Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

14 November 2007

Didikan rohani bermula dari rumah

Kebelakangan ini kita sering didedahkan menerusi media massa khususnya akhbar-akhbar mengenai fenomena negatif yang berlaku dalam masyarakat Islam di negara ini, seperti rasuah, penagihan dadah yang terus berlaku dan sukar dibendung. Kesemuanya amat memalukan masyarakat Islam dan sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej Islam.


Kemudian, gejala yang boleh kita sifatkan paling buruk dan menyedihkan, ialah berlakunya kes rogol dan sumbang mahram. Kita merasakan ia suatu bala besar yang mungkin boleh menggelapkan masa depan mereka yang menjadi mangsa. Betapa sedih dan pilu serta terhirisnya hati kita kalau ia berlaku kepada anak dan anggota keluarga kita.

Di mana hendak disembunyikan wajah kita dan wajah anak-anak yang terlibat daripada jiran tetangga dan kaum kerabat yang mengetahui berlakunya kejadian buruk itu. Kalau mereka masih menjadi pelajar, mungkin peristiwa buruk dan malang itu akan menjejaskan prestasi pengajian mereka dan seterusnya akan menggelapkan masa depan mereka.

Anggaplah fenomena buruk yang berlaku itu sebagai satu penyakit. Dan, seseorang doktor yang hendak merawat sesuatu penyakit, terlebih dulu perlu tahu sebab-sebab atau punca berlakunya penyakit tersebut, selepas itu baru diberi ubat untuk menyembuhkannya.

Walau bagaimanapun, langkah terbaik dan bijak ialah kita harus berwaspada mengawal diri daripada terkena penyakit. Islam agama ciptaan Ilahi ialah sebaik-baik pedoman untuk manusia yang menjalani liku-liku hidup di alam maya yang penuh cabaran dan dugaan ini.

Insan sebenarnya adalah makhluk yang unik. Dalam dirinya wujud dua kekuatan yang sentiasa bertarung antara satu sama lain. Unsur pertama ialah nafsu dalam bentuk sifat semula jadinya mengajak dan mendorong ke arah keburukan dan kejahatan. Dalam pada itu Allah juga membekalkan kepada manusia akal dan gharizah diniah (naluri keagamaan) - akal berperanan membezakan antara buruk dan baik, sementara naluri keagamaan mendorong manusia agar memilih yang bersih, murni, indah dan baik.

Selagi hayat dikandung badan, kita sebenarnya masih belum terkeluar daripada lingkungan kemanusiaan yang terdedah kepada dua unsur yang tersebut di atas. Justeru setiap insan tak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda, demikian jua apa-apa kedudukan dan kerjaya yang diceburinya, maka perlu menjalani 'Pendidikan Rabbani' sepanjang hayat terutama solat fardhu yang lima.

Menerusi solat ini kita diberi suntikan rohani yang berterusan dari satu waktu ke satu agar kita mengingat dan membesarkan Allah. Hasil solat khusyuk dan dengan memelihara waktu-waktunya, maka insya-Allah akan tertanam di sanubari kita dan anggota keluarga kita 'jiwa takwa' yang sentiasa subur dan segar.

Ketakwaan itu bagai pagar yang memelihara diri daripada terlibat kepada perbuatan keji dan mungkar. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ada menegaskan dengan sabdanya bermaksud: "Tidak akan berzina orang yang berhasrat melakukan zina, ketika hendak melakukannya dia masih beriman kepada Allah (yakni hatinya merasa dilihat dan disaksikan oleh Allah)." "Tidak akan mencuri orang yang merancang untuk mencuri, tetapi ketika dia hendak mencuri, dia masih beriman."

Pendidikan solat dalam sesebuah keluarga harus dimulakan sejak anak itu masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: "Suruhlah anak-anak kamu ketika mereka berusia tujuh tahun, dan sewaktu berumur sepuluh tahun jika mereka tidak mendirikan solat hendaklah dipukul (pukul sebagai mendidik bukan mendera)."

Pendidikan Rabbani juga mengkehendaki anak yang berusia sepuluh tahun dipisahkan tempat tidurnya, dipisahkan anak lelaki dengan perempuan, bahkan anak lelaki dipisahkan daripada ibunya dan anak perempuan daripada bapanya.

Islam memberi penekanan agar dijauhi bunga-bunga atau bibit-bibit yang boleh membawa kepada perzinaan. Firman Allah s.w.t. maksudnya: "Dan janganlah menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." (Surah al-Isra': 32).

Bibit-bibit yang boleh mengakibatkan perbuatan zina itu ialah seperti pergaulan bebas tanpa sekatan (termasuk anak lelaki dengan anak perempuan tidur satu katil, demikian juga bapa tidur bersama anak perempuan dan anak lelaki pula tidur bersama ibunya, sedang si anak telah sepuluh tahun atau lebih), pendedahan aurat, bergayut di telefon berjam-jam (perbualan antara remaja putera dan puteri bukan mahram hingga membawa kepada senda gurau dan membangkitkan nafsu syahwat), berjalan atau duduk berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram terutama di tempat sunyi dan lain-lain lagi.

Demikian keprihatinan Islam menggariskan etika pendidikan diri dan keluarga agar sentiasa dalam keadaan terpimpin, terhindar daripada apa-apa jua perbuatan keji dan mungkar. Tetapi sayangnya, umat Islam telah mengabaikan bentuk pendidikan yang mulia dan luhur ini, sebaliknya lebih terpengaruh dengan cara hidup barat yang bebas daripada ikatan disiplin agama dan budaya yang bermoral. Akibatnya berlakulah gejala yang tidak diingini dalam masyarakat.

Oleh itu mari kita kembali kepada agama. Hidupkanlah jiwa dan norma keagamaan (Islam) pada diri dan keluarga kita. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya: "Aslim taslam". Maksudnya: "Patuhilah ajaran Islam, tentu anda akan selamat."

04:14 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)