Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

17 April 2008

100 lulusan matrikulasi dihantar ke luar negara

Oleh Khairina Yasin

Lulusan perakaunan berpeluang belajar di universiti berprestij

KEMENTERIAN Pelajaran akan menghantar 100 lagi lulusan cemerlang Program Matrikulasi melanjutkan pengajian ke universiti berprestij luar negara, tahun depan.

Penghantaran pelajar di bawah Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi (Program Luar Negara) itu meningkat sekali ganda berbanding 50 pada tahun ini, 2007 (21) dan 2006 (18).

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata peningkatan itu sejajar perancangan Kementerian Pelajaran memperluaskan pelaksanaan skim itu kepada lulusan jurusan perakaunan, Program Matrikulasi ini.

“Perancangan itu membolehkan lulusan berkenaan meneruskan pengajian peringkat ijazah pertama dalam bidang Ekonomi, Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan.

“Pelajar terpilih akan ditempatkan di beberapa universiti terkemuka termasuk di United Kingdom (UK), Amerika Syarikat dan Australia,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Ketika ini beliau berkata, pemilihan pelajar di bawah skim itu tertumpu kepada lulusan jurusan sains dan mereka kini mengikuti pengajian ijazah pertama di lima universiti terkemuka di UK.

Institusi terbabit ialah University of Birmingham, University of Nottingham, University of Surrey, University of Manchester dan King’s College.

“Pelajar berkenaan mengikuti pengajian dalam empat bidang pengkhususan iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Apabila tamat pengajian kelak mereka akan berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran sebagai guru siswazah,” katanya.

Beliau berkata, lulusan Program Matrikulasi kini diterima secara meluas di universiti luar negara dan perkembangan itu membawa kepada usaha memperluaskan skim, selain menjalin kerjasama dengan lebih banyak universiti berprestij luar negara.

Sambil menjelaskan pelaksanaan itu adalah satu daripada agenda pengantarabangsaan program matrikulasi, beliau berkata, skim itu turut membolehkan pelajarnya menerokai peluang pengajian lebih luas, sekali gus membuktikan lulusan program berkenaan diterima masuk bukan saja universiti tempatan malah luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainal Abidin berbangga dengan pencapaian lulusan matrikulasi dalam peperiksaan Malaysian University English Test (Muet) 2007.

Secara keseluruhan, katanya, pencapaian lulusan matrikulasi dalam Muet tahun lalu lebih baik berbanding pencapaian calon lain termasuk dari sekolah kerajaan, swasta, persendirian, diploma dan ijazah pertama.

“Sebanyak 72.46 peratus lulusan matrikulasi berjaya mencapai tahap 3 ke atas, mengatasi pencapaian 47.38 peratus calon nasional,” katanya.



Rujukan: Berita Harian 16.4.2008

01:46 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)

1 2 Next