Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

12 February 2009

Pelajar cemerlang matrikulasi dihantar ke AS, Australia

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

BAHAGIAN Matrikulasi, Kementerian Pelajaran merancang meluaskan kerjasama dengan universiti terkemuka di Amerika Syarikat dan Australia untuk menghantar pelajar cemerlang di bawah Program Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi, pada masa depan.

Pengarahnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata usaha itu sejajar perancangan memperluaskan pelaksanaan program berkenaan yang sebelum ini tertumpu di lima universiti berprestij di United Kingdom.

Katanya, rancangan itu membolehkan lulusan matrikulasi meneruskan pengajian dalam bidang berkaitan di universiti negara terbabit yang menawarkan program pengajian berkualiti.

“Kita mengenal pasti beberapa universiti di Amerika Syarikat, malah sudah mengadakan perbincangan dengan mereka, antaranya University of California, Los Angeles; University of California, Berkeley; University of Southern California dan Stanford University.

“Di Australia pula University of Adelaide, University of Melbourne, Monash University, Australian National University, University of Sydney dan University of New South Wales.

“Pelaksanaan kerjasama ini sejajar agenda pengantarabangsaan program matrikulasi yang menjadi antara fokus utama bahagian ini menerusi Pelan Strategik Jangka Panjang,” katanya kepada Berita Harian.

Ketika ini katanya, lulusan cemerlang skim berkenaan dihantar di University of Surrey, University of Nottingham, University of Birmingham, University of Manchester dan King's College, University of London di United Kingdom.

Beliau berkata, lulusan terbabit akan mengikuti pengajian peringkat ijazah selama empat tahun di universiti terbabit termasuk Kursus Post Graduate Certificate of Education pada tahun akhir pengajian.

Menerusi kerjasama dimeterai sejak 2006, katanya, universiti terbabit akan memberi keistimewaan kemasukan terus kepada lulusan cemerlang Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

“Tahun ini, kita akan menghantar 50 lagi pelajar melanjutkan pengajian dalam empat bidang pengkhususan iaitu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Tiada penambahan dari segi jumlah pelajar, ia sama seperti tahun lalu setelah mengambil kira masalah ekonomi global masa kini,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2006, katanya, Kementerian Pelajaran telah menghantar 90 lulusan iaitu 50 pada 2008, 22 (2007) dan 18 (2006).

Menyentuh mengenai pencapaian penuntut program itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap prestasi akademik pelajar terbabit.

“Berdasarkan lawatan dilakukan Bahagian Matrikulasi dan pihak pengurusan universiti terbabit, pelajar yang dihantar berjaya membuktikan pencapaian tinggi.

“Buktinya, empat pelajar yang mengikuti pengajian bidang Fizik di University of Surrey menduduki empat daripada lima tempat teratas dalam peperiksaan akhir semester. Itu cukup membanggakan kita,” katanya.


Sumber: Berita Harian 12.02.2009

 

 

18:46 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)