21 July 2009

Sedekad Program Matrikulasi

LULUSAN CEMERLANG DAN DIIKTIRAF DALAM, LUAR NEGARA

HANYA dalam tempoh 10 tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan Program Matrikulasi selepas mengambilalih dalam keadaan 'serba kekurangan' daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 1998, banyak kejayaan membanggakan sudah dicapai.

Kejayaan sedekad itu meliputi aspek penyediaan infrastruktur kolej dilengkapi teknologi terkini, kemantapan mutu kurikulum dan pelaksanaan berkesan, serta kecemerlangan lulusannya yang bukan saja mendapat pengiktirafan di dalam negara tetapi juga pada peringkat antarabangsa.

Antara lain Bahagian Matrikulasi yang diterajui Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, mendapat pengiktirafan kualiti MS ISO 9001:2000 mencakupi aspek pengurusan dan pengendalian peperiksaan, proses pengurusan pengambilan pelajar serta pengurusan pakej dan pembangunan sumber manusia pada Jun 2004, disusuli semua Kolej Matrikulasi pada Julai 2007.

Bukan itu saja, lulusan program berkenaan turut mengharumkan nama negara dengan mencatat prestasi cemerlang dalam pengajian ijazah pertama di universiti luar negara, termasuk empat pelajar bidang Fizik di University of Surrey, United Kingdom, yang meraih purata nilai gred kumulatif 4.00, sekali gus menduduki tangga pertama, kedua, ketiga dan kelima bagi peringkat keputusan terbaik peperiksaan semester.

Pencapaian itu menepati objektif, terutama menjana pelajar Bumiputera mencukupi bidang profesional dan kritikal di IPTA, melahirkan insan holistik serta pemimpin masa depan cemerlang.

Zainal Abidin, berkata tujuh asas digariskan untuk pengambilalihan program itu daripada IPTA, iaitu membolehkan penstrukturan program yang selaras dan memberi ruang kepada pelajar menentukan universiti pilihan secara terbuka.

Selain itu, katanya, melaksanakan sistem peperiksaan berpusat dan bebas dengan pembabitan organisasi luar untuk penggubalan, penaksiran serta pemeriksaan, di samping pengambilan pelajar secara berpusat dan juga berdasarkan meritokrasi.

Asas seterusnya, beliau berkata, ketidakmampuan IPTA ketika itu untuk mengendalikan program berkenaan sendiri di mana rata-rata mereka terpaksa memfrancais kepada pihak lain sehingga timbul isu pelaksanaannya di premis tidak sesuai seperti rumah kedai.

Pada masa sama, katanya, IPTA dikehendaki memberi tumpuan terhadap kecemerlangan program penyelidikan dan pembangunan sedangkan ramai tenaga pengajar terbabit dalam pengajaran matrikulasi di universiti masing-masing.

Justeru apabila Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak (kini Timbalan Perdana Menteri), bertindak sebagai pengasas Program Matrikulasi kementerian, Zainal Abidin berkata, segala aspek berkaitan kurikulum, peperiksaan dan pembangunan modal insan sentiasa dititikberatkan.

“Dalam konteks ini selain mata pelajaran teras mengikut kursus masing-masing, semua pelajar program ini dikehendaki mengambil subjek wajib, iaitu Kewarganegaraan, Dinamika Kemahiran, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Moral serta Sains Informatik.

“Di samping itu, kegiatan kokurikulum tidak diabaikan bagi menjana pelajar holistik yang memiliki keterampilan dan kemahiran insaniah supaya mereka mampu berdaya saing pada peringkat tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Bahagian Matrikulasi menggariskan Perancangan Strategik Kecemerlangan yang ditunjangi 13 teras utama dengan pengisian padat, berinovasi dan menepati perkembangan globalisasi.

Teras pertama ialah matrikulasi mengadaptasi, menerima serta mengamalkan prinsip pendidikan abad ke-21, disusuli teras kedua pembestarian program matrikulasi di mana setiap kolej menjadi pusat kecemerlangan berdasarkan kepakaran dan juga kemudahan dimiliki dalam suatu bidang khusus.

Beliau berkata, tujuan penubuhan pusat kecemerlangan berkenaan ialah untuk mencapai matlamat pembangunan, pemerolehan, penggunaan serta pembudayaan.

Berikutan itu, Kolej Matrikulasi Pahang serta Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berperanan sebagai Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan Kolej Matrikulasi Kedah (Pusat Kecemerlangan Arkib dan Dokumentasi), Kolej Matrikulasi Perak (Pusat Kecemerlangan Latihan dan Pembangunan Staf), Kolej Matrikulasi Johor dan Kolej Matrikulasi Labuan (Pusat Kecemerlangan Kokurikulum), serta Kolej Matrikulasi Perlis dan Kolej Matrikulasi Melaka (Pusat Kecemerlangan Pembangunan dan Penyelidikan).

Teras ketiga ialah `kejuruteraan akademik’ yang menekankan bahawa proses P&P yang dilaksanakan tidak mengamalkan konsep latih tubi, pembelajaran secara paksa, berorientasikan peperiksaan serta pendekatan pengajaran tradisional.

Sebaliknya, Zainal Abidin berkata, pelajar didedahkan kepada proses P&P berorientasikan sains dan teknologi yang berupaya meningkatkan inovasi, kreativiti serta kemahiran insaniah mereka.

