19 September 2007
Keseimbangan Menuju Kesempurnaan
PERIHAL PENTINGNYA KESEIMBANGAN
Tidak dapat dinafikan, kita selalu menginginkan kesempurnaan. Dalam mengejar kesempurnaan ini, jangan pula dilupakan mengenai keseimbangan yang sama sekali tidak dapat diasingkan daripadanya. Jika tidak, kita sama sahaja seperti mencapai kesempurnaan yang cacat.
Dalam erti kata lain, keseimbangan ini juga berkaitan secara langsung dengan keadilan. Kita tidak berlaku adil jika kita tidak menjaga keseimbangan. Dalam menyediakan secawan teh juga memerlukan keadilan. Ini tidak bermaksud kita harus memasukkan secawan air, secawan susu, secawan teh dan secawan gula. Tetapi kita memasukkan elemen tertentu mengikut keperluan dan cirinya yang tersendiri. Nah, inilah yang dikatakan seimbang. Konsep ini harus jelas bagi kita supaya nanti kita tidak mempersoalkan sesuatu kerana kita melihat pembahagian yang tidak sama. Adil atau seimbang lebih tepat digambarkan sebagai meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Makanya, kita tidak dapat menafikan bahawa elemen keseimbangan ini sangat penting dan mempengaruhi kehidupan kita secara keseluruhannya.
Dalam pembicaraan sains juga banyak menyentuh aspek keseimbangan. Tentu kita sering mendengar berkenaan keseimbangan terma, keseimbangan daya, keseimbangan persamaan kimia, keseimbangan hormon dalam badan manusia, keseimbangan ekosistem, keseimbangan gizi pemakanan, keseimbangan cecair dalam badan dan sebagainya.
Pokok pembicaraannya, keseimbangan merupakan pra syarat untuk kita menuju kesempurnaan yang menyeluruh.
Wah, jika begitu besar impaknya kepada kita, maka apakah pula aspek yang perlu diseimbangkan dalam kerangka besar kehidupan kita? Keseimbangan yang bagaimana yang harus kita usahakan? Dan apakah kesan ketidakseimbangan aspek-aspek tadi dalam kehidupan kita?
Sebelum melangkah jauh, saya memohon petunjuk daripada-Nya agar tidak membicarakan sesuatu yang sia-sia. Moga penilaian-penilaian yang cuba saya bawakan bersifat seimbang dan ada manfaatnya bagi semua dalam menuju kesempurnaan.
ASPEK-ASPEK YANG MEMERLUKAN KESEIMBANGAN
Baiklah, mari kita berfikir bersama-sama secara objektif. Tentunya ada elemen-elemen yang ada pada kita yang perlu kita seimbangkan. Emmm…teruskan berfikir, elemen-elemen apa ya?
Yang pertama, kita mempunyai jasad. Itu sudah pasti. Jika tidak kita tidak pernah wujud pun.
Yang kedua, jasad kita tidak ada ertinya tanpa ruh. Itu yang membuatkan kita hidup dan berbeza daripada mayat.
Yang ketiga, kita diberi akal sebagai elemen terpenting yang membezakan kita daripada haiwan. Jika tidak, tidak ada bezanya kita dengan haiwan yang juga makan, tidur, bergaul dan sebagainya.
Secara umumnya, kita mempunyai jasad, ruh dan akal. Inilah elemen-elemen yang sangat memerlukan penjagaan sebaiknya secara seimbang daripada kita. Yang pastinya, Allah tidak menciptakan sesuatu itu sia-sia. Maka, bagaimana seharusnya kita menyeimbangkan ketiga-tiga aspek terbesar yang kita miliki ini? Mmm…persoalan yang sangat menarik.
Mari kita teruskan berfikir….
MENUJU KESEIMBANGAN SETIAP ASPEK
Setiap daripada elemen yang ada pada diri kita tadi mempunyai tuntutan tertentu yang perlu kita penuhi. Kita harus meletakkan sesuatu pada tempatnya dalam memenuhi tuntutan-tuntutan tersebut. Ayuh kita teliti satu per satu tuntutan-tuntutan yang memerlukan perhatian kita.
JASAD
Jasad yang sihat memerlukan makanan dan minuman yang sihat. Di samping itu, ia juga memerlukan senaman yang secukupnya agar dapat berfungsi dengan baik. Ketika sakit, jasad ini memerlukan ubat. Ia juga memerlukan pakaian yang baik untuk menutupinya. Banyak lagi tuntutan-tuntutan lain yang diperlukan oleh jasad dalam menjalankan fungsinya secara optimal. Jika sedemikian tuntutannya, maka kita akan sentiasa menjadi orang yang aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat. Kita juga harus menjaga penampilan diri bagi memenuhi tuntutan jasad tadi.
