Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

30 June 2008

26,000 tempat ikuti matrikulasi

Oleh Khairina Yasin

Permohonan boleh disemak mulai 16 April 2008 menerusi web www.moe.edu.my, SMS

SEJUMLAH 26,000 tempat ditawarkan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 bagi mengikuti program Matrikulasi, Kementerian Pelajaran dengan 80 peratus jurusan Sains dan bakinya Perakaunan bagi sesi akademik 2008/2009.

Jumlah itu meningkat kira-kira 2,000 atau 8.3 peratus berbanding 24,000 tempat disediakan bagi kemasukan sebelumnya.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata daripada keseluruhan tempat disediakan, 23,000 akan mengikuti Program Matrikulasi Satu Tahun (PST), manakala baki 3,000 lagi Program Matrikulasi Dua Tahun (PDT).

Katanya, pelajar terpilih akan ditempatkan di sembilan Kolej Matrikulasi di Melaka, Wilayah Persekutuan Labuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis, Johor, Perak, Kedah dan Pahang serta Kolej Mara Kulim dan Kolej Mara Kuala Nerang, di Kedah.

“Semua kolej terbabit menawarkan program PST dan PDT kecuali Kolej Matrikulasi Perlis serta dua Kolej Mara yang hanya menawarkan PST.

“Calon boleh menyemak permohonan masing-masing mulai 16 April ini menerusi laman web www. moe.edu.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan angka giliran SPM,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.

Zainal Abidin, berkata semakan menerusi SMS boleh juga dibuat dengan menaip perkataan MAT jarak nombor kad pengenalan dan hantar ke talian 33778 atau menghubungi 03-88844100 juga bermula 16 April ini dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

Calon PST yang berjaya katanya, akan mula mendaftar di Kolej Matrikulasi ditetapkan seluruh negara pada 12 Mei depan.

Sambil menjelaskan tiada sebarang perubahan dari segi syarat kelayakan minimum program terbabit, beliau berkata, pemilihan calon dibuat berdasarkan merit keputusan SPM masing-masing, sekali gus menentukan kelayakan calon sama ada memasuki PST atau PDT.

“Bagi pelajar yang ditawarkan PST, mereka dibenarkan membuat pilihan memasuki PDT sekiranya mahu sebelum sesi pengajiannya bermula.

“Bagaimanapun mereka perlu terlebih dulu mendaftarkan diri bagi mengikuti PST. Sebaliknya, calon yang memperoleh tawaran memasuki PDT tidak boleh bertukar kepada program setahun,” katanya.

Syarat sedia ada, katanya, menetapkan lulusan SPM yang ingin mengikuti program matrikulasi jurusan Sains, mestilah memperoleh sekurang-kurangnya 6C dalam Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Matematik Tambahan, Kimia, Fizik atau Kimia, selain 4B Matematik.

“Bagi jurusan Perakaunan pula, syarat minimumnya ialah memperoleh 6C dalam BM, BI, Matematik serta mana-mana dua mata pelajaran Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Sains, Sains Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Pengajian Kejuruteraan Awam/Mekanikal/Elektrik dan Elektronik/Teknologi Kejuruteraan/Lukisan Kejuruteraan, selain 7D Matematik Tambahan,” katanya.

Mengenai kurikulum, Zainal Abdin berkata, ia memberi penekanan seimbang antara akademik dan kokurikulum bagi menyediakan pelajar berilmu dan berketrampilan serta mempunyai kualiti diri khususnya daya kepemimpinan tinggi.

“Buktinya jelas apabila ramai lulusan program ini berjaya melanjutkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara setiap tahun,” katanya.


Sumber: Berita Harian 2/4/2008

03:35 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)

1 2 3 4 5 6 7 8 Next