Sumber: Berita Harian 21.7.2008



 

Program Matrikulasi KPM - 10 Tahun

Tahun 2008 ini genaplah sepuluh tahun usia Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini dimulakan dengan penubuhan Bahagian Matrikulasi KPM pada September 1998 untuk mengambil alih, menyeragam dan menyelaras semua program matrikulasi / asasi yang selama ini dikendalikan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Pengambilan pertama pelajar dalam program ini bermula pada Januari 1999 melibatkan 330 orang yang ditempatkan di kolej Yayasan Pelajaran MARA, Bangi, Selangor. Pengambilan pelajar seterusnya dibuat pada ambilan Jun sesi 1999/2000 apabila Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) siap dibina dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) ditempatkan sebagai kampus sementara di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Cawangan Labuan. Pada ketika yang sama, KPM juga menempatkan pelajar-pelajar di 18 buah kolej swasta (IPTS) yang dipilih untuk melaksanakan Program Matrikulasi KPM.

Kini Program Matrikulasi KPM mempunyai 9 buah kolej iaitu KM Melaka, KM Labuan, KM Pulau Pinang, KM Negeri Sembilan, KM Perlis, KM Johor, KM Perak, KM Kedah dan KM Pahang yang mengendalikan Program Matrikulasi Sains dan Perakaunan. Selain itu, pelajar juga ditempatkan di dua buah kolej MARA iaitu Kolej MARA Kulim dan Kolej MARA Kuala Nerang.

Dalam tempoh 10 tahun ini, banyak perubahan telah berlaku yang menunjukkan betapa dinamiknya perkembangan program Matrikulasi KPM. Ini dilihat dari pelbagai tahap yang meliputi aspek fizikal, kurikulum, program perkembangan pelajar, program pengantarabangsaan, perkembangan staf, pengambilan pelajar dan sebagainya.

Pada peringkat awal, Program Matrikulasi KPM dilaksanakan dalam tempoh 3 semester, namun mulai sesi 2001/2002 tempoh pengajian dipendekkan kepada 2 semester. Pada sesi 2002/2003 bilangan subjek yang perlu diambil oleh pelajar jurusan sains telah dikurangkan kepada 3 subjek berbanding 4 subjek sebelumnya disebabkan keperluan mengkhusus dalam bidang-bidang berkaitan dan juga keperluan untuk mengambil kursus lain seperti Sains Informatik, Pendidikan Islam dan Moral, Dinamika Kemahiran dan kegiatan kokurikulum.

Apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan, Program Matrikulasi juga tidak ketinggalan. Mulai sesi 2004/2005, semua subjek teras dalam Program Matrikulasi Sains disampaikan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya meliputi kuliah, tutoran dan amali. Serentak dengan itu, soalan peperiksaan juga disediakan dalam dwi bahasa. Dapatan terkini menunjukkan 94 peratus pelajar menjawab dalam Bahasa Inggeris.
Untuk memberi impak pencapaian yang lebih tinggi kepada pelajar-pelajar, Program Matrikulasi telah membuka ruang kemasukan kepada pelajar bukan bumiputera sebanyak 10 peratus mulai sesi 2004/2005. Ini dilihat tepat pada masanya dalam mencapai hasrat perpaduan dan intergrasi nasional.

Untuk memberi peluang kepada lebih ramai pelajar bumiputera yang berpotensi, program rintis Matrikulasi dua tahun atau dikenali sebagai Program Dua Tahun (PDT) dimulakan pada sesi 2006/2007. Program ini sedikit berbeza berbanding Program Satu Tahun (PST) dimana pelajar akan mengikuti program Matrikulasi selama 4 semester. Dalam dua semester pertama (Tahun 1) pelajar akan mengikuti modul khas yang merupakan tahun penyesuaian. Pada 2 semester berikutnya (Tahun 2), pelajar akan mengikuti program matrikulasi sains sebenar setelah lulus tahun penyesuaian. PDT ini dikahskan kepada jurusan sains sahaja.

Dalam memantap, meningkatkan kualiti dan memastikan tahap P&P sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, kurikulum Program Matrikulasi dikaji dan disemak sekurang-kurangnya setiap lima tahun. Semakan dan penggubalan semula kurikulum ini melibatkan pensyarah-pensyarah IPTA dan Kolej Matrikulasi. Kurikulum yang telah disemak dan digubal itu perlu mendapat pengesahan Jawatankuasa Penasihat Akademik (JPA) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KPM dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua Timbalan Naib Canselor (Akademik) IPTA.

Salah satu perkembangan penting Program Matrikulasi KPM ialah apabila tertubuhnya Pusat Kecemerlangan atau Centre of Excellence (CoE) untuk menjamin kualiti berterusan program ini. Penubuhan pusat-pusat kecemerlangan ini adalah antara perancangan strategik Bahagian Matrikulasi ke arah pengklusteran kolej-kolej Matrikulasi. Semua kolej Matrikulasi telah diberikan peranan sebagai pusat-pusat kecemerlangan tertentu bagi menzahirkan aspirasi menjadikan Program Matrikulasi lebih berprestij dan salah satu pemangkin yang dapat mengangkat martabat pendidikan negara di mata dunia. Penubuhan CoE ini juga selari dengan hasrat KPM untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Lima bidang kecemerlangan telah dipertanggungjawabkan kepada kolej-kolej seperti berikut:

i. Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran di KM Pulau Pinang dan KM Pahang.
ii. Pusat Kecemerlangan Arkib dan Dokumentasi di KM Kedah dan KM Negeri Sembilan.
iii. Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Pembangunan di KM Melaka dan KM Perlis.
iv. Pusat Kecemerlangan Kokurikulum di KM Johor dan KM Labuan.
v. Pusat Kecemerlangan Sumber Manusia di KM Perak.

Dalam meneruskan perkembangan kecemerlangan Program Matrikulasi, mulai tahun 2006 Program Pengantarabangsaan telah dimulakan. Dua aktiviti utama yang telah dan sedang dijalankan ialah Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi (SLTPPM) dan Program Inapan Desa (Homestay). Melalui SLTPPM pelajar-pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi KPM dihantar melanjutkan pelajaran ke beberapa buah universiti terkemuka di United Kingdom seperti University of Birmingham, University of Surrey, University of Nottingham dan University of Manchester. Pelajar-pelajar ini akan mengikuti pengajian ini dalam bidang fizik, kimia, biologi dan matematik dengan pendidikan, dan akan menjadi tenaga pengajar Program Matrikulasi setelah menamatkan pengajian. Penghantaran secara berperingkat SLTPPM ini bermula dengan 18 pelajar pada tahun 2006, 22 pelajar (2007), 50 pelajar (2008) dan dijangka 100 pelajar (2009).

