14 November 2007
Bertafakur dalam berhibur
Oleh: Esa b. Abd Samad
Ada kalanya kita terlalu dimomokkan dengan pandangan satu sisi mengenai sesuatu benda atau Oleh isu, sehingga kita lupa melihat benda atau isu itu secara menyeluruh. Misalnya, apabila memperkatakan tentang tumbuh-tumbuhan seperti lalang atau rumput di tepi jalan yang tumbuh meliar, kita hanya memandangnya sebagai tumbuh-tumbuhan yang sekadar 'menyemakkan' pandangan mata. Begitu juga dengan haiwan. Tikus dilihat sebagai perosak yang menjijikkan. Dari segi isu, hiburan umpamanya sejak akhir-akhir ini sering kali dimomokkan sebagai bahan negatif yang melalaikan, merosakkan, dan menjahanamkan remaja.
Namun adilkah jika kita sekadar membuat rumusan tentang sesuatu perkara hanya dari satu sisi lantas melupakan sisi yang lain? Pernahkah anda mendengar cerita orang buta dengan gajah. Apabila beberapa orang buta diminta memegang dan meraba gajah lalu menceritakan tentang bentuk binatang yang mereka lihat, wujudlah beberapa versi. Ada yang mengatakan, gajah itu panjang dan boleh melilit orang seperti ular. Hal ini demikian kerana dia memegang belalai. Ada yang mengatakan gajah itu seperti telinga yang besar kerana dia memegang telinga gajah. Ada yang mengatakan gajah itu seperti tempayan besar kerana dia meraba perut gajah. Sedangkan rupa gajah itu amat berlainan daripada yang digambarkan.
Demikian juga dengan analogi-analogi yang saya gambarkan tadi. Lalang umpamanya, menurut kajian di Jepun boleh mengubati penyakit lelah dan dijadikan bantal. Tikus berperanan dalam kawalan biologi dalam bidang pertanian. Jelasnya, Allah tidak menjadikan sesuatu benda atau perkara itu hanya dari satu sisi. Allah menjadikan setiap kejadian ada dua sifat asas; baik dan buruk.
Hiburan juga sedemikian. Hiburan boleh menjadikan manusia lalai, leka, alpa, dan berangan-angan kosong hingga melupai alam ukhrawi. Namun, hiburan juga boleh dimanfaatkan secara positif. Hiburan boleh menjadi penawar stres umpamanya. Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti California, ketawa dua saat boleh membantu meningkatkan degupan jantung dan ini boleh membantu melegakan kita daripada serangan sakit jantung. Ketawa bukan boleh dibuat suka-suka. Hanya setelah berhibur, biasanya kita akan ketawa. Ahli-ahli perubatan Islam pada zaman silam juga ada yang menggunakan muzik sebagai salah satu terapi. Dalam bidang perubatan psikologi moden, kita biasa mendengar terapi muzik, terapi drama, dan terapi tarian yang menerapkan unsur-unsur hiburan bagi merawat pesakit mental dan trauma.
Soalnya, bagaimana cara kita melihat dan memanfaatkan hiburan itu sendiri? Sewaktu saya menonton televisyen dan mendengar radio atau cakera padat, saya terfikir. seandainya remaja bijak berfikir, mereka boleh bertafakur sambil berhibur. Bertafakur dalam hal ini ialah berfikir, mencerakin, dan menjadikan inti pati hiburan itu untuk pengajaran. Dalam pada itu, pandai-pandailah memilih bidang hiburan. Jika anda tersalah pilih, misalnya, memilih aliran muzik black metal, dikhuatiri anda terjebak dalam kesesatan akidah ekoran lirik-liriknya yang lebih mirip kepada pemujaan syaitan dan mengetepikan agama. Begitu juga jika anda ke disko atau berkaraoke di kelab malam, risikonya, anda akan terdedah kepada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan seks bebas.
