Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

02 October 2007

Prinsip solat tangga menuju kejayaan

SEBAGAI menyambung perbincangan mengenai aspek keindahan dalam solat, siri kali ini ingin mengajak pembaca untuk melihat solat dari perspektif mengaplikasi prinsip-prinsip solat dalam kehidupan seharian. Solat itu membawa kejayaan. Sejak 1400 tahun dahulu umat Islam diajak melalui seruan azan untuk bangun mendirikan solat dan menuju kejayaan. Sememangnya benar bahawa solat itu membawa kebaikan kita di dunia dan akhirat. Namun begitu, mungkin ada yang beranggapan bahawa solat itu semata-mata untuk kebaikan akhirat.

Di dalam solat terdapat prinsip-prinsip yang boleh ditimba dan digunakan dalam menjalani urusan kehidupan kita di dunia. Justeru, solat itu bukan sahaja jalan untuk menuju kebahagiaan di akhirat, malah ia juga boleh mengatur hidup yang berjaya dan bahagia sejak kita berada di dunia ini.

Allah s. w. t. menjadikan semua perkara di alam ini untuk manusia mengambil pelajaran daripadanya. Keindahan alam ini merupakan lambang-lambang yang mempunyai pelajaran. Di antara cara untuk menimba pelajaran daripada ciptaan Allah s. w. t., ialah dengan memahami prinsip-prinsip yang ada di sebalik alam ciptaan Allah s. w. t. itu. Allah s. w. t. berfirman yang bermaksud: Dan banyak sekali tanda-tanda (kekuasaan Allah) di langit dan di bumi yang mereka laluinya, sedangkan mereka berpaling daripadanya (tanda-tanda itu). (Yusuf 12:105)

Setiap aktiviti kehidupan yang berlandaskan keredhaan Allah s. w. t. adalah ibadah. Dalam ibadah juga ada pelajaran dan prinsip yang boleh kita pelajari. Ibadah khusus pula adalah cara kita beribadah kepada Allah s. w. t. dengan satu bentuk yang telah ditentukan Nya melalui Nabi Muhammad s. a. w. Para ulama atau pemikir Islam dahulu seperti al-Ghazali, al-Jauzi dan zaman ini seperti Iqbal, Ali Shariati, S. Hossein Nasr dan ramai lagi membawa perhatian umat Islam untuk menyelami aspek hikmah tersirat di sebalik kewajipan ibadah fardu dan ibadah khusus yang lain. Di antara ibadah yang penting bagi umat Islam adalah ibadah solat. Solat itu adalah kewajipan, solat itu tali munajat kita dengan Maha Pencipta, solat itu pahala untuk akhirat, solat itu penjernih jiwa dan meningkatkan taqwa, namun apakah prinsip-prinsip solat yang boleh kita ambil untuk dimanfaatkan dalam kehidupan dunia kita?

Solat ialah lambang kita membalas cinta Allah s. w. t. Prinsip cinta antara manusia mempunyai kategori yang dinamakan cinta berbalas. Pepatah ada mengatakan `buat baik, dibalas baik.' Membalas budi dan kebaikan yang orang lakukan kepada kita adalah fitrah bagi manusia. Seseorang yang dibalas kebaikan itu, dan dalam konteks ini dibalas cintanya akan mendapat keuntungan atau kebaikan daripada cintanya. Cinta Allah s. w. t. kepada kita berbeza. Allah s. w. t. tidak memperoleh keuntungan dengan cinta kita atau kerugian dengan penolakan kita. Dia Maha Tinggi, Maha Agung dan Maha Suci. Cinta-Nya kepada kita bukan kerana membalas ibadah atau cinta kita kepada-Nya, tetapi kerana kemurahan, sifat pengasih-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Kita yang sentiasa bergantung kepada rahmat dan anugerah-Nya. Malah, apa sahaja ibadah yang kita lakukan tidak akan dapat menyamai, apatah lagi mengatasi walaupun satu nikmat yang diberikan-Nya kepada kita. Nikmat yang diberikan kepada kita tidak terkira banyaknya. Walaupun sebagai satu prinsip, kita mesti membalas segala kebaikan yang Dia berikan kepada kita, namun pada hakikatnya kita tidak berkeupayaan untuk membalas cinta Allah s. w. t. Keupayaan kita membalas cinta-Nya juga adalah anugerah daripada-Nya. Kebaikan daripada ibadah yang kita lakukan sebenarnya akan pulang kepada diri kita sendiri sebagai pahala dan keredhaan daripada-Nya jua.