Program Inapan Desa pula bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepimpinan serta sosial kepada pemimpin pelajar kolej-kolej matrikulasi. Program ini dimulakan dengan perjanjian persefahaman antara Bahagian Matrikulasi KPM dengan beberapa buah universiti di Sumatera, Indonesia. Bermula pada tahun 2006, seramai 31 pelajar dihantar ke Universitas Sriwijaya, Palembang. Ini diikuti pada tahun 2007 ke Universitas Andalas, Padang dan tahun 2008, program ini diadakan di Universitas Sumatera Utara, Medan.

Sepanjang 10 tahun Program Matrikulasi KPM ini, beberapa pencapaian yang membanggakan telah terhasil. Pada tahun 2004, Bahagian Matrikulasi telah memperolehi sijil MS ISO 9001:2000 meliputi pengurusan peperiksaan, pengambilan dan penempatan pelajar, serta latihan dan perkembangan staf. Sehingga tahun 2007, semua kolej matrikulasi telah memperolehi pengiktirafan MS ISO 9001:2000.
Selain itu, Program Matrikulasi KPM juga menekankan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D). Aspek ini penting untuk membentuk budaya penyelidikan untuk menyelesaikan isu-isu pendidikan dalam konteks Program Matrikulasi. Pencapaian dalam R&D ini sungguh membanggakan. Bermula dengan pembentangan 12 kertas kajian dalam Seminar Penyelidikan Pendidikan anjuran Bahagian Matrikulasi pada tahun 2003, bilangan kertas yang dihasilkan setiap tahun terus meningkat. Sejumlah 24 kertas telah dibentangkan pada tahun 2004, 58 kertas (2005), 64 kertas (2006) dan 69 kertas (2007).

Disamping itu, pencapaian kolej Matrikulasi juga sangat membanggakan. Sebagai contoh, Kolej Matrikulasi Pahang telah memenangi tempat pertama Pertandingan Anugerah Inovasi KPM pada tahun 2007. Kolej Matrikulasi Perak pula berjaya mendapat tempat pertama Anugerah Pengurusan Kewangan dan Akaun KPM. Kolej Matrikulasi Perak juga telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Pengurusan Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia 2008 (keputusan tempat belum diumumkan).

Bahagian Matrikulasi KPM turut turun padang untuk bersama masyarakat bagi menjelaskan Program Matrikulasi dan pencapaiannya. Ini dilaksanakan menerusi Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan bermula di Mukim Bagan Samak, Daerah Kulim-Bandar Baharu, Kedah pada tahun 2006 dan diurus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Kedah. Ini diikuti pada tahun 2007 di Daerah Seberang Perai Utara dan dirus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Pada tahun 2008 ini, program tersebut akan diadakan di Felda Chini Timur, Daerah Pekan, Pahang dan diurus setiakan oleh Kolej Matrikulasi Pahang. Program ini melibatkan 310 pelajar dari semua kolej matrikulasi KPM dan Kolej MARA bertujuan memberi pendedahan tentang kehidupan masyarakat sebenarnya sebagai persediaan menjadi pemimpin masa hadapan. Semua pelajar terlibat ditempatkan di rumah keluarga angkat selama lima hari dan menjalani beberapa program seperti gotong royong, khidmat sosial, bimbingan pelajaran kepada anak-anak masyarakat setempat, sukan dan kehidupan harian. Program tahun 2008 ini akan lebih bermakna lagi kerana kemuncak sambutan satu dekad Program Matrikulasi akan dilaksanakan bersama Majlis Penutupan Program Matrikulasi Bersama Masyarakat.

Dibawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), empat buah kolej baru telah diluluskan pembinaan dan lima buah kolej sedia ada dinaik taraf. Kolej-kolej baru yang sedang dan akan dibina ialah Kolej Matrikulasi Selangor (dijangka membuat pengambilan pelajar pada tahun 2010), Kolej Matrikulasi Kelantan dan Kolej Matrikulasi Terengganu (dijangka membuat pengambilan pelajar pada tahun 2011) dan Kolej Matrikulasi Sabah (dijangka akan mula dibina pada tahun 2010). Dengan pertambahan kolej-kolej baru ini yang serba moden, jumlah pelajar yang akan mengikuti Program Matrikulasi KPM akan bertambah dan dapat membekalkan jumlah pelajar mengikut keperluan IPTA.

Pada tahun 2008 ini juga, keputusan untuk mewujudkan Program Matrikulasi Teknikal/Kejuruteraan telah dicapai dan dijangka akan memulakan pengambilan pelajar pada sesi 2009/2010. Keputusan ini dihasilkan bersama dengan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) KPM yang mana Bahagian Matrikulasi akan diberikan sekurang-kurangnya dua buah Sekolah Menengah Teknik sedia ada. Beberapa persediaan awal ke arah pelaksanaan program ini sedang giat dijalankan meliputi aspek kurikulum, syarat kemasukan dan infrastruktur serta perjawatan yang berkaitan.