RUH
Rohani memerlukan makanan agar dapat sentiasa subur dan tidak kering kontang. Makanan rohani tidak seperti makanan jasad. Bagi menyuburkan aspek ini, kita harus sentiasa mendekatkan diri kepada tuhan agar ruh ini berada dalam keadaan yang stabil dan tenang, tidak meronta-ronta kesakitan. Di samping itu, perhubungan dengan orang lain sangat perlu agar kita dapat mengisi tuntutan jiwa dan mendapatkan emosi yang stabil. Nasihat daripada orang lain dapat membantu untuk menghidup suburkan ruh. Al-Quran sebagai kalam daripada Ilahi merupakan ayat-ayat yang terbaik untuk menghidupkan ruh dalam diri kita. Itulah makanan terbaiknya. Jika tidak, kita mungkin digelar mayat yang bernyawa kerana ruh kita telah ‘mati’ kerana tidak dibekali makanan-makanan rohani yang secukupnya.
AKAL
Akal kita memerlukan input-input yang dapat mengisi keperluannya. Input-input inilah yang dinamakan Ilmu yang sangat diperlukan oleh setiap orang. Tanpa ilmu, akal akan terbantut dan perkembangannya tersekat. Ilmu itu tidak hanya dikecilkan kepada sesuatu bidang yang khusus sahaja, tetapi ilmu yang perlu diisi harus bersifat menyeluruh dan dapat memastikan akal berkembang secara sihat dan tidak sempit. Jika tidak, kita tidak berlaku seadilnya kepada akal kita dengan mengabaikan sesuatu kerana kelalaian kita. Potensi akal manusia sangat luar biasa dan seharusnya digunakan ke tahap optimal supaya kita dapat menjadi orang-orang yang lebih hebat. Kekuatan akal dapat meningkatkan darjat seseorang manusia dan menjadikannya lebih berkesan dalam menyelesaikan masalah.
BAHANA KETIDAKSEIMBANGAN
Secara intinya, setiap daripada elemen-elemen dalam diri kita mempunyai tuntutan yang sangat signifikan dan perlu dikembangkan. Atas dasar inilah kita tidak boleh mengabaikan mana-mana elemen dan terlalu ekstrem dalam elemen-elemen tertentu. Akal yang sihat memerlukan badan yang sihat. Ibadah yang benar memerlukan Ilmu yang benar. Jasad yang kuat memerlukan pengendalian yang bijak dan terarah. Dewasa ini, kita gagal melihat bahawa aspek-aspek ini saling bersangkutan dan tidak terpisah antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, Allah telah menciptakan aspek-aspek yang bersepadu yang perlu dibangunkan sekali tanpa mengabaikan mana-mana aspek.
Pertama, ada orang memberikan tumpuan yang sangat kritikal dalam aspek jasad. Elemen lain tidak diberikan tumpuan yang seharusnya. Maka lahirlah orang-orang yang sihat, kuat tubuh badannya tetapi lemah jiwanya, jahil akalnya. Mereka sentiasa menginginkan badan yang kuat atau wajah yang cantik. Pakaiannya pun tak kurang hebat bergaya.mmm…tidak ada salahnya keinginan-keinginan sebegitu. Tetapi janganlah berlebih-lebihan sehingga mengabaikan aspek pertumbuhan elemen-elemen lain. Tak sedikit orang yang kuat dan gagah tubuhnya tetapi kerana kebodohannya, kekuatan tadi dipergunakan oleh orang lain. Jadilah kaki pukul upahan, pembunuh upahan dan sebagainya. Atau tak kurang orang yang cantik wajahnya tetapi turut dipergunakan. Jadilah model-model yang hanya mengikut arahan dan mempamerkan kecantikan-kecantikan tubuh pada yang tidak sepatutnya. Hmmm….itu baru menyebut tentang tumpuan berlebihan pada aspek jasad. Hasilnya, lahirlah orang-orang yang bersifat MATERIALISTIK dan yang seangkatan dengannya.
