12 August 2008
Kugenggam Maruah Bangsa
Kugenggam Maruah Bangsa
Bangsa ini adalah bangsaku
Tanah ini adalah tanah airku
Negeri ini adalah negeri kelahiranku
Inilah aku
Lahir sebagai anak bangsaku
Saat bangsaku dijatuhkan
Saat bangsaku dicemari
Saat bangsaku menjerit kesakitan
Diserang dari kiri dan kanan
Dirobek bagai mangsa keadaan
Haruskah aku melihat tanpa bicara?
Atau berdiam seribu bahasa?
Pahit manis yang aku lalui
Tersimpan seribu keindahan
Kerana sememangnya aku dilahirkan
Sebagai anak bangsaku
Begitulah orang lain
Mereka juga lahir sebagai anak bangsa mereka
Yang punya maruah di sisi mereka
Maka aku menyedari
Setiap bangsa ada ketinggiannya tersendiri
Maka aku tidak menyesal
Dan tidak memandang rendah bangsa-bangsa lain
pokoknya kita semua manusia yang diciptakan…
Di penghujung sebuah perjalanan
saat daun-daun berguguran
jiwaku tersentuh mengenangkan
tiap yang diciptakan ada pengakhiran
tiap yang hidup pasti merasai mati…
daun yang hari ini kelihatan hijau
belum pasti besok ia akan subur lagi
mungkin gugur diterbangkan angin lalu dibawa pergi
aku yang hidup pada hari ini
belum tentu akan terus menghirup udara pagi esok
atau aku mungkin berpindah dari dunia ini…
tapi aku pun tidak pasti
di manakah penghujung sebuah perjalanan ini
soalnya, bila perjalanan ini harus terhenti di sini,
sudahkah bekalan aku mencukupi?
aku terfikir sendiri…
sebuah penghujung yang menandakan sebuah permulaan
Kerana Kau Guruku
Bicaramu terkandung hikmah
Kasihmu dibaluti keikhlasan
Marahmu tidak dicemari kebencian
Sayangmu tiada kepura-puraan
Sinar matamu tenang berkaca-kaca
Sumber inspirasi buat jiwa
Kerana kau guruku
Kau tidak seperti lilin yang terbakar dan hilang
Kau matahari yang bersinar dan terang
Cahayamu tak pudar di siang hari
Tidak pula tenggelam di malam hari
Kehangatannya terasa di jiwaku
Kerana kau guruku
Dicampak ke laut menjadi pulau
Dilempar ke tanah menjadi benih
Begitulah aku hari ini
Dan namamu terpahat di hati
Kerana kau guruku
Biar semalam tiada lagi
Atau besok belum pasti
Dirimu tidak pernah pudar dari ingatan
Kerana kau guruku
Khas Buat: Guru Ummat, Nabi Muhammad SAW. Guru keluargaku, Ibu dan ayah. Semua guru yang pernah mendidikku dan semua guru yang ikhlas dalam mendidik
Ketenangan Yang Mengisi Jiwaku
Hatiku terasa resah
Di dalam dunia yang penuh fitnah
Melihat umat yang makin parah
Di sana sini terpecah-pecah
Hatiku terasa gelisah
Kerana dunia dan seisinya
Mengaburi mata yang penuh noda
Mangaburi hati menambah derita
Dunia ini mencengkam dadaku
Mengalahkan iman memenangkan nafsu
Menghiasi segenap ruangan hati
Dengan keindahan palsu yang pasti lenyap
Aku tersentak lalu terdongak
Melihat luasnya langit
Menjangkau tingginya awan
Menyelami dalamnya lautan
Lalu…aku terpaku pada luasnya ciptaan-Nya
Dan sempitnya dunia yang menempati hatiku
Lantas kulenyapkan hasrat pada keindahan palsu
Mengharapkan wajah-Nya yang kekal abadi
Jiwaku tak lagi sempit
Hatiku terasa lapang…
Dan penuh ketenangan
Semalam Yang Hilang
Hari ini aku terjaga dari lenaku
sekali lagi aku bernafas dalam sedar
bernyawa dalam dunia nyata
aku bersyukur kerananya
bersyukur pada-Nya
hidup kerana-Nya
semalam tiada lagi bagiku
ia pergi buat selama-lamanya
tak mungkin kembali lagi
semalam meninggalkan aku
membiarkan aku terus hidup
pada hari ini
dan mungkin hari esok
semalam…
apa jua yang aku kesali
apa jua yang aku nikmati
apa jua yang aku inginkan
semalam takkan pernah kembali
ia akan semakin menjauh
dan pergi…
buat selama-lamanya
aku harus terus hidup pada hari ini
untuk hari esok yang lebih bererti
Aku Terleka Lagi
aku terleka lagi
setelah semalam aku bertaubat
dan merintih kepada Tuhan
hari ini aku terleka lagi
bersama dunia yang menggoda diri
aku terleka lagi
setelah semalam kutinggalkan maksiat
dan berikrar untuk berubah
bersama iman yang kuat membaja
hari ini aku terleka lagi
sekarang aku tersedar
dan kembali mengadapkan wajahku
dalam mencari redha-Nya
dan memohon ampunan-Nya
serta mengharap teguhnya hati
kerana mungkin besok….
aku terleka lagi
bodohnya aku
lemahnya diriku
jika bukan kerana hidayah-Mu
pasti aku terleka berkali-kali
Tuhan…
jangan biarkan aku terus terleka…
begini….
Ikhlas yang semakin pudar
Hari ini aku dengan bersemangat
menyusun langkah dakwah
mengimpikan kemenangan Islam
dengan segala kemampuan yang aku ada
aku berusaha menggunakan segenap sarana
namun
tak mudah untuk istiqamah
bukan pendek jalan yang dilalui
dan tak semudah yang disangka
dalam perjalanan itu
aku dilontarkan puji-pujian yang banyak
sehingga pudar sudah keikhlasan yang pernah aku rasakan
aku dapat merasakan pudarnya ia
tatkala semangatku kerana manusia
dan lemahku juga kerana manusia
tidak,
aku tidak mahu tunduk lagi
pada keinginan diri yang memaksa
biar aku terus berjuang
mempertahankan keikhlasan dalam hati
hanya kerana-Nya
Sumber: Zulyunus
16:48 Posted in PELBAGAI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.