Setelah melihat semua perkembangan, pencapaian dan beberapa perancangan masa depan Program Matrikulasi KPM ini sudah semestinya sambutan satu dekad Program Matrikulasi KPM diraikan secara gilang gemilang. Pada 28 Jun 2008, pelancaran sambutan Satu Dekad Program Matrikulasi KPM telah diadakan di Kolej Matrikulasi Melaka (KMM). Simboliknya, KMM merupakan kolej pertama dalam Program Matrikulasi KPM. Pelbagai acara telah diatur sepanjang tahun 2008 untuk memeriahkan sambutan satu dekad ini seperti pertandingan logo satu dekad, penghasilan cenderamata satu dekad, majlis makan malam dan sebagainya. Sambutan satu dekad Program Matruikulasi ini akan diakhiri dalam Majlis Penutup Program Matrikulasi Bersama Masyarakat sebagai kemuncaknya yang dijangka diadakan pada 8 November 2008.


Sumber: Utusan Malaysia 30.10.2008

 

01 July 2009

Matrikulasi atau Program Asasi atau Diploma

Ramai pelajar yang bertanyakan sifu manakah di antara ketiga-tiga program lepasan SPM ini, mana yang lebih baik. Sifu dah jawab berulang kali tentang perkara ini di dalam komen balas sifu di sini. Untuk membolehkan pelawat blog ini membaca respons sifu yang terdahulu itu, maka sifu paparkan semula sebagai pos tetap.

Matrikulasi dan program asasi adalah program khas yang dirangka untuk membolehkan pelajar cemerlang melangkau program diploma. Matrikulasi keutamaan adalah program satu tahun (PST) walaupun ada juga program dua tahun (PDT). Matrikulasi yang popular sekarang ialah matrikulasi KPM. Namun begitu program asasi seperti program asasi sains atau program asasi undang-undang atau program asasi perakaunan juga memberi peluang lepasan SPM melangkau ke peringkat ijazah dalam tempoh singkat iaitu 1 tahun (2 semester) . Kedua-dua peluang pembelajaran ini, matrikulasi dan program asasi dikenali sebagai program laluan pantas (fast track). Bayangkan dalam usia 19 tahun pelajar dari kedua-dua program ini, jika cemerlang, layak memasuki program ijazah aliran sains (3 tahun kecuali perubatan 4-5 tahun) atau perundangan (3 tahun) atau perakaunan (4 tahun) dan selepas tamat belajar, bakal memasuki dunia pekerjaan di usia muda, 21-22 tahun.

Diploma pula terbuka kepada semua lepasan SPM dan semua aliran dan jenis persekolahan. Walau bagaimanapun, ia menawarkan tempoh pembelajaran yang panjang iaitu 3 tahun. Hanya selepas tamat atau bergraduat dari diploma, barulah pelajar lepasan diploma boleh mengikuti program ijazah dalam bidang yang mereka minati, sama ada aliran sains/teknikal atau aliran sastera. Ada banyak peluang belajar disediakan dalam kategori diploma oleh itu pelajar boleh merancang kerjaya mereka dari awal lagi. Sebagai contoh, pelajar diploma perakaunan selepas tamat pegajian boleh membuat keputusan sama ada terus sambung belajar atau terus bekerja. Sebaliknya pelajar matrikulasi dan program asasi tidak boleh berhenti belajar kerana dari segi pengiktirafan, sijil matrikulasi dan program asasi itu hanya sah kegunaannya untuk kemasukan ke IPT. Jika mereka memilih untk bekerja sementara waktu atau bagi tempoh yang lama, pelajar-pelajar lepasan matrikulasi dan program asasi sebenarnya hanya memiliki kelayakan SPM. Begitulah bezanya dari segi taraf dan peluang pekerjaan.

Tetapi perlu diingat di sini, pelajar-pelajar yang memohon matrikulasi dan program asasi sememangnya diandaikan akan terus belajar ke peringkat ijazah, dan kerana itulah pihak KPM dan IPTA yang menawarkan program-program laluan pantas ini hanya memilih pelajar cemerlang. Ini kerana dipercayai pelajar sedia cemerlang dalam SPM akan mampu menangani kehidupan dan proses pembelajaran yang ketat dan pelbagai bagi tempoh singkat 2 semester. Juga diyakini individu sebegini sebenarnya mempunyai kesungguhan dan cita-cita diri yang jelas. Tanpa faktor ini, maka ada segolongan kecil pelajar lepasan SPM yang menyesal mengikuti program matrikulasi maupun program asasi kerana didapati lebih ‘demanding’ dan agak sukar menerima perubahan yang mesti dilakukan pelajar. Program diploma pula, walaupun turut dipohon oleh pelajar cemerlang dan pelajar sederhana, proses pembelajarannya telah direncanakan dan dipanjangkan bagi tempoh 3 tahun. Maka pelajar-pelajar diploma ada sedikit ruang ‘bernafas’ dan peluang membetulkan keadaan jika mengalami kegagalan atau kejatuhan prestasi.

Tetapi pembaca blog ini harus sedar bahawa matrikulasi, program asasi dan diploma sememangnya dirancang berdasarkan dasar dan falsafah yang berbeza. Jika anda memilih matrikulasi atau program asasi ketahuilah bahawa jerih payah anda dibalas dengan kepantasan memasuki bidang ijazah dan dunia pekerjaan manakala program diploma, walaupun tidak ‘menyesakkan nafas’ pelajar tetapi dari segi persaingan, akan terlewat masuk ke peringkat ijazah dan seterusnya lambatmemasuki bidang pekerjaan sebagai lepasan ijazah.

Contohnya anggaplah ada 2 orang pelajar, pelajar A dan Pelajar B merupakan lepasan SPM 2007 kini mencari peluang belajar di IPTA. Pelajar A ditawarkan matrikulasi di Kolej Martrikulasi Labuan, pelajar B ditawarkan diploma perakaunan di UiTM Shah Alam. Kedua-duanya adalah pelajar cemerlang dan kedua-duanya berpakat bakal mengikuti program ijazah perakaunan di UUM.

Di usia 18 tahun ini, kedua-duanya memulakan pengembaraan masing-masing tahun 2008 ini.