Di antara jalan untuk `membalas' kasih sayang-Nya ialah dengan menunaikan solat. Solat adalah penghubung antara kita dengan Maha Pencipta itu. Solat adalah `mikraj' bagi orang beriman. Semasa solat kita bermunajat, berdoa dan memuji Allah s. w. t. Setelah selesai solat kita bertebaran di atas muka bumi untuk mencari nafkah dan menunaikan kewajipan kita yang lain. Nabi Muhammad s. a. w. bertemu Allah s. w. t. dalam peristiwa mikraj. Namun Baginda kembali ke dunia untuk meneruskan tanggungjawab menyampaikan al-Quran dan agama Allah s. w. t. kepada manusia.

Allah s. w. t. berfirman bermaksud: Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah dengan banyaknya supaya kamu beruntung. (Al-Jumu`ah 62:10). Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh urusan jual beli daripada mengingati Allah dan (daripada) mendirikan solat dan daripada (membayar) zakat. Mereka itu takut kepada suatu hari yang hati dan penglihatan menjadi goncang. Supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurnia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas. (An-Nur 24:37-38).

Solat mengajar kita prinsip ketabahan dan sentiasa berfikiran positif. Solat memberikan kita kesedaran dan merasai kewujudan Allah s. w. t. di `sisi' kita. Kesedaran ini amat penting kepada manusia, kerana dengan kesedaran ini memberikan kepercayaan, harapan dan ketabahan untuk mengharungi apa jua cabaran hidup yang melanda. Telah menjadi lumrah kehidupan, manusia akan berhadapan dengan pelbagai pengalaman suka dan duka. Kita tidak dapat menentukan apa yang akan kita hadapi, kerana itu adalah ketentuan-Nya.

Manusia yang tidak percaya kewujudan-Nya, akan mudah berputus asa hingga membinasakan dirinya walau dengan ujian yang sedikit. Kebahagiaan dalam mencari redha Allah s. w. t. adalah kebahagiaan yang sebenar. Ia adalah tunjang kekuatan insan dalam menghadapi bahana `tsunami' kehidupan. Orang yang beriman, akan bersyukur dan merendah diri ketika menerima laba, dan bersyukur serta redha apabila menerima bala. Orang yang mencari kenikmatan `fatamorgana' melalui dadah atau minuman memabukkan misalnya, ataupun menamatkan kamus hidupnya dengan membunuh diri, adalah mereka yang tidak menemui nur harapan dan tidak meyakini dengan kewujudan serta kekuasaan-Nya yang mengatasi keupayaan dan ikhtiar kita yang terbatas ini.

Di antara prinsip umum yang diajar di dalam solat ialah al-Ihsan. Al-Ihsan ialah menyedari kehadiran-Nya di dalam solat, sebagaimana sabda Baginda s. a. w. yang bermaksud: Al-Ihsan itu ialah, kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya. Jika tidak dapat, maka sesungguhnya Allah melihat kamu. Alangkah baiknya kesedaran al-Ihsan yang dicapai di dalam solat, turut melimpah kepada kehidupan seseorang di luar solat? Dalam ia berkeluarga, bermasyarakat, menunaikan hak jiran tetangga, menunaikan hak bernegara ia tetap bermuraqabah (merasa diawasi) dan menunaikan tanggungjawab sebaik-baiknya demi mencari setitis keredhaan al-Khaliq serta kemanisan cinta-Nya.

Solat itu sendiri mempunyai banyak pelajarannya. Solat mempunyai rukun-rukunnya. Rukun umpama tiang pada sesebuah bangunan. Tanpa tiang, bangunan tidak akan berdiri kukuh dan akan runtuh dengan mudah. Tanpa rukun solat itu tidak sempurna. Solat juga mempunyai 13 rukun utamanya yang tersendiri. Di dalam setiap satu rukun utama itu terdapat lagi rukun serta syarat yang tidak dapat tidak mesti dilakukan bagi mempastikan kesempurnaan solat. Rukun adalah tunjang yang menjadikan sesuatu itu teratur dan kukuh. Mungkin boleh kita katakan bahawa prinsip di dalam sesuatu perkara itu merupakan rukun dalam perkara tersebut.

