding Terapi dan Kaunselor, Wong Yee Men, masalah ini menyebabkan ada orang sanggup membahayakan diri seperti mengambil pil kurus di luar pengawasan doktor, semata-mata mahu memiliki imej badan diidamkan.

Dalam kajian kecil dilakukannya, didapati ramai remaja, terutama pelajar IPT, mengalami masalah kurang keyakinan diri. Berbanding lelaki, wanita lebih sensitif pada imej badan yang sering dikaitkan dengan kecantikan.

Lelaki memandang kerjaya dan wang sebagai asas kendiri, sebaliknya pembentukan keyakinan diri wanita lebih menjurus kepada paras rupa dan bentuk badan.

Ramai wanita, terutama remaja perempuan, menganggap kurus itu cantik. Justeru, untuk memiliki imej cantik, mereka sanggup lakukan apa saja, walaupun sesetengah tindakan itu boleh membahayakan nyawa.

Golongan ini juga menganggap apabila kurus, mereka akan lebih mudah diterima rakan sebaya, dapat menarik perhatian orang lain, popular dan secara tidak langsung mampu meningkatkan keyakinan diri.

Konsep kurus itu cantik sebenarnya tidak tepat. Hakikat sebenarnya ialah mengurangkan berat badan untuk kesihatan. Kita perlu menggunakan konsep baru untuk melihat diri.

Tidak ada orang yang dilahirkan tidak cantik. Tuhan mencipta insan dengan sifat sempurna dan setiap orang ada kelebihan masing-masing. Kelebihan ini sebenarnya menjadi kunci kecantikan seseorang.

Malangnya wanita tidak melihat kecantikan secara menyeluruh, sebaliknya hanya tertumpu pada anggota badan tertentu seperti muka, pinggang, perut atau kaki. Ini menyebabkan ada wanita mengalami gangguan pemakanan seperti aneroksia atau bulimia, katanya.

Menurutnya, individu yang mengalami masalah personaliti tidak seimbang sentiasa mempunyai tanggapan negatif dan buruk terhadap imej diri. Setiap kali berdiri di depan cermin, mereka seolah-olah melihat individu yang hodoh.

Keinginan menghilangkan imej yang hodoh itulah yang boleh menyebabkan mereka hilang pertimbangan sehingga terdorong mengambil pil kurus secara berlebihan, sedangkan tindakan itu berbahaya.

Berdasarkan laporan Harian Metro minggu lalu, pil kurus atau phentermine hanya akan digunakan sebagai langkah terakhir jika usaha mengurangkan berat badan melalui senaman dan kawalan pemakanan bagi individu obes (terlalu gemuk) tidak berjaya.

Begitu pun, ia tidak boleh diambil sewenang-wenangnya. Penggunaannya mesti di bawah pengawasan doktor kerana dos berlebihan akan menyebabkan ketagihan dan kesan sampingan seperti hilang selera makan, tekanan emosi, degupan jantung menjadi pantas, bibir kering, masalah jantung, muntah dan mengantuk.

Konsep mengaitkan kurus dengan kecantikan dan keyakinan perlu diubah. Ada ramai wanita berbadan besar juga boleh kelihatan cantik dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Lihat saja Syanie dan Adibah Noor  kedua-duanya bukan saja berbadan besar, tetapi mempunyai bakat besar dan bijak menggunakan kelebihan itu untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Kata Wong, orang yang yakin pada diri sebenarnya tampak lebih cantik dan berwibawa. Tidak perlu membazir wang membeli pelbagai ubat kurus hanya kerana mahu cantik yang disangka boleh meningkatkan keyakinan.

Ramai orang menyangka mereka boleh mengawal diri, terutama individu berpendidikan tinggi. Mereka kata akan berhenti ambil pil apabila berjaya menguruskan berat badan. Bagaimanapun, mereka lupa setiap dadah ada kesan sampingan dan ada yang boleh membuatkan mereka ketagih, katanya.

Keluarga positif dan negatif

Selain pengaruh media, tekanan ingin diterima rakan sebaya, kesunyian dan kekosongan jiwa, faktor penting yang turut menyumbang kepada masalah kurang keyakinan diri ialah ketiadaan sokongan keluarga.

Mungkin tidak ramai sedar keyakinan diri sebenarnya bermula di rumah dan ia satu proses berpanjangan yang perlu dipupuk sejak kecil.