Pertengahan tahun 2008 – Pelajar A mula belajar di matrikulasi PST manakala Pelajar B mula belajar di peringkat diploma perakaunan di UiTM.

Pertengahan tahun 2009 – Pelajar A tamatkan pengajian matrikulasi dengan CGPA 3.80 dan Julai 2009 mula mengikuti program ijazah perakaunan di UUM di tahun pertama. Pelajar B pula memasuki tahun kedua pengajian diploma.

Pertengahan tahun 2010 – Pelajar A sedang belajar di tahun kedua ijazah perakaunan di UUM. Pelajar B memulakan pembelajaran di tahun ketiga program diploma beliau.

Pertengahan tahun 2011 – Pelajar A sedang belajar di tahun ketiga ijazah perakaunan di UUM. Pelajar B dah tamat diploma dengan CGPA 3.80 juga dan mulai Julai 2011 mulakan pengajian beliau di tahun pertama ijazah perakaunan di UUM. Pelajar A sekarang ini senior 3 tahun berbanding rakannya Pelajar B yang baru menjadi pelajar junior.

Pertengahan tahun 2012 – Pelajar A memulakan pembelajaran di tahun keempat dan terakhir program ijazah perakaunan di UUM. Rakannya pelajar B pula baru memasuk tahun kedua pengajian ijazah perakaunan di UUM juga.

Pertengahan tahun 2013 – Pelajar A telah tamat pengajian dengan CGPA 4.00, menunggu konvokesyen dalam bulan Ogos dan sejak Julai dah bekerja di Ernst & Young sebagai pembantu juruaudit. Pelajar B sedang melanjutkan pelajaran di tahun ketiga ijazah perakaunan di UUM.

Pertengahan tahun 2014 – Pelajar A masih berkerja di Ernst & Young dan kecekapannya menyebabkan beliau telah dinaikkan jawatan dan tangga gaji yang lebih lumayan. Pelajar B mula belaja di tahun keempat, tahun terakhir ijazah perakaunan di UUM.

Pertengahan tahun 2015 – Pelajar A masih bekerja di E&Y dan memasuki tahun ketiga bertugas untuk melengkapkan syarat menjadi akauntan bertauliah*. Pelajar B tamat pengajian degan CGPA 4.00 dan sedang menunggu konvokesyen di bulan Ogos 2015. Mula bekerja di Price Waterhouse sejak Julai 2014 dan bakal mencipta kerjaya sebagai akauntan bertauliah juga.
* Syarat untuk mejadi akauntan bertauliah ialah pengalaman 3 tahun bekerja minimum dalam bidang perakaunan yang diiktiraf. Juruaudit adalah salah satu darinya.

Dan begitulah seterusnya. Dengan andaian persaingan yang sihat, dan tiada masalah yang menghalang kedua-dua mereka menangguhkan pembelajaran dan mencari pekerjaan. Sifu berharap, dari penerangan dan contoh yang sifu berikan dapat memberi sedikit gambaran kepada pelajar untuk membuat keputusan mana satukah laluan yang lebih sesuai kepada dirinya. Setiap keputusan itu bakal mempengaruhi peluang dan kejayaan anda di masa hadapan.
Tambahan : Jika pelajar B sambung belajar ke peringkat ijazah di UiTM, sebagai pemegang diploma UiTM, beliau layak mendapat pengecualian jam kredit, dan tempoh masa belajar boleh disingkatkan kepada 3 tahun (6 sem) atau 3 1/2 tahun (7 sem), tertakluk kepada syarat UiTM. Sebaliknya jika sambung belajar ke IPTA lain, pelajar B terpaksa mengharungi pembelajaran genap 8 sem (4 tahun).

 

Sumber: http://sifu2b.wordpress.com/

 

12 February 2009

Pelajar cemerlang matrikulasi dihantar ke AS, Australia

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

BAHAGIAN Matrikulasi, Kementerian Pelajaran merancang meluaskan kerjasama dengan universiti terkemuka di Amerika Syarikat dan Australia untuk menghantar pelajar cemerlang di bawah Program Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi, pada masa depan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata usaha itu sejajar perancangan memperluaskan pelaksanaan program berkenaan yang sebelum ini tertumpu di lima universiti berprestij di United Kingdom.

Katanya, rancangan itu membolehkan lulusan matrikulasi meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan di universiti negara terbabit yang menawarkan program pengajian berkualiti.

“Kita mengenal pasti beberapa universiti di Amerika Syarikat, malah sudah mengadakan perbincangan dengan mereka, antaranya University of California, Los Angeles; University of California, Berkeley; University of Southern California dan Stanford University.

“Di Australia pula University of Adelaide, University of Melbourne, Monash University, Australian National University, University of Sydney dan University of New South Wales.

“Pelaksanaan kerjasama ini sejajar agenda pengantarabangsaan program matrikulasi yang menjadi antara fokus utama bahagian ini menerusi Pelan Strategik Jangka Panjang,” katanya kepada Berita Harian.

Ketika ini katanya, lulusan cemerlang skim berkenaan dihantar di University of Surrey, University of Nottingham, University of Birmingham, University of Manchester dan King's College, University of London di United Kingdom.

Beliau berkata, lulusan terbabit akan mengikuti pengajian peringkat ijazah selama empat tahun di universiti terbabit termasuk Kursus Post Graduate Certificate of Education pada tahun akhir pengajian.

Menerusi kerjasama dimeterai sejak 2006, katanya, universiti terbabit akan memberi keistimewaan kemasukan terus kepada lulusan cemerlang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

“Tahun ini, kita akan menghantar 50 lagi pelajar melanjutkan pengajian dalam empat bidang pengkhususan iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Tiada penambahan dari segi jumlah pelajar, ia sama seperti tahun lalu setelah mengambil kira masalah ekonomi global masa kini,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2006, katanya, Kementerian Pelajaran telah menghantar 90 lulusan iaitu 50 pada 2008, 22 (2007) dan 18 (2006).

