Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 November 2007

Memupuk minat membaca di kalangan masyarakat

MASYARAKAT negara ini belum boleh dianggap masyarakat pembaca. Amalan itu belum menjadi budaya kita, tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh melakukan perubahan seiring kemajuan negara dan peningkatan ilmu.

Jika ada usaha bersungguh-sungguh ke arah itu mungkin pada suatu hari nanti kita pun akan berubah dan menjadi seperti masyarakat Barat dan Jepun yang memperoleh keseronokan daripada membaca.

Secara umumnya masyarakat kita lebih suka duduk bersembang atau menonton televisyen tanpa menyedari bahawa perlakuan sedemikian hanya membuang masa dan tidak membawa manfaat kecuali segelintir orang yang sudah mulai berjinak dengan buku.

Justeru, seruan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya rakyat menerapkan sikap gemar membaca boleh menjadikan Malaysia sebagai ‘negara pembaca’ yang setaraf dengan penduduk di negara maju harus dijadikan isyarat bahawa sesuatu harus dilakukan bagi membaiki keadaan ini.

Banyak ilmu, maklumat dan pengetahuan boleh diperoleh daripada buku, walaupun ada sesetengah buku mungkin tidak sesuai dibaca atau tidak mengandungi kandungan berfaedah. Namun secara amnya, setiap buku mengandungi maklumat tertentu yang boleh kita petik sebagai pengajaran atau teladan dalam kehidupan.

Ada juga yang boleh kita gunakan sebagai panduan bagi memperbaiki kefahaman bahasa kita, tidak kira apa saja bahasa yang kita kehendaki, terutama bahasa Inggeris. Membaca juga mempunyai motifnya tersendiri. Ada orang membaca kerana ingin mendapat fakta bagi pembelajaran, ada sekadar membaca untuk menghilangkan rasa bosan dan banyak lagi alasannya.

Apa saja motifnya, ia adalah satu lagi langkah ke depan bagi kita untuk menjadi masyarakat pembaca. Jika orang sering menjelajah akan mendapat ilmu yang luas, begitu jugalah orang yang banyak membaca akan menjadi insan penuh dengan ilmu di dada.

Generasi muda juga kini terdedah kepada pelbagai penulisan kreatif seperti novel remaja yang laris dijual. Novel berbau cinta ini menjadi sebahagian daripada ‘budaya pop’ banyak memaparkan kisah percintaan, pengembaraan dan misteri.

Menjadi harapan kita agar masyarakat kita tidak berterusan menggemari novel cinta dan cerita pelik semata-mata agar kita dapat membebaskan diri daripada dibelenggu bahan bacaan seumpama.

Elok juga kita cuba meninjau bahan bacaan lain yang banyak mengandungi maklumat boleh dimanfaatkan. Adalah wajar kita memperluaskan skop bacaan kepada bahan lebih serius dan berunsur ilmu pengetahuan dan kurangkan tumpuan pada cerita gosip dan sastera picisan.

Setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dan tidak kira apa bidang kita minati, terus saja mencari dan membaca kerana jika kita sentiasa menangguhkannya, akhirnya kita tidak akan dapat menghabiskan satu buku pun dalam setahun.

Menurut satu kaji selidik, rakyat Malaysia hanya membaca dua buku setahun secara purata. Angka ini tidak begitu memberangsangkan dan sebagai negara yang serba moden dan mempunyai prasarana canggih, kita mampu mengubahnya.

Apapun, membaca boleh mengubah cara pemikiran pembaca dan seorang penulis yang berjaya mampu mempengaruhi pembacanya. Mungkin sesuai dengan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara tahun ini, elok juga kita cuba melakukan sesuatu positif dengan menjadi masyarakat pembaca. Kita boleh memulakannya dengan menyingkap semula susur galur sejarah tanah air.

Bahan bacaan mengenai perjuangan rakyat kita dulu sejak zaman pramerdeka sehinggalah zaman pengisian kemerdekaan boleh diperoleh dengan mudah di perpustakaan dan ada lagi yang baru diterbitkan, contohnya ‘The Reluctant Politician’ mengenai kehidupan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Adalah lebih baik jika kita boleh melangkah ke depan dan menjadikan novel bahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada bahan bacaan kita setiap hari. Di samping dapat membaiki kemampuan kita untuk berbahasa Inggeris, kita juga akan mempunyai lebih banyak pilihan buku dari seluruh dunia. Sekiranya benar-benar minat membaca, kita akan berasa sungguh bertuah dapat membaca begitu banyak bahan yang diterbitkan dari negara lain.

Apapun, kita seharusnya mengalu-alukan langkah kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pelajaran untuk memainkan peranan lebih aktif dalam mempromosi kegiatan membaca dan sastera di kalangan masyarakat.

Kegiatan membaca juga boleh dipertingkatkan menerusi penubuhan kelab bacaan di sekolah dan pada peringkat masyarakat setempat. Najib turut menggariskan tiga pendekatan lain dalam meningkatkan pembangunan bidang sastera pada peringkat nasional dan negeri iaitu seperti menubuhkan Perkampungan Buku, Pasar Buku, rangkaian, usaha sama, pertubuhan kesusasteraan, perpustakaan dan memperbanyakkan penerbitan.

Langkah kerajaan atau agensinya untuk mengiktiraf dan memperkenalkan penulis tempatan menerusi pemberian anugerah, pelancaran terbitan buku baru dan lain-lain adalah antara langkah proaktif yang boleh mendorong lebih ramai anggota masyarakat untuk mencintai buku.

Media massa juga boleh membantu mempopularkan budaya membaca di kalangan masyarakat dengan menjalankan pelbagai kegiatan termasuk menambah lagi pertandingan menulis novel. Ruangan khas bagi ulasan buku baru yang kini sudah diwujudkan kebanyakan akhbar arus perdana seharusnya diperluaskan meliputi akhbar lain yang belum mempunyai ruangan berkenaan.

Inisiatif stesen televisyen tertentu untuk mengulas buku baru di pasaran dalam rancangan ‘talk show’ pada waktu pagi juga dialu-alukan. Dengan kemunculan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga boleh memuatkan turun koleksi buku atau sinopsis mengenai topik tertentu daripada internet, di samping membeli atau membuat pesanan buku melalui online atau membaca saja buku berkenaan menerusi kemudahan e-buku.

06:27 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.