Dalam rukun-rukun solat terdapat prinsip-prinsip berharga yang dapat dimanfaatkan untuk membina kerukunan dan keharmonian hidup manusia di dunia, apatah lagi kerukunan dan kebahagiaan hidup yang sebenar di akhirat. Mengaplikasi prinsip-prinsip ini untuk menjalani setiap pekerjaan di dunia, adalah kunci kepada kejayaan di dunia. Nah, sekarang mari kita lihat apakah yang dikatakan prinsip solat yang membawa kepada kejayaan itu.

Di antara persediaan sebelum solat adalah mengambil wuduk. Berwuduk ialah membasuh anggota tertentu mengikut syarat-sarat yang ditentukan. Wuduk membersihkan anggota badan, mengangkat hadas kecil, membersihkan dosa kecil dan mensucikan rohani. Prinsip daripada wuduk ialah pembersihan diri. Seseorang yang ingin meningkatkan kualiti diri menjadi orang yang baik harus memulakan dengan pembersihan diri, membersihkan jiwanya dan meninggalkan tabiat lama yang tidak diredhai Allah s. w. t. Umpama `menitis air jernih ke dalam air keruh, lama kelamaan jernih juga airnya.'

Di antara perkara yang paling utama di dalam solat adalah niat. Niat itu adalah kesengajaan, kebulatan untuk melakukan solat dengan ciri-cirinya yang khusus. Solat tanpa niat tidak akan bermakna. Solat umpama perjalanan menuju suatu destinasi. Tanpa arah destinasi yang tertentu, perjalanan itu akan teraba-raba ke sana ke sini tanpa tujuan. Niat boleh disamakan dengan objektif bagi sesuatu perkara. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud: Setiap pekerjaan itu dikira mengikut niatnya. Hidup mesti ada matlamat. Manusia yang tiada matlamat hidup umpama perahu yang terumbang ambing di tengah lautan. Prinsip ini adalah asas di dalam segala tindakan kita. Prinsip yang amat penting ini dapat ditimba pelajarannya melalui solat.

Takbiratul Ihram adalah ucapan pembukaan dengan melafaz `Allahu Akbar' semasa memulakan solat. Seseorang yang bertakbiratul ihram bermaksud ia membesarkan Allah s. w. t., yakni mengutamakan Allah s. w. t. daripada segala perkara yang lain. Antara prinsip yang boleh difahami daripada takbiratul ihram untuk manfaat kehidupan kita ialah prinsip meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Seorang pemimpin harus dipatuhi arahannya. Seorang ibu atau bapa harus dihormati dan ditaati. Menghormati ibu tidak boleh disamakan dengan menghormati majikan. Mentaati Allah s. w. t. tidak boleh disamakan dengan mentaati ibu bapa.

Justeru, kita kena sedar tentang perbezaan ini dan jangan terleka dalam meletakkan sesuatu agar kena pada tempatnya. Kehancuran akan berlaku jika sesuatu nilai tidak diletakkan kepada tempat yang sewajarnya. Sabda Nabi s. a. w. bermaksud: Apabila diletakkan sesuatu urusan bukan pada ahlinya (tempat yang hak), maka tunggulah kehancurannya. Alangkah harmoninya kehidupan ini, jika nilai-nilai, pemikiran, sikap dan tingkah laku manusia pada hari ini kembali diletakkan menurut nilai yang wajar dengan kemuliaan sebagai manusia.

Kita diwajibkan tertib di dalam solat. Tertib bermaksud mendahulukan apa yang patut didahulukan, meng`kemudian'kan apa yang sepatutnya dikemudiankan. Ringkasnya tertib ialah melakukan sesuatu mengikut urutan yang ditentukan. Tertib adalah suatu fitrah, ia adalah proses natural dan mengikut sunatullah. Setiap sesuatu yang mengikut proses semula jadi (tabie), bermakna ia mengikut tertib. Ia akan kekal lama kerana ia adalah benar. Sesuatu perkara yang tidak mengikut tertib akan mudah goyah tidak kekal lama.