Menyentuh mengenai pencapaian penuntut program itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap prestasi akademik pelajar terbabit.

“Berdasarkan lawatan dilakukan Bahagian Matrikulasi dan pihak pengurusan universiti terbabit, pelajar yang dihantar berjaya membuktikan pencapaian tinggi.

“Buktinya, empat pelajar yang mengikuti pengajian bidang Fizik di University of Surrey menduduki empat daripada lima tempat teratas dalam peperiksaan akhir semester. Itu cukup membanggakan kita,” katanya.


Sumber: Berita Harian 12.02.2009

 

 

28 January 2009

27,500 tempat untuk lulusan SPM ikuti program matrikulasi

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my



SEJUMLAH 27,500 tempat ditawarkan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kemasukan Program Matrikulasi, Kementerian Pelajaran sesi akademik 2009/2010, meningkat 1,500 pelajar berbanding tahun lalu.

Jumlah itu termasuk kira-kira 600 kumpulan pertama akan ditawarkan memasuki tiga Kolej Matrikulasi baru di Pendang, Kedah; Jengka, Pahang dan Pontian, Johor yang masing-masing mampu menampung pengambilan 200 pelajar.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata pembukaan kolej baru itu selaras peningkatan permohonan setiap tahun di Kolej Matrikulasi yang dikenal pasti antara pilihan utama lulusan cemerlang SPM untuk melanjutkan pelajaran.

“Kolej baru itu akan menawarkan jurusan kejuruteraan atau teknikal dengan syarat kelayakan minimum ditetapkan ialah pencapaian 6C dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Kimia, Fizik, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Awam/Mekanikal/Elektrik atau 4B Teknikal Kejuruteraan, selain 4B Matematik Tambahan.

“Bagi program jurusan sains dan perakaunan, tiada perubahan syarat dikenakan, bagaimanapun pemilihan pelajar tetap kompetitif berdasarkan sistem merit keputusan SPM masing-masing, sekali gus menentukan kelayakan calon sama ada memasuki Program Satu Tahun (PST) atau Program Dua Tahun (PDT),” katanya kepada Berita Harian.

Syarat sedia ada, katanya, menetapkan lulusan SPM yang ingin mengikuti program matrikulasi jurusan Sains, mestilah memperoleh sekurang-kurangnya 6C dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik atau Kimia, selain 4B Matematik.

“Bagi jurusan Perakaunan pula, syarat minimumnya ialah memperoleh 6C dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik serta mana-mana dua subjek Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Sains, Sains Tambahan, Fizik,

Kimia, Biologi, Pengajian Kejuruteraan Awam/Mekanikal/Elektrik dan Elektronik/Teknologi Kejuruteraan/Lukisan Kejuruteraan, selain 7D Matematik Tambahan,” katanya.

Bagi pelajar yang ditawarkan PST, katanya, mereka dibenarkan membuat pilihan memasuki PDT sekiranya mahu sebelum sesi pengajiannya bermula.

Bagaimanapun katanya, mereka perlu terlebih dulu mendaftarkan diri bagi mengikuti PST. Sebaliknya, calon yang memperoleh tawaran memasuki PDT tidak boleh bertukar kepada program setahun.

“Selain tiga kolej matrikulasi baru, pelajar terpilih akan ditempatkan di sembilan Kolej Matrikulasi iaitu di Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Johor, Perak, Kedah dan Pahang serta Kolej Mara Kulim dan Kolej Mara Kuala Nerang, di Kedah.

“Semua kolej menawarkan PST dan PDT kecuali Kolej Matrikulasi Perlis, dua Kolej Mara yang hanya mengendalikan PST,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, pembinaan Kolej Matrikulasi Selangor kini mencapai tahap 40 peratus dan dijangka siap menjelang 2010 dengan keupayaan menampung kapasiti 3,000 pelajar.

Bagi Kolej Matrikulasi di Kelantan dan Terengganu, beliau menjelaskan, proses reka bentuk sudah pun siap namun kos bagi pembinaannya masih lagi dalam proses rundingan.


Sumber: Berita Harian 23.1.2009

09 December 2008

Pelajar matrikulasi terus cemerlang

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

PENCAPAIAN pelajar Program Matrikulasi Satu Tahun Kementerian Pelajaran terus cemerlang apabila memperoleh 94.7 peratus, meningkat 0.8 berbanding 93.9 pada semester sebelumnya, daripada keseluruhan 21,877 calon yang menduduki peperiksaan semester satu 2008/2009.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata 898 calon atau 4.1 peratus memperoleh status lulus bersyarat apabila mendapat purata nilai gred semester (PNGS) antara 1.50 hingga 1.99, manakala 265 atau 1.2 peratus lagi gagal dengan PNGS kurang 1.50.

Katanya, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang mendahului kolej lain apabila 11.38 peratus calonnya memperoleh keputusan cemerlang PNGS 4.00, diikuti Kolej Matrikulasi Kedah (10.51 peratus) dan Kolej Matrikulasi Johor (10.12 peratus).

“Dari segi pencapaian mengikut jurusan, calon jurusan Sains Fizikal cemerlang dengan kelulusan 94.8 peratus, manakala Sains Hayat, 92.6 peratus dan Perakaunan, 92.8 peratus.

“Selain itu, empat mata pelajaran berjaya mencatat peningkatan dari segi peratus calon lulus keseluruhan iaitu Pengurusan Perniagaan, Biologi, Fizik dan Kimia.

