Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

16 May 2007

Guru penyuluh ilmu, pencetus hidayah

Oleh Dr Juanda Jaya
juanda72@hotmail.com

PELAJAR mampu mencapai kejayaan dan bangkit daripada kemalasan kerana menyahut seruan guru. - Gambar hiasan

Profesyen paling mulia kerana melalui bimbingan ustaz, ustazah umat mengenal agama

SETINGGI penghormatan sememangnya layak dikurniakan kepada insan mulia yang berjasa membuka pintu hidayah untuk kita. Insan pertama membacakan ayat Allah dengan harapan sucilah hati kita, teranglah akal dan lapanglah dada.

Walaupun guru hanyalah manusia biasa yang tidak lepas daripada salah silap, bukan bermakna kita boleh menutup mata daripada kemuliaan dan jasanya. Ingatkah lagi ketika kita mendengar khabar menggembirakan mengenai Maha Pengasih dan Penyayang Allah.

Atau kisah sirah keluhuran akhlak Rasulullah SAW yang mengharukan, mengenai pencarian syurga yang melelahkan dan kengerian neraka menggerunkan. Semua itu pernah kita dengar daripada lisan mulia guru kita.

Bukankah air mata tidak sedikit yang berguguran saat mendengar peringatannya? Hati menjadi sayu ketika cahaya hidayah itu cuba menyelinap masuk melalui ayat Allah yang dibacakannya. Dada terasa lapang menerima kebenaran dituturkan indah menerusi dalil dan nas sahih pilihannya.

Merekalah mewarisi harta pusaka Nabi dan Rasul sejak zaman berzaman. Alangkah beruntung dan bersyukur kita yang menadah tangan di bawah pancaran mata air hidayah itu. Menyusuri jalan mendaki selangkah demi selangkah mengenal Allah seraya mengharap kasih-Nya.

Mendekati keharuman peribadi Rasulullah SAW melalui paparan sirahnya, maka dengan ilmu datanglah hidayah untuk kita menerima Islam dan iman. Jika bukan kerana insan dipanggil ustaz atau ustazah, apa jadi dengan diri kita tanpa bimbingan mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, mereka itulah orang yang beruntung." (Surah Ali-Imran, ayat 104).

Profesyen guru, murabbi dan pendakwah diiktiraf sebagai profesyen paling mulia di muka bumi ini kerana maruah agama bergantung kepada mereka yang berjuang dalam medan dakwah. Mereka adalah jantung hati umat yang didoakan malaikat, tidak terkecuali makhluk Allah di daratan dan lautan sentiasa mengucap salam dan doa selamat kepada seorang guru, murabbi dan pendakwah yang amanah dengan ilmunya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah Taala, malaikat-Nya, penghuni langit dan bumi hatta semut di sarangnya dan ikan di lautan berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)

Melalui lisan guru, murabbi dan pendakwah yang fasih lagi jujur, seorang ahli maksiat menemui jalan taubat, mencampakkan kejahatannya daripada seluruh anggota badan dengan azam menjadi insan bersih, seorang pencinta dunia mematikan hawa nafsunya kepada harta yang haram dan berlumba memperbanyak sedekah kerana takutkan akhirat.

Seorang pelajar bangkit daripada kemalasan, melompat setinggi-tingginya mencapai darjat ilmu dan kemuliaan akhlak kemudian tunduk serendah-rendahnya seraya mengamalkan apa didengar melalui lisan guru dan murabbi.

Alangkah mulia pengiktirafan kepada seorang guru yang memiliki kefasihan dan kejujuran lisan melalui firman Allah Taala yang bermaksud: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: Sesungguhnya Aku termasuk orang yang menyerah diri?" (Surah Fushsilat, ayat 33)

Walaupun hidayah itu milik Allah dan hanya Dialah berhak memberi kepada siapa dikehendaki-Nya tetapi melalui hamba yang menyampaikan, berdakwah dan menegakkan amar makruf nahi mungkar, hidayah itu datang ke dalam jiwa insan.

Tiada ganjaran lebih menguntungkan selain menolong agama Allah, mengajak manusia kepada kebenaran dan mengajak mereka ke jalan-Nya. Untuk itu, setiap jerih payah seorang yang mengajarkan kebaikan adalah sama pahalanya seperti orang mengamalkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa menyeru kepada hidayah, mereka memperoleh pahala orang yang mengikutinya, tidak mengurangi pahala orang itu sedikitpun." (Hadis riwayat Muslim).

Namun begitu, di sebalik janji dan ganjaran Allah yang melimpah, pujian dan penghormatan menggunung tinggi kepada semua da'i dan guru, sememangnya ujian pasti datang cuba menjejaskan keikhlasan mereka berjuang.

Betapa ramai yang gugur di medan angkara hasad dengki manusia yang tidak sudi. Perjalanan da'i dicemburui kerana ramai pengikut dan pembela sejati. Tidak segan mereka memfitnah ulama sebagai pembawa ajaran sesat, penyeleweng dan berkomplot menjatuhkan orang yang berkuasa.

Permainan dunia sekali lagi menjejaskan perjuangan meninggikan agama Allah. Setiap kurun ia berlaku, dari semasa ke semasa dengan isu sama, mencari dalil dan nas untuk sesat menyesatkan orang yang tidak sefahaman.

Padahal, dalil yang terang lagi bersuluh sentiasa dibaca, seperti seruan Allah supaya umat ini bersatu hati memperkuat barisan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara dan kamu sudah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya.

"Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, supaya kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan jelas kepada mereka. Mereka itulah orang yang mendapat seksa yang berat." (Surah Ali-Imran, ayat 103-105).

Demikian pula kebencian terpancar dari wajah Rasulullah SAW apabila mendengar isu membangkitkan perpecahan yang boleh melemahkan umat Islam.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud, beliau berkata: "Aku mendengar seorang lelaki membaca 10 ayat tetapi qiraat orang itu berbeza daripada qiraat yang pernah aku dengar daripada Rasulullah SAW. Lalu aku khabarkan hal itu kepada Baginda SAW. Maka aku melihat kebencian pada wajah Baginda seraya bersabda: Keduanya adalah baik. Janganlah kalian berselisih."

Malangnya, ujian bagi ulama sememangnya berat seperti beratnya pahala mereka yang melimpah. Senang mendapat untung senang pula mendapat rugi bahkan mungkin muflis habis. Hanya hidayah Allah mampu menyelamatkan manusia daripada ditipu ilmunya sendiri.


Utusan Malaysia 2/12/2009

03:11 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)

The comments are closed.