Hadis Nabi s. a. w. mengungkap prinsip ini dengan penuh kebijaksanaan. Baginda memberikan contoh orang berkaki ayam yang diberi kekayaan melimpah ruah, lama-kelamaan akan kehilangan kuasanya. Orang yang tidak beramanah, lalu diberikan khazanah ia akan pecah amanah. Nabi Muhammad s. a. w. sendiri sebelum dilantik menjadi nabi umat akhir zaman pada usia 40 tahun, telah disediakan sebegitu rupa sejak dari kecil. Prinsip pembinaan atau grooming ini telah sedia ada di dalam solat. Alangkah baiknya jika prinsip-prinsip ini digali, dijadikan bidang ilmu dan seterusnya dimanfaatkan untuk memakmurkan dunia. Maka anugerah Allah s. w. t. yang hebat ini tidaklah akan dipersiakan lagi oleh manusia. Isu yang paling penting di sini ialah, kita mesti mengetahui bagaimana untuk mengeluarkan prinsip untuk kita amalkan ini daripada solat.

Satu perkara yang amat penting dan menjadi prinsip hidup yang utama adalah khusyuk. Khusyuk di dalam solat menjadi kunci kejayaan. Setiap perkara harus ada khusyuk, iaitu menumpukan sepenuh jiwa kepada pekerjaan yang dilakukan. Setiap satu urusan sama ada yang mencakupi urusan duniawi atau ukhrawi yang dilakukan dengan penuh `khusyuk', akan diakhiri dengan kejayaan. Firman Allah s. w. t. yang bermaksud: Telah berjaya orang yang beriman, iaitu yang khusyuk di dalam solatnya. (Al-Mukminun 23:1).

Kejayaan melalui solat itu adalah benar dan bukan hanya ilusi. Artikel akan datang akan menghuraikan dengan lebih mendalam apakah yang dikatakan kejayaan melalui solat itu, insya-Allah. Manusia tidak akan nampak kejayaan, jika ia tidak terlebih dahulu nampak kehancuran yang jelas di hadapan matanya. Orang yang sejak asalnya kaya, tidak mengetahui nikmat kaya, berbeza dengan orang miskin yang menjadi kaya. Orang yang berasal daripada keluarga baik mungkin mengambil sikap biasa terhadap kebaikan. Tetapi seseorang yang menerima hidayah Allah dan berubah akan mencintai serta memelihara kebaikan yang ia peroleh. Kejayaan yang biasa difahami ialah kejayaan duniawi. Namun, kejayaan sebenar bagi seorang mukmin ialah mencapai redha Allah s. w. t. yang diikuti dengan kejayaan membangunkan dunianya mengikut landasan yang diredhai-Nya. Redha Allah s. w. t. adalah `syurga' awal yang dicari bagi orang beriman di dunia.

Ini beberapa contoh daripada mutiara keindahan solat dan prinsip yang boleh digali daripadanya dalam menerajui kejayaan di dunia. Black & Brown mengajak umat Islam untuk berkongsi pengetahuan atau pengalaman melalui solat serta mengajak umat Islam untuk sama-sama mengembangkannya. Solat itu adalah anugerah-Nya yang amat tinggi dan mahal. Anugerah yang tinggi dan mahal ini pasti mengandungi rahsia dan kehebatannya. Ini hanyalah sebahagian daripada garapan mengenai keindahan yang halus dan seni di dalam solat. Masih banyak ruang yang boleh kita terokai. Prinsip solat yang dibawa kepada kehidupan realiti, akan menjana peribadi, keluarga, persekitaran masyarakat, dan seterusnya membina negara yang baik serta memiliki rakyat yang berkualiti.

Firman Allah s. w. t. bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, belum sampaikah lagi masanya untuk hati-hati kamu khusyuk
(tunduk) dalam mengingati Allah dan terhadap kebenaran yang diturunkan-Nya? Wallahu A'la

 

Kalam Mas

17:50 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)