“Sejumlah 95.7 peratus calon lulus dalam mata pelajaran Pengurusan Perniagaan berbanding 93.5 peratus pada semester sebelumnya, Fizik 99.6 peratus (99.5 peratus), Biologi 93.5 peratus (88.9 peratus) dan Kimia 95 peratus (94.1 peratus),” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penguasaan bahasa Inggeris kalangan pelajar juga membanggakan apabila tujuh Kolej Matrikulasi mencatat kelulusan 100 peratus dalam subjek itu.

Kolej terbabit ialah Kolej Matrikulasi Melaka, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Kolej Matrikulasi Pahang, Kolej Matrikulasi Johor, Kolej Mara Kuala Nerang dan Kolej Mara Kulim.

Sambil menyifatkan pencapaian keseluruhan pelajar amat membanggakan, beliau turut berterima kasih kepada pihak kolej yang berjaya meningkatkan prestasi kecemerlangan pelajar masing-masing.

Pencapaian itu katanya, hasil kerjasama semua pihak terhadap pelaksanaan program intervensi yang sesuai dan berkesan di setiap kolej.


Sumber: Berita Harian, Disember 2008

04 December 2008

Matrikulasi teknikal

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my



Tiga sekolah menengah teknik dipilih untuk dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi tahun depan

TIGA sekolah menengah teknik (SMT) akan dinaik taraf sebagai Kolej Matrikulasi yang menawarkan aliran pengajian teknikal khusus untuk lepasan sekolah terbabit, tahun depan.

Sekolah itu ialah SMT Pendang, Kedah; SMT Pontian, Johor dan SMT Jengka, Pahang dipilih hasil lawatan serta tinjauan Bahagian Matrikulasi, dan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran ke sekolah itu, baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata pemilihan itu mengambil kira pelbagai aspek berkaitan lokasi, prasarana dan persekitaran yang membolehkannya beroperasi sebagai kolej matrikulasi.

Katanya, proses menaik taraf SMT terbabit akan dilaksanakan secara berperingkat biarpun peruntukan bagi tujuan itu belum jelas sebagai persediaan awal menerima pelajar kumpulan pertama bulan Mei, tahun depan.

“Jumlah pelajar yang akan diambil bagi memasuki kolej itu bagaimanapun belum diputuskan namun kita menjangkakan pengambilan akan dibuat dalam jumlah sederhana.

“Dari segi syarat dan polisi kemasukan, ia sama seperti program matrikulasi sedia ada, namun kita ubah suai dengan memberi kelonggaran lulusan SMT tetapi tetap kompetitif kerana sistem merit diguna pakai bagi memilih pelajar yang layak,” katanya kepada Berita Harian, di Putrajaya.

Sambil menjelaskan banyak perubahan perlu dilaksanakan termasuk mewujudkan budaya dan persekitaran kolej matrikulasi yang berkonsepkan ala universiti di SMT terbabit, Zainal Abidin berkata, satu pasukan petugas khas dianggotai pegawai Bahagian Matrikulasi diwujudkan bagi melancarkan penubuhannya.

“Dari segi rangka kurikulum, kita berjaya mendapatkan maklum balas daripada Jemaah Dekan Kejuruteraan Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membangunkan program komprehensif serta memenuhi keperluan IPTA di negara ini.

“Kurikulum dibangun bagi memberi pendedahan asas kukuh kepada pelajar aliran teknikal ke arah menjadi tenaga pakar dan profesional dalam bidang kejuruteraan serta perdagangan,” katanya.

Beliau menjelaskan, cadangan penubuhan kolej itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Akademik yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang pada 2 Julai lalu.

Keputusan itu katanya, sejajar strategi memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional yang dibentangkan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Datuk Yusoff Harun kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 25 Julai lalu.

Seterusnya, ia dipersetujui Mesyuarat Profesional Kementerian Pelajaran yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

“Pelaksanaan usaha ini dilihat sebagai laluan kepada lulusan cemerlang SMT melanjutkan pelajaran kerana sebelum ini mereka sukar mendapat tempat berikutan saingan sekolah lain seperti sekolah berasrama penuh.

“Malah pihak IPTA mengalu-alukan pelaksanaan ini yang turut memberi peluang kepada mereka mendapatkan pelajar berkelayakan bagi melanjutkan pengajian peringkat tinggi dalam bidang berteraskan kejuruteraan atau teknikal di universiti masing-masing,” katanya.


Sumber: Berita Harian 4 Disember 2008

04 November 2008

Pengekalan program matrikulasi di IPTA tak wajar dipertikai

HAKIKAT bahawa program matrikulasi mampu merapatkan jurang antara pelajar Bumiputera dengan bukan Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), terutama dalam bidang kritikal seharusnya diterima oleh semua pihak. Justeru, usaha mengekalkan program itu yang dilaksanakan di universiti sejak 1970-an sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran pada 1998 adalah wajar dan tidak harus dipertikaikan. Malah, kerajaan perlu terus memantau dan memastikan program itu berada pada tahap terbaik, dari segi pengurusan dan kurikulumnya supaya sentiasa relevan bagi memenuhi keperluan semasa. Pewujudan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan secara berpusat bagi menggantikan program matrikulasi yang dikendalikan universiti tempatan, ternyata memberi impak dan perubahan amat ketara dalam sistem pendidikan negara.

