Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

11 September 2007

Bukan Salah Ibu Mengandung

Remaja tersayang. Cuba bayangkan sekarang. Sebelum anda boleh mencelikkan mata melihat marcapada yang luas ini, sembilan bulan
sepuluh hari anda dikandung oleh ibu tercinta. Selama itu, penderitaan ibu mengandungkan dirimu tidak akan terungkai oleh kata-
kata.

Semasa anda membesar dan terus membesar dalam rahim ibu, cuba bayangkan betapa letihnya ibu. Betapa tidak bermaya ibu menahan
keperitan dan kesakitan lantaran kadang-kadang muntah-muntah dan loya-loya tidak mengira masa. Pucat bibirnya. Lemah seluruh sendi-sendi anggotanya. Anda lihatlah peritnya ibumu mengandungkan adik-adikmu kadang-kadang hendak makan pun tidak berselera.
Kemudian cuba anda bayangkan pula saat-saat ibu bakal melahirkan dirimu kedunia yang fana ini. Seorang bakal doktor ynag biasa
terlibat dalam praktikal menyambut kelahiran bayi memberitahu penulis, dia benar-benar insaf akan pengorbanan ibu apabila melihat
betapa peritnya ibu melahirkan seorang anak. Ada yang menangis. Ada yang merintih. Ada yang meraung. Semuanya menahan kesakitan tidak terkira melahirkan anak tercinta. Bayangkan kering tekak ibumu, berkerut-kerut mukanya, berpeluh-peluh seluruh anggota ibu menahan
kesakitan, kepedihan dan kengiluan ynag amat sangat ketika saat-saat akhir hendak melahirkan dirimu kedunia ini. Bayangkan betapa ibu
terpaksa mengacip bibir, memejamkan mata, terasa ajalnya benar-benar berada di kerongkong dan menanti saat untuk melayang ke alam akhirat, demi menahan kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan dirimu, anaknya yang tercinta. Dapatkah remaja sekalian membayangkan saat-saaat ngeri itu? Ketika saat-saat kritikal sedemikian, hanya satu perkara yang terbayang pada wajah ibu, mungkinkah dirimu berjaya dilahirkan?
Selamatkah dirimu dan dirinya juga? Zikir kepada Allah tidak putus-putus berkumandang daripada kumat –kumit mulut ibumu ketika
itu. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.ibu terus berdoa agar dirimu terselamat. Akhirnya dirimu dilahirkan dengan dendangan pertama keluar daripada mulutmu; tangisan. Tangisan itulah menjadi pengubat keperitan dan kepedihan ibumu mengandungkanmu selama ini. Tangisanmu itulah membibitkan secebis harapan besar ibumu. Harapannya hanya satu; dirimu akan lahir dan membesar sebagai manusia yang berjaya, berguna dan beriman. Ayahmu pula menyambutmu dengan kesyukuran lantas mengazankan di telinga kananmu dan mengiqamatkan di telinga kirimu. Setelah anda dilahirkan ke dunia masihkah anda ingat betapa gigih ibu dan ayah anda membesarkan anda dengan penuh kasih sayang?
Ayah dan ibu anda pasti begitu sabar bergilir-gilir menjaga dirimu siang dan malam. Mereka sanggup berjaga malam, demi memastikan
kesihatan diri anda terpelihara. Biarlah diri mereka sakit dan deman, asalkan anaknya, iaitu dirimu, tidak menangis kesejukan. Semasa anda
kecil, diri anda begitu disayangi dan dibelai penuh manja, hatta seekor nyamuk pun pasti tidak dibenarkan menjamah tubuhmu yang kecil dan
montel itu.
Setelah anda semakin membesar, ibulah juga yang membantu dan mendidik anda sehingga pandai bertatih, berjalan dan berlari. Pada
hari pertama persekolahan, mereka juga sanggup kadang-kadang berada di sisi agar anda tidak ketakutan hendak ke sekolah. Mereka juga
tidak pernah kedekut membelanjakan wang demi memastikan anda bersekolah hingga ke alam remaja kini.
Remaja sekalian. Cuba bayangkan detik-detik sukarnya ibu anda mengandung dan membesarkan anda. Cuba renungkan pengorbanan ayah anda bertungkus-lumus mencari secebis rezeki demi memastikan anda berjaya dilahirkan dengan selamat dan membesar sebagai seorang insan.
Pernahkah mereka terbayang dan berharap agar anda menjadi seorang manusia yang lupa akan tanggungjawabnya sebagai insan. Pernahkah
mereka mendambakan agar anda menjadi manusia yang menjadi kacang lupakan kulit? Justeru, sebelum tersilap langkah, fikir-fikirlah dahulu. Sebelum tersesat jalan, rancang-rancanglah dahulu. Jangan sampai sesal kemudian kerana sesal kemudian tidak berguna. Jika anda sanggup meluangkan masa sepuluh minit sebelum tidur dengan membaca rencana ini dan menghayatinya sambil merenung wajah ibu, penulis yakin anda akan insaf tentang tugas anda sebagai seorang anak, jua sebagai insan. Esok, sebelum melangkah ke sekolah, salam dan ciumlah tangan ibu dan bisikkan kepadanya ‘anakmu akan menjadi anak yang beriman, berguna dan berjaya di dunia dan akhirat.

09:51 Posted in MOTIVASI | Permalink | Comments (0)