Sesuatu yang penting, jangan asyik berhibur tanpa memikirkan intipati pengajaran di sebalik dunia hiburan itu sendiri. Drama, filem, dan teater umpamanya, sarat dengan pengajaran dan nilai-nilai murni, jika anda bijak memilih. Lagu-lagu juga banyak yang mengandungi lirik-lirik yang baik seperti mengajar kita mengagungkan Tuhan, merawat kesedihan, dan mengajar erti kehidupan.
Dari segi drama, misalnya, saya tertarik dengan beberapa drama televisyen yang sarat dengan pengajaran seperti drama Cinta Tsunami, Biarku Sentuh Cintamu, Natasha, Mya Zara, Meniti Bara, Gerak Khas, dan Mahligai Gading. Cinta Tsunami umpamanya, memaparkan nilai-nilai kejujuran, keikhlasan, dan ketabahan hati dalam menghadapi dugaan hidup yang amat hebat. Jangan sekadar asyik maksyuk dengan ketampanan hero dalam drama tersebut atau keanggunan heroinnya atau kisah cinta mereka, tetapi pelajarilah nilai-nilai yang diterapkan.
Dalam siri drama Biarku Sentuh Cintamu pula, saya amat tertarik dengan dendangan lagu Felix yang menjadi naib juara Akademi Fantasia 3, iaitu Warkah Berlagu Pilu. Antara bait-bait liriknya yang harus menjadi renungan ialah seperti berikut:
....lupakanlah kenangan lalu yang bisa membuat kau bersedih...
Dari segi psikologi, bait-bait lirik itu jika dihayati seharusnya mampu menenangkan jiwa seseorang yang bersedih. Ada baiknya kita melupakan sahaja kenangan-kenangan yang menyedihkan perasaan, kerana jika dikenang, ini akan merobek jiwa.
Demikian juga dengan lagu Biar Bulan Bicara, yang melatari siri drama Cinta Tsunami. Hayatilah bait lirik lagunya yang sarat dengan pengajaran:
Biarlah bulan bicara sendiri Biarlah bintang kan menjadi saksi Tak kan kuulangi walau sampai akhir nanti Cukup derita sampai di sini o
Bait lirik lagu di atas memberi pengajaran besar kepada kita agar jangan mengulangi kesilapan bodoh yang menyebabkan kita sengsara dan derita. Hanya orang yang bermasalah mental mengulangi kesilapan lalu dan enggan belajar daripada kesilapan.
Dalam dunia sebenar, kita semua sudah tentu mengenali insan-insan seperti Jackie Chan, Misbun Sidek, dan Profesor Datok Dr Ismail Salleh, yang berjaya dalam bidang masing-masing. Namun, tahukah anda mereka merentasi kehidupan yang pahit sebelum dinobatkan sebagai insan cemerlang? Misalnya Jackie Chan, dipaksa belajar di akademi seni di China yang mendidik pelajar secara kekerasan dan ganas, sebelum akhirnya menjadi pelakon handalan. Misbun Sidek pula dilatih secara tegas dan penuh dengan disiplin oleh Allahyarham bapanya. Profesor Datok Dr Ismail Salleh yang cacat penglihatan tetapi merupakan pakar ekonomi dan menjadi Presiden Persatuan Kolej Swasta, 'dipaksa' belajar di sebuah sekolah yang khusus untuk orang sepertinya sewaktu berusia 13 tahun. Jarak sekolah itu pula beratus-ratus batu di selatan tanah air sedangkan beliau berasal dari Kelantan.
Demikianlah saratnya dunia hiburan dengan pengajaran, ilmu, dan nilai untuk dipelajari jika kita bertafakur dalam berhibur. Bukannya asyik maksyuk dengan dunia hiburan hingga terlupa pelajaran dan nilai-nilai agama yang diajar oleh ibu bapa.
Sumber: Dewan Siswa April 2006
06:53 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)