Setiap tahun, seramai 24,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang mengikuti program pengajian prauniversiti itu di sembilan Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua lagi Kolej Matrikulasi Mara. Kira-kira 85 peratus pelajar mengikuti jurusan sains dan selebihnya perakaunan. Daripada jumlah calon yang diambil, 22,000 pelajar mengikuti pengajian setahun dan selebihnya dua tahun, berdasarkan merit keputusan SPM mereka. Bagaimanapun, pelajar yang mengikuti pengajian dua tahun didedahkan kepada pengukuhan akademik dan pembangunan potensi mereka sebagai persediaan mengikuti pengajian lebih intensif pada tahun kedua. Hakikatnya, kerajaan tidak mengetepikan peluang pelajar bukan Bumiputera memasuki kolej itu kerana 10 peratus tempat dikhaskan untuk mereka.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga dan sempena pelancaran sambutan satu dekad program matrikulasi Kementerian Pelajaran, di Pekan, kelmarin, kemasukan pelajar dalam program matrikulasi yang menggunakan kaedah meritokrasi mampu menambah bilangan siswazah Bumiputera dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, seni bina, perakaunan dan pengurusan. Sebelum program itu diperkenalkan, ramai pelajar Bumiputera yang cemerlang pada peringkat SPM tersekat pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang lulusannya didominasi pelajar bukan Bumiputera. Program itu bukan saja menyelamatkan pelajar Bumiputera yang pintar, malah ia sejajar dengan usaha kerajaan menambah bilangan graduan Bumiputera dalam bidang profesional. Kita mahu kemudahan di kolej matrikulasi perlu sentiasa ditingkatkan, manakala tenaga pengajarnya diberi latihan profesional berterusan supaya berkemahiran tinggi dalam ilmu pengetahuan dan pedagogi. Kita tidak mahu pelajar Bumiputera lepasan kolej matrikulasi yang mengikuti pengajian kritikal di IPTA gagal bersaing dengan pelajar bukan Bumiputera. Usaha berterusan perlu dibuat untuk menyediakan pelajar Bumiputera berilmu pengetahuan dan berketrampilan serta mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji dan daya kepemimpinan yang tinggi.


Sumber: Berita Harian 3.11.2008

03 November 2008

Anak peneroka diutamakan ke kolej matrikulasi

KUALA TERENGGANU 2 Nov. - Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada pelajar luar bandar dan anak-anak peneroka untuk kemasukan ke kolej-kolej matrikulasi di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismai berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi jurang pendidikan di kalangan pelajar kawasan bandar dan luar bandar.

Menurut beliau, kementerian mendapat kerjasama yang baik daripada Felda bagi memastikan anak- anak peneroka yang berkelayakan diberi tempat dalam kolej tersebut untuk menyambung pelajaran mereka.

''Kementerian menyasarkan seramai 40,000 pelajar kolej matrikulasi menjelang tahun 2010,'' katanya selepas menyampaikan ceramah motivasi kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Khairiah di sini hari ini.

Katanya, pelajar-pelajar itu merupakan bakal tenaga mahir yang akan memberi daya saing dalam bidang profesional terutama perubatan, farmasi dan kejuruteraan.

Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memberitahu, bagi menampung kemasukan pelajar terbabit, tiga buah kolej matrikulasi baru akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut beliau, setakat ini terdapat sembilan Kolej Matrikulasi di seluruh negara yang menampung hampir 24,000 pelajar.

Beliau menambah, bagi memantapkan pengajian dan pembelajaran, Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran setakat ini telah menghantar 90 tenaga akademiknya ke luar negara terutama ke United Kingdom bagi mengikuti latihan dan kursus dalam bidang sains serta teknologi.

Selain itu katanya, kementerian juga menghantar pelajar ke negara sama untuk mengikuti kursus pengajaran iaitu membabitkan 18 pelajar sesi 2005/2006, sesi 2006/2007 (12 orang) dan sesi 2007/2008 (50 orang).

''Kesemua pelajar ini akan diserapkan sebagai tenaga pengajar atau pensyarah di Kolej Matrikulasi seluruh negara setelah tamat mengikuti kursus tersebut,'' ujar beliau.

Timbalan Menteri itu berkata, kementerian turut mengadakan kerjasama dengan Felda melalui Program Tuisyen Sains dan Matematik yang dimulakan di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan SPM.

Menurutnya, sehingga kini kira-kira 60,000 anak peneroka telah mendapat kemudahan tersebut dan prestasi yang ditunjukkan oleh pusat tuisyen itu amat memberangsangkan.

''Felda telah membelanjakan kira-kira RM20 juta untuk memastikan anak-anak peneroka terus mendapat pendidikan yang terbaik,'' ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 3/11/2008

Pertahan matrikulasi langkah bijak

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Keputusan kerajaan untuk tidak memansuhkan program matrikulasi merupakan satu langkah bijak dalam memastikan modal insan negara dapat diseimbangi secara berterusan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah berkata, kebaikan daripada keputusan itu juga bersifat menyeluruh iaitu meliputi kecemerlangan akademik dan sosial di kalangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Menurutnya, ia selaras dengan kehendak kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan apabila tiada halangan untuk mereka mengembangkan lagi kegiatan kemasyarakatan di kolej matrikulasi.

''Saya sokong keputusan kerajaan kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada tindakan tersebut terutama bilangan pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan peningkatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan program matrikulasi kerana berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad berkata, berita itu amat menggembirakan semua pihak kerana keprihatinan kerajaan dalam memastikan lebih ramai golongan berpendidikan di negara ini.

Katanya, ini terutama dalam memastikan bilangan kolej matrikulasi bertambah dan penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan pelajar mendapat keselesaan semasa proses pembelajaran.

''Kita sangat gembira dengan keputusan kerajaan ini terutama mengenai pembinaan tiga lagi kolej matrikulasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," ujarnya.

Pendapat itu turut disokong oleh Koordinator Gerakan Mahasiswa Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Zulzaidi Mahmood yang menyifatkan kerajaan sentiasa menambah baik program matrikulasi agar setanding luar negara.

Beliau berkata, program yang sudah dilaksanakan lebih 30 tahun itu hampir tiada bezanya dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia diurus secara profesional dan ditadbir oleh kerajaan.

''Kita juga berharap pelajar lepasan kolej matrikulasi yang memasuki IPT dapat memberi sumbangan kepada negara sebagai membalas jasa kerajaan," ujarnya.


Sumber: Utusan Malaysia 3/11/2008

All the posts