Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 November 2008

Matrikulasi tidak akan dimansuh

PEKAN 1 Nov. — Program matrikulasi tidak akan dimansuhkan walaupun terdapat pihak tertentu yang pernah mencadangkan supaya kerajaan meneliti semula pelaksanaannya sebagai salah satu cara menyalurkan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selain Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak yang mengeluarkan cadangan itu berpendapat program matrikulasi perlu dimansuhkan dan hanya satu saluran sahaja digunakan untuk semua pelajar ke IPTA.

Dakwaan tentang wujud unsur manipulasi dalam aspek tertentu program matrikulasi dijadikan modal mereka dalam cadangan itu, katanya dalam ucapan perasmian Program Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan kali ke-3 di Felda Chini Timur dekat sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail.

Najib berkata kerajaan mempunyai komitmen penting untuk memastikan program itu terus wujud dalam arus perdana pembangunan negara kerana jika dilihat komposisi pelajar yang berada di IPTA sekarang, sebahagian besar datangnya daripada program matrikulasi.

Katanya tahun ini genap sepuluh tahun Kementerian Pelajaran melaksanakan program matrikulasi di seluruh negara dan program itu menjadi pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata setiap tahun jumlah pelajar lepasan SPM yang memohon mengikuti program berkenaan semakin bertambah, bukan sahaja membabitkan kalangan pelajar bumiputera, malah turut disertai pelajar bukan bumiputera apabila sepuluh peratus tempat dibuka kepada mereka.

Beliau meminta agar tidak timbul rasa sangsi terhadap program matrikulasi kerana pemilihan pelajar menggunakan kaedah meritokrasi yang memberi keadilan kepada semua pihak.

“Janganlah bercakap tentang manipulasi program matrikulasi ini kerana hal ini tidak berlaku. Apa yang dilakukan selama ini ialah proses dan sistemnya dikemas kini bagi tujuan mengurangkan kadar keciciran pelajar-pelajar yang berpotensi,” kata Najib.

Sehingga kini terdapat sembilan buah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua buah Kolej Mara yang menempatkan pelajar program matrikulasi.

Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, tiga buah kolej matrikulasi lagi akan dibina manakala empat buah kolej terawal akan dinaiktaraf daripada segi fizikal dan kemudahan supaya seiring dengan kemajuan pendidikan terkini.

Selain itu, katanya, pada tahun depan sepuluh buah Pusat Pembelajaran Sains (PPS) yang sedia ada akan terus mengambil pelajar Tingkatan Empat aliran Sains di samping kelas Tingkatan Lima.

Pengambilan terus pelajar Tingkatan Empat itu akan melibatkan tambahan kos bagi tuisyen manakala cadangan perluasan lima buah lagi PPS iaitu di Johor dan Negeri Sembilan akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama di antara Kementerian Pelajaran dan pengurusan Felda dalam masa terdekat, katanya.

— BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 1/11/2008

01:33 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)