Kedua, ada juga orang yang asyik sekali membangunkan rohaninya. Ilmunya kosong dan jasadnya dibiarkan tidak terurus. Menurutnya, dia perlu meningkatkan ruhnya semata-mata kerana hanya itu yang akan dibawa ke akhirat. Nah, benar!! Benar sekali, mana silapnya? Bukan silap, Cuma tidak seimbang. Jika begitu, apakah Allah menciptakan segala yang ada di dunia ini sia-sia? Tidak begitu bukan? Lalu, golongan yang merasa sebegitu kurang menghubungkan dirinya dengan dunia luar. Masanya dihabiskan di masjid-masjid dan surau-surau tanpa mengambil peduli perkembangan semasa. Ilmu pun tidak terlalu dititikberatkan, cukuplah sekadar boleh beramal. Akhirnya, lahirlah orang-orang yang sibuk dengan urusan dirinya sendiri, mengecilkan skop pemikirannya tentang dunia, mengetepikan kesihatan jasad dan perkembangannya serta mengasingkan dirinya daripada masyarakat. Skop Ibadah juga menjadi sempit dan tidak syumul.
Ketiga, ada golongan yang sangat bersemangat dalam menuntut ilmu bagi memenuhi tuntutan akal. Bagus! Sangat bagus!! Tetapi, dalam masa yang sama, ruhnya tidak dibangunkan dan jasadnya turut terabai. Kesannya dapat dilihat bagi golongan sebegini. Tidak sedikit orang yang bijak dan mengetahui banyak perkara tetapi pengetahuannya itulah yang mengantarkan dia ke neraka lantaran penyalahgunaan ilmu pengetahuan yang dimilikinya. Hal ini turut melibatkan orang-orang yang menuntut ilmu agama. Ekoran ketidakseimbangan aspek-aspek dalam diri, mereka cenderung kepada membawa kerosakan dengan ilmu yang mereka ada. Lahirlah orang-orang yang berfatwa untuk kepentingan dirinya sendiri, menjadikan pertimbangan hawa nafsu sebagai yang paling utama dalam menggunakan ilmu yang ada dan sebagainya. Di sudut lain, kerana terlalu asyik mengejar gelar orang yang berilmu, amal menjadi sampingan. Terbentuklah seorang manusia yang penuh dengan ilmu tetapi kosong dengan amal.
Jelas sekali ketidakseimbangan itu mengundang kehancuran dan kecelakaan kepada diri sendiri.
KESEIMBANGAN YANG SEMPURNA
Jika kita ingin melihat keseimbangan yang paling tepat, lihatlah pada zaman para sahabat yang mendapat sentuhan tarbiyah secara langsung daripada Rasulullah.
Di medan perang, merekalah singa yang sangat digeruni. Di medan dakwah, merekalah perancang strategi yang sangat bijak. Di bidang ilmu, merekalah yang sangat arif dan faham. Di malam hari, merekalah ‘abid yang paling khusyu’ dalam beribadah. Dalam bidang ekonomi, mereka sangat produktif dan berkesan. Dalam aspek politik, merekalah yang paling berhemah dan berpengaruh. Pemerintahan turut teratur dan adil. Perhubungan sesama mereka sentiasa hangat dan kuat. Pendek kata, jauh sekali kefahaman keseimbangan yang difahami oleh mereka dengan keseimbangan yang kita amalkan sekarang. Mereka benar-benar faham akan peri pentingnya keseimbangan ini dan itulah yang menjadikan mereka orang-orang yang hebat. Tetapi, mereka tidak beramal dan bekerja melainkan untuk mencari redha Allah. Mereka sangat mengerti bahawa dunia ini menjadi ladang bercucuk tanam untuk hasilnya nanti dituai di akhirat. Itulah aspek keseimbangan paling sempurna yang mereka capai. Bagaimana dengan kita?
Akhirnya, kita harus sedar bahawa kita tetap manusia yang lemah. Tentu sahaja ada elemen-elemen yang kadang-kadang terlepas pandang dalam kita memelihara keseimbangan tadi. Apa yang pasti, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai keseimbangan diri. Itulah yang kemudiannya akan membawa kepada kesempurnaan hidup. Walaubagaimanapun, kesempurnaan yang kita kecapi juga tidak mutlak dan tidak lari daripada terkandung cacat cela. Maka janganlah terlalu obses kepada kesempurnaan yang bebas daripada sebarang kecacatan. Hanya Allah yang tidak mungkin ada sebarang kecacatan.
BE BALANCED, BE SUCCESSFUL, BE A TRUE MUSLIM.
I try to think, how about you?
Sumber: Zulyunus. com
16:50 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)
The comments are closed.