Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

21 November 2007

Menganjak paradigma diri

SATU matlamat, satu sasaran dan satu fokus. Hanya ada satu cara untuk kita mencapai matlamat.


MINDA mempunyai pengaruh yang sangat penting dalam kehidupan seseorang. Minda yang bersih akan memancarkan individu yang hebat, berani menghadapi cabaran, reda dengan takdir dan melihat setiap peristiwa dengan kebaikan dan kesyukuran.

Menganjak paradigma bermaksud mengubah kerangka pemikiran sedia ada ke arah pembentukan kerangka pemikiran yang baru dan dapat membawa kejayaan serta kecemerlangan dalam hidup seharian. Kata pepatah lama, 'sekiranya anda mahu berkuasa, berlagaklah seolah-olah anda sedang berkuasa'.

Rasululah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan segala perkara bagi orang yang beriman. Dan semua itu baik baginya dan hal itu tidak dimiliki oleh lain, selain orang yang beriman iaitu jika dia mendapat kebaikan atau kesenangan, dia akan bersyukur dan yang demikian itu baik baginya, dan jika dia terkena hal yang tidak menyenangkan, dia akan bersabar dan hal yang demikian itu baik baginya." - Hadis riwayat Muslim.

Mengambil kisah, Victor Seribriakott adalah seorang pelajar yang sama seperti rakan-rakannya yang lain. Ketika berumur 15 tahun, gurunya merendah-rendahkan keupayaannya dan mencadangkannya berhenti sekolah kerana bodoh.

Gurunya turut mencadangkan supaya Victor mencari kerja biasa. Victor mengiyakan kata-kata gurunya. Semasa berumur 32 tahun, Victor tergerak untuk mengambil ujian kepintaran dan keputusannya? Beliau mendapat 161 markah yang mengukur kecerdasan intelektual (IQ), lebih tinggi daripada rakan-rakannya yang lain.

Sejak itu, beliau bertukar daripada individu yang dikelilingi 'kebebalan diri' kepada 'aku cemerlang' sebagai tanda azamnya terhadap perubahan diri. Beliau menjadi penulis dan akhirnya dilantik sebagai Presiden Mensa International Society.

Tetapkan matlamat. Inilah kunci kepada kejayaan kita. Hampir kesemua individu yang berjaya dan mencetuskan perubahan adalah mereka yang menjadikan matlamat sebagai sebahagian daripada hidup. Jika kita mahukan kehidupan yang berjaya dan bahagia, kita perlu melakukan tindakan yang sama.

Pastikan matlamat kita khusus dan jelas supaya ia memberi tenaga kepada setiap usaha fizikal dan mental. Tenaganya samalah seperti yang terdapat pada anak panah murid pendeta yang meluru tepat ke arah mata burung.

Satu matlamat. Satu sasaran. Satu fokus. Hanya ada satu cara untuk kita mencapai matlamat. Hanya ada satu formula yang kita boleh percaya. Hanya ada satu petua untuk membuat perubahan positif dalam hidup kita. Satu cara itu ialah usaha. Kita memerlukan keupayaan dan keberanian untuk melaksanakan impian dan memperuntukkan masa yang cukup ke atas usaha berkenaan.

Kurang daripada satu peratus kejayaan bergantung kepada nasib. Selebihnya, 99 peratus adalah usaha dan doa anda. Jika kita bersedia untuk bekerja kuat, gigih dan berdisiplin, ruang untuk kita gagal amatlah tipis. Sambil kita menulis dan melihat catatan impian masa depan, sering bermain di fikiran kita apa yang akan berlaku jika kita gagal.

07:58 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.