Sikap ibu bapa atau ahli keluarga yang sering memanggil anak dengan perkataan seperti debab, gemuk, montel, hitam, bodoh atau pendek sebenarnya memberi pengaruh negatif terhadap perkembangan anak; walaupun ia hanya gurauan.

Perkataan ini secara perlahan-lahan akan menyusup masuk ke dalam hati dan tertanam dalam minda sehingga ia sukar dikikis. Contohnya jika kerap melabelkan anak sebagai bodoh, apabila dia gagal dalam peperiksaan secara automatik si anak akan berkata tidak apa, sebab saya memang bodoh.

Sebaliknya, jika ibu bapa sentiasa memberi pujian dan sokongan, keyakinan anak menjadi lebih tinggi. Bagi individu yang tinggal dalam persekitaran positif, kegagalan tidak menyebabkan mereka kecewa, sebaliknya menjadikan ia sebagai cabaran untuk berusaha lagi.

Ibu bapa juga perlu belajar kemahiran keibubapaan. Usah kedekut untuk memuji anak jika mereka melakukan perkara baik, walaupun anak masih kecil. Contohnya jika mereka masuk pertandingan melukis, pujilah kerana keberanian anak untuk mencuba, walaupun lukisan tidak memenangi hadiah.

Selain itu, ibu bapa perlu berhati-hati memilih perkataan dan menegur anak dengan cara positif serta memberi pandangan membina. Ini kerana ibu bapa sering menjadi idola dan biasanya anak akan mewarisi sedikit sebanyak cara pertuturan orang tua mereka.

Kadangkala sikap ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja, tidak ambil peduli atau memberi kebebasan sepenuhnya, juga boleh mendatangkan tekanan kepada anak. Mereka akan berasa kesunyian, tidak dipedulikan dan tiada tempat untuk mengadu.

Bercakap atau membincangkan masalah dengan keluarga, kawan atau kaunselor adalah cara terbaik untuk membantu meringankan tekanan. Jadilah pendengar yang baik. Tidak perlu beri cadangan kerana mereka sebenarnya tahu apa yang ingin dilakukan. Mereka hanya perlu saluran untuk meluahkan masalah.

Namun yang lebih penting ialah kesedaran kita. Kebanyakan orang sedar dia mengalami tekanan, tetapi tidak mahu menerima atau mengakui hakikat ini. Tidak kurang juga ada yang cuba menyembunyikan masalah mereka daripada pengetahuan orang lain. Bagaimanapun ini bukan tindakan bijak kerana ia hanya membuatkan masalah bertambah buruk, katanya.

Sememangnya bagi sesetengah orang, tidak mudah untuk meluahkan masalah kepada orang lain. Bagi individu begini, antara cara yang boleh dilakukan ialah dengan menulis masalah mereka di atas kertas.

Cara ini membolehkan mereka berfikir dan merancang kaedah yang boleh diambil bagi mengatasinya. Secara umumnya tidak ada cara betul atau salah untuk meredakan tekanan, selagi ia tidak menyalahi undang-undang, agama dan menyusahkan orang lain.

Bagi yang masih ragu-ragu dengan dirinya atau berasakan dia mempunyai personaliti tidak seimbang boleh mendapatkan khidmat pakar untuk membuat penganalisisan personaliti seperti ujian MBTI (Meyer Briggs Type Indicator). Bagaimanapun ujian ini mesti dilakukan oleh perunding bertauliah.

Akhir sekali, setiap orang perlu menerima diri mereka seadanya. Walaupun lumrahnya manusia lebih cepat nampak keburukan diri, Tuhan amat adil kerana memberikan kelebihan tertentu kepada setiap orang.

Pernah saya minta sekumpulan pelajar IPT menyenaraikan kelebihan serta kekurangan mereka dan hasilnya memeranjatkan.

Rata-rata memberikan senarai panjang kelemahan, tetapi ada yang tidak dapat mencari satu pun kelebihan diri.

Ini tandanya mereka mempunyai imej diri yang rendah. Jangan terlalu memandang rendah pada diri hanya berdasarkan paras rupa atau bentuk badan, kerana kita ada kelebihan yang tidak dimiliki orang lain.

Gunakan kelebihan ini untuk merangsang keyakinan diri kerana orang yang yakin dengan diri sendiri secara automatik nampak lebih cantik, katanya.

03:53 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.